Hari Kanak-Kanak Sedunia: Sambutan di seluruh dunia

Dari Mali ke Gaza, dan Afghanistan ke India, kanak-kanak menjadi tumpuan utama

Selain meraikan sambutan hari tersebut pada hujung minggu ini, pejabat Islamic Relief di seluruh dunia menggunakan Hari Kanak-Kanak Sedunia (yang jatuh pada 20 November) untuk menonjolkan hak kanak-kanak.

Di Gaza, ratusan kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam acara mencipta mesej berbentuk tapak tangan yang bertulis harapan dan keperluan mereka untuk menikmati pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan yang lebih baik.
rs65169_6t0a9842

Mohammed Abu Moharram, pengurus program kebajikan kanak-kanak Islamic Relief di Gaza, berkata: “Objektif utamanya adalah untuk menarik perhatian dunia terhadap kanak-kanak Palestin yang mengalami penderitaan psikologi dan keadaan sosial yang sukar akibat kehilangan hak asasi mereka yang dijamin oleh konvensyen antarabangsa seperti hak kepada keselamatan, pendidikan, kesihatan dan hak bermain.

“Kami sediakan ruang untuk anak-anak ini mengekspresikan cita-cita dan aspirasi mereka dengan menggunakan peralatan yang mereka gemari, seperti melukis dan mengecat, dan menyeru agar usaha tempatan dan antarabangsa diperkuat lagi untuk menambah baik keadaan kanak-kanak di Semenanjung Gaza.”

Pejabat kami di Mali menjemput 100 orang anak yatim dan penjaga mereka untuk melawat Taman Negara Barnako dan program permainan sepanjang hari sementara 50 orang anak yatim di Tebing Barat dan 150 kanak-kanak di Kosova akan berseronok dengan aktiviti luar sepanjang hari sempena sambutan hari kanak-kanak ini.

Di Afghanistan, kami menyambut hari ini di daerah Nangarhar dan Banyan di mana kami menganjurkan program pendidikan yang sedang berjalan, dan beberapa siri acara yang akan berlangsung di kawasan terpilih di India, termasuklah acara pakaian beragam, pencarian harta karun dan aktiviti berkelah di monumen bersejarah.

Sebuah hadiah senyuman untuk anak-anak Jordan

Program penjagaan kesihatan telah membolehkan kanak-kanak bawah usia 10 tahun menjalani pembedahan lelangit merekah.

Projek di Jordan ini adalah sebahagian dari £945,000 (€1.1 juta) program penjagaan kesihatan kecemasan yang disalurkan kepada pelarian Jordan dan Syria.

Menerusi usahasama yang dilaksanakan dengan Palestine Children’s Relief Fund (FCRF), Islamic Relief telah menyediakan intervensi pembedahan pakar untuk 13 orang anak-kanak, berusia seawal 3 bulan sehinggalah 10 tahun, yang mengalami bibir rekah atau lelangit merekah.

Fatem, ibu kanak-kanak paling muda itu, berkata: “Ahmad telah dilahirkan dengan bibir rekah unilateral dan lelangit mereka bilateral. Soalan pertama saya kepada ayahnya adalah, “Berapa teruk keadaan Ahmad?” Jawapannya adalah “Tengoklah nanti” dan wajahnya amat sugul, ia menggerunkan saya. Saya sangat-sangat takut.

                                        
ahmad-2

Akhirnya, saya dapat melihat bayi saya, dia adalah bayi tercomel yang pernah saya lihat.

“Jeritannya ibarat muzik di telinga saya dan saya tidak sabar-sabar untuk kembali ke bilik saya untuk memeluknya.

“Minggu-minggu pertama kehidupannya amat kacau-bilau. Ia dipenuhi temu janji dengan doktor, yang berusaha untuk menemukan kaedah perubatan terbaik untuknya, membersihkannya dan cuba untuk mengurangkan sebarang risiko jangkitan.

“Saya berusaha sehingga saya berjaya walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran.”

“Saya juga bersendirian dalam perjuangan saya kerana ayahnya memfailkan tuntutan cerai. Beliau telah menuduh saya dan genetik keluarga saya yang menyebabkan bibir Ahmad sumbing.

“Ahmad kini berusia tiga bulan. Bahagian paling sukar dalam situasi ini adalah mengetahui bahawa bayi saya akan menjalani pelbagai pembedahan untuk membetulkan bibirnya yang sumbing dan memerlukan terapi dan pembedahan pembetulan selam bertahun-tahun.

“Ahmad tidak pernah kelihatan seperti anak lain yang normal, tetapi di mata saya, dia cukup sempurna selamanya.”

Jutaan penduduk Malawi kelaparan akibat hasil tanaman yang tidak memuaskan

Lebih 6 juta penduduk Malawi memerlukan bantuan kemanusiaan berikutan kesan El Nino.

Kadar hujan yang berkurangan dan suhu melebihi paras purata di Malawi telah menyebabkan 40% penduduk negara itu kelaparan.

Peladang sara hidup wanita adalah golongan paling terjejas kerana mereka tidak sentiasa mempunyai akses kepada tanah atau peralatan pertanian.

Meliya Beka, merupakan salah seorang daripada 9,080 penduduk Daerah Chikwawa, Malawi, yang menerima bungkusan makanan selama tiga bulan dari Islamic Relief.

Beliau berkata: “Tahun ini, saya telah cuba untuk menanam sekoi tahan kemarau, tetapi ia tidak membuahkan hasil.

“Saya tidak berjaya menuai satu beg makanan pun. Kadang kala saya terfikir, sekiranya saya mempunyai suami, sekurang-kurangnya dia tahu apa yang boleh dilakukan.

“Saya akan berjalan ke dalam hutan dan mencari ubi liar yang boleh dimasak untuk anak-anak saya sekembalinya mereka dari sekolah. Sekiranya saya tidak menemui apa-apa, kami akan tidur dengan perut yang lapar.”

Di daerah Meliya, 90% dari populasi pedalamannya berdepan risiko kebimbangan makanan dan di kawasan yang sedang dibantu Islamic Relief (termasuklah kawasan Autoriti Tradisional Chapananga, di mana Meliya tinggal) 39, 720 orang tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup.

Islamic Relief sedang membantu golongan petani wanita dengan menyediakan mereka sistem pengairan yang mampan, latihan, amalan pertanian dan penternakan ikan.

Pertandingan Bowling Untuk Kelaparan 2016

Sri Petaling, 5 Nov. 2016 – Bermain bowling dengan berpakaian chef atau tukang masak menjadi tarikan kepada pertandingan ‘Bowling For Hunger’ anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM). Pertandingan yang diadakan di Pusat Bowling Megalane, Endah Parade itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik sekaligus menyampaikan mesej kemanusiaan dan mengajak masyarakat menyumbang kepada tabung Care for Hunger.

Menurut Pengurus Kanan Charity Shoppe IRM merangkap pengarah program itu, Datin Norelan Ismail, Care for Hunger merupakan kempen yang dilancarkan sejak tahun 2015 sebagai tindak balas terhadap isu kebuluran di mana ia tersenarai dalam salah satu krisis terbesar di dunia yang memberi kesan kepada lebih 840 juta penduduk dunia.

“Sebagai simbolik kepada permasalahan kekurangan nutrisi ini, IRM memilih tema pakaian baju chef supaya semua yang hadir dapat menghayati situasi yang dialami oleh mereka yang kelaparan sedangkan kita di sini dapat menyediakan juadah yang enak tanpa sebarang kekurangan. In Shaa Allah, kami akan teruskan program seperti ini dengan tema yang berbeza.” katanya yang berpengalaman 20 tahun melakukan kerja-kerja amal.

Sementara itu, seorang peserta menzahirkan kegembiraan dapat menyertai program ini kerana selain unik, ia dapat mengeratkan silaturrahim antara semua yang hadir baik dalam kalangan peserta mahupun pihak penganjur.

Dalam pertandingan amal itu, sebanyak 120 peserta mengambil bahagian melibatkan pelbagai latar belakang seperti orang awam, agensi-agensi kerajaan, barisan selebriti serta rakan-rakan media seperti Chef Imelda, Ustaz Shahrul Faizie, BERNAMA, JAKIM, BTN, MAHA, MAMPU dan lain-lain.

Program #freemarket NAFAS (Nokwi Amek Free Amek Sajo) di Rantau Panjang.

Rantau Panjang, 29 Okt. 2016 – Program #freemarket NAFAS (Nokwi Amek Free Amek Sajo) anjuran ANSARA Kota Bharu, Bilik Gerakan Kecemasan Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Jawatankuasa Masjid telah diadakan di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang, Kelantan.

Program ini bertujuan melatih anak muda terutama pelajar dan penuntut universiti untuk aktif dalam sukarelawan. Ia merupakan satu inisiatif yang dilakukan bagi mengumpulkan barangan sumbangan seperti pakaian, makanan, perabot, bantal, tilam, ubatan dan lain-lain untuk diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Rantau Panjang sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Seramai 200 golongan asnaf termasuk 40 anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari Pertubuhan Insan Istimewa Kelantan (Insani) yang hadir pada hari itu memilih sendiri barangan yang mereka perlukan. Selain aktiviti itu, mereka juga menjalani pemeriksaan kesihatan dan derma darah oleh kakitangan Hospital Pasir Mas.

ANSARA KB dan IRM menyediakan pengangkutan untuk membawa asnaf dan barangan pulang ke rumah. Mereka juga turut menerima sumbangan makanan berupa beras 5kg, gula 1kg, bihun sebungkus, dan susu sejat 2 tin.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada ANSARA KB, Mahasiswa Pengerak, AJK Masjid, Hospital Pasir Mas, Klinik primer, MRSM Pasir Tumboh dan sukarelawan dari UMP.

 

Forum Kemanusiaan “Awak Kat Mana?” di Putrajaya.

Putrajaya, 29 Okt. 2016 – Islamic Relief Malaysia (IRM) mengadakan forum kemanusiaan bertajuk “Awak Kat Mana?” bertempat di Dewan Cempaka Sari Presint 3, Putrajaya, sempena Pesta Lelong Buku anjuran Synergy Ilmu dan Perbadanan Putrajaya yang berlangsung dari 21 hingga 30 Oktober 2016.

Forum kemanusiaan ini melibatkan ahli-ahli panel seperti Ustaz Ashraf Suarin, personaliti TV Farah Adeeba & Ustaz Shahrul Faizie dan Dr Aizan Sofia. Sebelum forum bermula, penonton disajikan dengan penyampaian sajak kemanusiaan oleh adik cilik Muhammad Aniq.

Ia merupakan acara kemuncak buat IRM sepanjang 10 hari membuka kaunter pameran di Pesta Lelong Buku itu.

Diharapkan melalui forum ini, ramai yang mendapat manfaat seterusnya menyebarkan rahmah kasih sayang kepada mereka yang memerlukan di dalam dan luar negara.