Jualan Kebajikan But Kereta – Let’s Go Green!

PUTRAJAYA, 1 Okt. 2016 – Charity Car Boot Sales (CBS) anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) berjaya menarik perhatian warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya. Program ini telah diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) dengan tema “Lets Go Green”.

Bersesuaian dengan tema alam sekitar, setiap vendor perlu memastikan barangan yang dijual adalah barangan kitar semula. Vendor tidak digalakkan untuk menjual barangan baru, makanan dan minuman. Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah seperti rekaan inovasi dari barangan kitar semula, sembang santai bersama tetamu undangan dan “Speakers corner”.

Program yang bermula seawal 7.30 pagi ini berjaya mengumpulkan seramai 25 vendor. Dengan penyewaan tapak serendah RM20, program ini berjaya menarik minat vendor luar termasuk dari Perak, Johor Bharu dan lain-lain. Menarik pada CBS kali ini, seorang pensyarah dari UKM membawa pelajar-pelajarnya untuk terlibat sama bagi memberikan sokongan dan pendedahan mengenai aktiviti kemasyarakatan seterusnya mengaplikasikan terus ilmu tersebut.

Kedatangan penyanyi nasyid popular, Daqmie bersama personaliti TV, Ustaz Shahrul Faizie sedikit sebanyak menyerikan program dengan nyanyian dan sembang santai.

Jika berminat untuk menyertai program Charity Car Boot Sales (CBS) pada masa akan datang, anda boleh menghubungi Bro Haris, 011-12613577.

 

Warga Aleppo yang kematian ahli keluarga langsung tidak berpeluang untuk berkabung, kata Islamic Relief

Serangan udara bertubi-tubi di Aleppo membunuh 184 mangsa.

Serangan udara bertubi-tubi yang berlangsung selama dua hari di Aleppo telah membunuh 184 mangsa dalam tempoh 48 jam yang lalu dan telah mencetuskan rayuan terdesak dari salah seorang petugas bantuan utama Islamic Relief Syria yang telah memohon agar tindakan kejam ini dihentikan bagi membolehkan petugas bantuan untuk melindungi orang awam.

“Mustahil bagi orang ramai berkabung atas kematian ahli keluarga mereka sendiri kerana perjumpaan takziah juga telah diserang. Solat Jumaat di Aleppo juga telah dibatalkan di Aleppo semalam kerana orang ramai terlalu takut untuk berkumpul bersama, pada masa perbuatan ini amat-amat diperlukan.” Kata petugas bantuan Islamic Relief, Ahmed Mahmoud (nama telah ditukar untuk melindungi identitinya).

 

 

Sekurang-kurangnya lapan sekeluarga telah terbunuh.

Dia menambah lagi: “Lanjutan kegagalan gencatan senjata terkini, situasi di Aleppo telah merudum dengan mendadak. Dalam tempoh 48 jam yang lalu, telah berlaku ratusan serangan udara di Aleppo sahaja, dan sekurang-kurangnya 184 orang telah terbunuh. Ini termasuk Mustafa Hamdan yang baru berusia lapan hari dari Al Ferdoas. Kematian bayi malang ini telah disebabkan serpihan peluru daripada salah satu serangan udara yang dibuat.“Sekurang-kurangnya lapan sekeluarga telah terbunuh, termasuk seorang jururawat, bidan, dan anak-anak mereka. Sumber air telah kehabisan sepenuhnya. Terdapat sumber air lain dari perigi, tetapi perigi-perigi ini didapati cetek dan airnya tidak selamat untuk diminum. Orang ramai langsung tidak berpeluang berkabung atas kematian saudara mereka, kerana majlis perjumpaan ini telah menjadi sasaran serangan udara. Islamic Relief sedang bertugas di lapangan pada waktu ini di mana malapetaka ini semakin memuncak. Kami memerlukan mereka yang berada dalam kedudukan yang berpengaruh untuk mengambil tindakan segera untuk melindungi orang awam yang tidak berdosa dan membenarkan penyaluran bantuan penting, makanan dan bekalan perubatan. Kami tidak berjaya menyalurkan bantuan penting ini kerana hampir 300,000 orang di Timur Aleppo sedang dikepung sepenuhnya.

Ahmed Mahmoud daripada Islamic Relief membincangkan situasi semasa di #Aleppo di dalam sebuah temu bual yang hebat dan mengesankan ini di BBC Radio 5 secara langsung

https://soundcloud.com/islamicreliefuk/bbc-radio-f…

Tugas kami di Syria diteruskan

Sila derma kepada mySEDEKAH – SaveSyria, dan dengan sokongan anda, kami boleh menyediakan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan.

Program Pembangunan Komuniti di Kepulauan Tumpat

TUMPAT, 24 Sept. 2016 – Program Pembangunan Komuniti telah dianjurkan dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, Palekbang bertujuan untuk mengagihkan pek sumbangan makanan kepada para penerima manfaat dari Pulau Beluru dan pulau-pulau sekitarnya bagi membuat persediaan menghadapi banjir. Sebanyak 550 buah keluarga telah menerima sumbangan itu.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti ceramah agama bertajuk ”Kepentingan Pendidikan Agama Di Rumah” oleh Tuan Hj. Hisham bin Shaari, penceramah bebas dari Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, ucapan dari Pengurus Bahagian Bantuan & Program IRM, En. Kamarul Halim Sakrani dan pengagihan pek makanan

Dengan sedikit bantuan ini, IRM berhasrat meneruskan lagi bantuan dengan perancangan seterusnya. Ini yang kami katakan “Touch & Stay”. Selepas program tersebut, kami dibawa melawat ke pulau-pulau sekitar seperti Pulau Seratus, Pulau Che Soh, Pulau Tongkang, Pulau Pantai Suri, Pulau Sri Tanjung dan Jabatan Haji Nik Mat.

Diselitkan juga, ziarah mahabbah ke Pusat Penempatan Sementara Mangsa Kebakaran kelolaan Bilik Gerakan Kecemasan (BGK) IRM di Rantau Panjang untuk berkongsi cerita dan pengalaman mengenai kebakaran tersebut. Awal September lalu, sebanyak 15 buah keluarga diuji dengan kebakaran di kawasan penempatan mereka dan hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja.

 

 

Qurban Perdana 2016

ROMPIN, 13 Sept. 2016 – Masyarakat Orang Asli dari Kampung Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kedaik diraikan dalam satu Program Qurban Perdana anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM).

IRM menyembelih tiga ekor lembu tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) di dalam program ini manakala tiga ekor lembu lagi dikorbankan di Rumah Anak Yatim Miskin Yayasan Annur Maisarah, Chemor Perak pada hari raya pertama.

Seramai 200 para penerima manfaat dari golongan asnaf miskin dan fakir termasuk anak yatim, warga emas, pesakit kronik, OKU, ibu tunggal dan lain-lain mendapat bantuan pek makanan berserta daging sembelihan.

Selain daripada aktiviti penyembelihan, turut berlangsung dalam program itu ialah takbir raya dan tazkirah ringkas oleh Ustaz Asyraf, sesi psikososial bersama anak-anak masyarakat Orang Asli selain daripada melapah, memotong dan menimbang daging korban.

Untuk Kempen Qurbani Merentasi Sempadan 2016, IRM telah membantu para penerima manfaat di 28 negara termasuk Palestin, Syria dan Malaysia.

 

Bagaimanakah kehidupan petugas bantuan di Syria?

Seorang petugas Islamic Relief menceritakan pengalaman sukar sewaktu berkhidmat.

Setelah satu serangan udara terkena rombongan trak bantuan berhampiran Aleppo minggu ini, penyelaras lapangan Islamic Relief, Youse Abdollah, yang telah berbicara di dalam slot World Service di BBC.

Satu-satunya wakil yang bercakap dari Syria, Abdollah telah bersama-sama pertubuhan NGO lain di dalam sebuah perbincangan panel di dalam program BBC World Have Your Say.

Beliau telah bercerita tentang pengalamannya bertugas di Syria dan cabaran yang telah dihadapi dalam membuat perancangan, akses dan keselamatan dalam penyaluran bantuan. Beliau juga telah menceritakan tentang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan perang tersebut.

Dalam penerangannya berkaitan situasi orang awam di Syria, beliau berkata: “Terdapat 400,000 orang awam yang terkurung di dalam kota tersebut tanpa sebarang infrastruktur asas – tiada makanan, tiada bekalan elektrik, tiada air, dan tiada komunikasi.

“Terdapat rasa kekecewaan dalam kalangan orang awam kerana bantuan tidak berjaya disalurkan.”

Anda boleh mendengar program tersebut di sini.

Audio Player

Muat Turun Fail

Lanjutan dari peristiwa Isnin lepas yang telah memakan nyawa seorang petugas bantuan, dan sekitar 20 orang awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengarahkan kesemua konvoi bantuan ke Syria digantung.

Sehari selepas itu, insiden kedua menyaksikan rakan kongsi Islamic Relief, Union of Medical Care and Relief Organizations (UOSSM) telah diserang, dan mengakibatkan kematian lima petugas perubatan.

Penghantaran bungkusan makanan yang telah dirancang oleh Islamic Relief telah digantung dan pasukan kami di Syria telah meningkatkan langkah-langkah berjaga-jaga lanjutan tamatnya gencatan senjata.

Laporan Tahunan 2015

Laporan tahunan Islamic Relief Worldwide bagi tahun 2015 telah diterbitkan pada hari ini, yang memperincikan pendapatan, perbelanjaan dan projek yang telah kami laksanakan untuk membantu 8.3 juta orang di serata dunia.

 

 

Tahun 2015 merupakan tahun yang amat rumit dan mencabar, di mana kita telah menyaksikan, krisis pelarian paling buruk dalam sejarah dunia sejak Perang Dunia Kedua, dengan konflik yang berlarutan terus menghancurkan keluarga, bencana alam yang memusnahkan mata pencarian komuniti, dan jutaan penduduk dunia yang dibelenggu kemiskinan tegar. Bagi Islamic Relief, cabaran inilah yang telah memperkuatkan kesungguhan kami untuk lebih giat untuk meluaskan usaha kami di seluruh dunia dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang amat memerlukan.

Pendapatan keseluruhan kami mencecah £105.6 juta, dengan perbelanjaan program meningkat sebanyak 25% kepada £100.3 juta. 50% daripada tugasan kami ditumpukan kepada usaha memperkasakan komuniti, dan kami telah melaksanakan projek pembangunan mampan selain pendidikan yang bertujuan untuk mengubah nasib penduduk miskin dunia secara kekal. Lebih 250,000 orang di seluruh dunia kini boleh menjalani kehidupan yang lebih baik apabila perubahan cuaca berlaku, dengan adanya rumah tahan bencana, biji benih tahan cuaca, dan kursus kelangsungan hidup. Program mikrokewangan multinasional ulung kami telah membolehkan 15,000 usahawan di berbagai-bagai negara untuk membebaskan diri dari cengkaman kemiskinan, manakala 48,000 anak yatim pada waktu ini menerima manfaat program penajaan kami.

Sebagai salah satu responden terawal dalam kejadian bencana kemanusiaan, kami telah menyalurkan bantuan kecemasan dengan pantas sebaik sahaja gempa bumi melanda Pakistan, Afghanistan dan Nepal, dan sewaktu limpahan banjir telah memasuki kediaman penduduk di United Kingdom. Dengan bertugas di dalam lapangan yang sukar dijejaki oleh pelbagai organisasi lain, kami boleh menyantuni lebih ramai penduduk dunia yang memerlukan. Dengan peperangan Syria yang kini memasuki tahun keempat, kami telah menyalurkan bantuan kepada empat juta orang yang terjejas akibat peperangan. Kehadiran tempatan kami di Yaman bermaksud kami dapat segera bergerak balas apabila kekejaman tercetus, kami berjaya bertindak dengan pantas dan membekalkan 1.3 juta penduduk dengan bekalan makanan dan akses kepada air minuman yang bersih.

Pada tahun 2015, kami telah menggesa komuniti dunia untuk menjadikan dunia lebih selamat dan lebih selesa menerusi Deklarasi Islam ke atas Perubahan Cuaca. Deklarasi ini telah diusahakan oleh Islamic Relief dan merupakan yang pertama diwujudkan. Kami juga telah menerbitkan dasar keadilan gender kami yang pertama. Kami juga telah memperkenalkan Perhimpunan Agung untuk menambah baik kualiti kehadiran dan peranan kami di dalam sektor antarabangsa. Bersama dengan Lembaga Pemegang Amanah, Perhimpunan Agung ini akan mempromosi dana untuk program jangka masa panjang dan mengusahakan usahasama produktif dengan agensi dan institusi bantuan kemanusiaan di seluruh dunia. Kami percaya, menerusi usaha-usaha ini, kami akan terus berkembang dan melakukan perubahan berkekalan dalam membasmi kemiskinan dan penderitaan warga dunia.

Tanpa komitmen staf kami yang amat berdedikasi, sukarelawan, dan penyokong, kami tidak akan berjaya menyalurkan bantuan selama ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam, rakan kongsi kerajaan dan multilateral kami atas kemurahan dan keikhlasan hati mereka. Kami amat berbesar hati dengan kepercayaan yang telah diberikan kepada kami untuk melaksanakan perubahan dalam dunia ini. Bersama-sama anda, kami akan terus berbakti dengan melaksanakan program-program berimpak tinggi yang bakal mengubah kualiti kehidupan mereka yang benar-benar memerlukan.

 

Muat turun/lihat penerbitan

Islamic Relief adalah organisasi kemanusiaan dan pembangunan bebas yang telah berusaha keras untuk membasmi kemiskinan dan penderitaan penduduk dunia selama lebih 32 tahun.