Islamic Relief bersama-sama menyertai sambutan pelancaran Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela

KENYATAAN AKHBAR, 2 Disember 2016

  • Acara pelancaran hospital dengan 200 katil di Johannesburg pada 2 Disember
  • Islamic Relief telah membiayai unit onkologi sebanyak $7.7juta/110 m ZAR
  • Waseem Ahmad, Pengarah Program Antarabangsa telah berucap semasa pelancaran
  • Wakil Islamic Relief Afrika Selatan, Worldwide, AS dan UK kesemuanya telah hadir dan sedia ditemuramah

Islamic Relief adalah salah satu daripada tiga penderma kepada Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela baru ini yang dijemput berucap pada majlis pelancaran hospital tersebut di kawasan Parktown, Johannesburg pada Jumaat, 2 Disember.

Jurucakap kami adalah Waseem Ahmad, Pengarah Program Antarabangsa untuk Islamic Relief Worldwide, yang telah memainkan peranan utama dalam menyelaraskan sokongan global untuk projek yang dianjurkan oleh rakan Islamic Relief di seluruh dunia.

smaller-pic

Usahasama ini telah menyalurkan derma berjumlah $7.7 juta yang dikumpul daripada keluarga Islamic Relief untuk membiayai unit onkologi hospital tersebut – termasuklah $2.5 juta dari Islamic Relief UK dan $1.75 juta lagi dari Islamic Relief Amerika Syarikat, dua negara penyumbang tunggal terbesar.

“Hospital ini telah dibangunkan selama 11 tahun lamanya dan saya amat gembira melihat ia kini beroperasi,” kata Waseem Ahmad.

“Islamic Relief amat berbangga kerana berpeluang membiayai unit onkologi, menyediakan talian hayat untuk kanak-kanak penghidap kanser dengan keadaan di mana benua Afrika mempunyai kemudahan pakar yang sangat terhad.

“Kami juga berasa amat bertuah kerana dapat menyumbang kepada kemudahan paling terkini yang amat diperlukan oleh para pesakit, dan menjadi sebahagian dari pencapaian ini adalah sebuah tanda penghormatan kepada Nelson Mandela.

“Dengan hampirnya sambutan ulang tahun kematiannya pada 5 Disember kelak, tiada cara lain yang lebih bertepatan untuk meraikan sumbangan serta perjuangannya selain dari melancarkan Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela – sebuah obor harapan kepada kanak-kanak Afrika Selatan untuk masa akan datang.

“Sumbangan besar Islamic Relief ke atas projek ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sifat dermawan komuniti Islam yang berhati mulia di seluruh dunia.

“Etos hospital ini mencerminkan etos yang dipegang Islamic Relief sendiri – kami membantu golongan yang amat memerlukan, tanpa mengira bangsa atau agama.”

smaller-pic

Selain unit onkologi yang dibiayai oleh Islamic Relief, hospital yang memiliki 200 katil ini juga mempunyai pusat-pusat kecemerlangan dalam bidang kardiologi dan pembedahan kardiotoraks; hematologi;nefrologi; pulmonologi; pembedahan kraniofasial; neurosains; dan juga pembedahan pediatrik umum. Hospital ini dijangka akan menerima kumpulan pesakit kanak-kanak pertamanya untuk rawatan dialisis dan radiologi pada Tahun Baru nanti.

Islamic Relief telah menyumbang $7.7 juta (110 juta ZAR) untuk menyokong sepenuhnya unit onkologi hospital tersebut.  Kemudahan ini akan menjadi contoh piawaian kepada pusat perubatan kanak-kanak yang lain. Cirinya termasuklah kemudahan dan makmal transplan sumsum tulang; penjagaan dan katil rawatan intensif; sebuah farmasi khusus; dan kemudahan radiologi.

Menurut data terbaru dari Yayasan Kanser Kanak-Kanak CHOC, satu daripada setiap 600 kanak-kanak Afrika Selatan mengalami kanser sebelum mencecah umur 16 tahun. Namun, lebih daripada 40 peratus kanak-kanak Afrika Selatan tidak pernah mendapatkan rawatan pakar. Hanya terdapat empat hospital pakar kanak-kanak di seluruh pelosok benua Afrika, jika dibandingkan dengan 20 pusat yang ada di UK. Hospital Kanak- Kanak Nelson Mandela (NMCH) diharapkan dapat mengubah statistik yang suram ini.

Untuk maklumat lanjut atau untuk menguruskan temuramah dengan wakil Islamic Relief di Johannesburg berkenaan pelancaran ini, atau untuk mendapatkan gambar atau rakaman dari pasukan Islamic Relief yang bertugas pada majlis tersebut, sila hubungi Martin Cottingham di talian 00-44-7702-940982 (martin.cottingham@islamic-relief.org.uk).

NOTA KEPADA EDITOR

  • Islamic Relief adalah badan kebajikan bantuan dan pembangunan antarabangsa yang bertujuan untuk meringankan penderitaan yang dihadapi golongan termiskin di hampir 30 negara, terutamanya di Afrika, Asia, dan Timur Tengah. Selain menyediakan bantuan bencana dan kecemasan, Islamic Relief juga mempromosi pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan dengan kerjasama komuniti tempatan – tanpa mengira bangsa, agama atau jantina. Dengan ibu pejabat global di UK, Islamic Relief mempunyai pejabat di lebih 40 negara dan telah membantu lebih 110 juta orang sepanjang 32 tahun penubuhannya. Operasi terbesar semasa Islamic Relief adalah bantuan krisis Syria: ia telah menyalurkan bantuan bernilai lebih $190 juta kepada lebih 6.5 juta penduduk Syria yang masih berada di Syria dan negara berhampiran sejak konflik ini bermula. Untuk maklumat lanjut, sila layari islamic-relief.org
  • Islamic Relief Afrika Selatan adalah ahli penting dalam keluarga global Islamic Relief, dari segi pengumpulan dana dan pelaksanaan program – seperti penajaan anak yatim, projek bekalan air bersih dan inisiatif pembangunan komuniti. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.islamic-relief.org.za/what-we-do/
  • Boleh dihubungi semasa pelancaran Hospital Kanak-Kanak Nelson Mandela: Waseem Ahmad (Pengarah Program Antarabangsa) dan Martin Cottingham (Pengarah Komunikasi) – Islamic Relief Worldwide; Anwar Khan (Pegawai Eksekutif Kanan) – Islamic Relief AS; Tufail Husain (Timbalan Pengarah) – Islamic Relief UK; Norman Moyo (Ketua Program) – Islamic Relief Afrika Selatan.

Hari AIDS Sedunia: Islamic Relief bekerjasama dengan UNAIDS

Menjelang sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember kelak, CEO Islamic Relief Worldwide telah bertemu dengan timbalan pengarah UNAIDS, Dr Luiz Loures.

Menerusi skop perbincangan yang meluas, Naser dan Dr. Loures telah berkongsi buah fikiran tentang perangkuman sosial berkenaan HIV. Selain itu, mereka juga mempertimbangkan peluang bagi kedua-dua organisasi bekerjasama di masa hadapan dengan fokus terhadap keadilan gender dan pencegahan HIV merentasi bidang-bidang pekerjaan Islamic Relief yang berbagai-bagai.

Komitmen dalam memastikan agar program-program yang bakal dilaksanakan oleh keluarga global Islamic Relief mengintegrasikan inklusiviti terhadap HIV juga dinyatakan.

Naser berkata: “Pencegahan HIV telah banyak berkembang beberapa tahun kebelakangan ini. Liputan ubat-ubatan antiretroviral telah meningkat, dan ini membolehkan sebilangan besar penghidap HIV boleh menjalani kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.

“Walau bagaimanapun, di sebalik pencapaian hebat ini, masih terdapat banyak lagi cabaran yang perlu diatasi dan selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa, kami menyeru agar program-program yang mengiktiraf pencegahan HIV yang lebih menyeluruh untuk memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan.

“Saya menanti-nantikan peluang bekerjasama dengan UNAIDS, dan akan menggunakan suara dan kedudukan saya untuk memastikan HIV sentiasa menjadi isu tidak terpadam dari mana-mana aktiviti dan bantuan kemanusiaan”

Usahasama Islamic Relief bersama dengan UNAIDS telah bermula sejak 2007 sebagai inisiatif Islamic Relief yang telah melibatkan pelbagai NGO Muslim, institusi keagamaan, badan masyarakat awam dan akademik dalam menangani isu HIV.

Sukarelawan mengasah kemahiran menerusi simulasi bencana

Bagi membolehkan kami menjadi yang terawal tiba di lokasi bencana, Islamic Relief mengendalikan sistem jadual tugas pusuan dengan staf yang bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa.

Sistem giliran 40 ahli kumpulan memastikan usaha bantuan sepanjang tahun yang pantas, yang disalurkan kepada komuniti yang terjejas akibat kejadian banjir, gempa bumi dan siklon dalam masa 72 jam setelah bencana terjadi.

Untuk membina kapasiti, ahli pasukan dari pelbagai negara telah berkumpul bersama-sama untuk sebuah siri latihan dan simulasi bencana.

ab5a0626

Mohammed Afsar, ketua interim Jabatan Humanitarian Islamic Relief berkata: “Tugasan telah diberikan dan individu diarahkan berkenaan di mana dan bila mereka ditempatkan.

“Sebaik sahaja simulasi bermula, mereka perlu bertindak pantas dan membuat keputusan dalam situasi tekanan tinggi seperti mana mereka perlu bertindak dalam situasi bantuan bencana yang sebenar.

“Ini adalah peluang yang bernilai untuk ahli jadual tugas pusuan untuk bekerjasama, memahami peranan masing-masing dan saling menghargai ahli pasukan mereka.

Simulasi yang telah dianjurkan di Kathmandu itu menyaksikan responder dari Pakistan, India, Nepal, Myanmar, Indonesia dan UK dibahagikan kepada dua kumpulan – satu menjalankan tugas dari pejabat negara dan satu lagi dari lapangan.

Kemahiran membuat keputusan diuji apabila kedua pasukan berhadapan dengan siri cabaran bertekanan tinggi, berurusan dengan pegawai yang kasar, sekatan perintah berkurung dan anggulan khemah di dalam cuaca yang sejuk dan gelap.

Program latihan itu juga merangkumi modul pengurusan stres dan kesejahteraan, bekerjasama dengan orang lain, budaya dan kepelbagaian, serta media dan komunikasi.

Lihat kisah-kisah hero humanitarian kami di sini.

ab5a0355

Syarahan “Tangisan di Syria” menarik perhatian rakan media.

Wisma BERNAMA, 24 Nov. 2016 – Seramai 40 orang rakan-rakan media dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) hari ini didedahkan mengenai isu kemanusiaan yang melanda Syria. Taklimat “Tangisan di Syria“ yang disampaikan oleh Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia (IRM), Tuan Haji Zairulshahfuddin Zainal Abidin berjaya memukau dan memberikan sentuhan kemanusiaan kepada jiwa mereka yang hadir.

Antara isu yang dikupas adalah mengenai kawasan-kawasan di Syria yang bergolak, operasi dan bantuan yang disalurkan oleh Islamic Relief serta pengalaman Tuan Haji Zairul berada di lapangan termasuk kawasan berisiko tinggi sepanjang berkhidmat dalam dunia kemanusiaan.

Di samping itu, IRM membuka kaunter jualan yang menempatkan produk-produk eksklusif keluaran IRM seperti t-shirt, pen pointer, sejadah, penunjuk arah kiblat, buku nota dan lain-lain. Rakan-rakan BERNAMA juga turut diperkenalkan dengan Waqf Al-Quran Braille dan auto-debit bagi memudahkan mereka membuat sumbangan tetap.

Kerjasama di antara IRM dan BERNAMA telah terjalin sejak 3 tahun dahulu menerusi segmen Generasi Prihatin (Gen-P) yang bersiaran di BERNAMA Radio setiap hari Rabu jam 8.30-9.00 pagi. Melalui segmen tersebut, kakitangan atau sukarelawan IRM diberi peluang untuk memperkenalkan kerja-kerja kemanusiaan IRM di samping berkongsi pengalaman di dalam dan luar negara.

Malam Menakjubkan Penuh Dengan Inspirasi

GOMBAK, 13 Nov 2016 – Islamic Relief Malaysia sentiasa berkobar-kobar untuk mewujudkan sebuah komuniti penyayang; di mana setiap individu menjalankan tanggungjawab sosial mereka, dan bersikap empatik terhadap penderitaan golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira bangsa, agama atau jantina, selain meraikan Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-32. Tahun ini, bersempena dengan CONVOCATION FESTIVAL 2016 (CONVEST’ 16), IRM dengan seikhlas hati telah menganjurkan sebuah acara “Malam Kemanusiaan” dengan motonya “Giving Hope for Tomorrow” dengan kerjasama Projek Buku Jalanan Chow Kit (PBJCK). Program ini telah diadakan di Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM Kampus Gombak bermula jam 8:00 malam sehingga 10:45 malam. Ia terbuka kepada semua pelajar UIAM dan orang awam.

Objektif acara ini adalah untuk meraih dana menerusi jualan tiket yang akan disumbangkan kepada PBJCK. PBJCK adalah sebuah organisasi yang menyantuni golongan miskin dan memerlukan yang berada di sebuah bahagian kecil Bandaraya Kuala Lumpur iaitu Chow Kit.  Mereka percaya bahawa pendidikan itu amat berharga, terutamanya pendidikan bagi kanak-kanak dari keluarga miskin bandar.

Acara ini dianggap unik kerana ia berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ketidakadilan sosial yang jelas membelenggu penduduk Chow Kit. Kesedaran ini diharap akan menggalakkan orang ramai untuk saling bantu-membantu dan menjadi ejen perubahan. Acara yang telah dianjurkan sepenuhnya oleh para pelajar UIAM yang mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan kebajikan ini telah diketuai oleh pengarah program mereka, iaitu saudara ‘Ammar Bin Khalil.

Antara acara-acara menarik pada malam tersebut adalah deklamasi puisi oleh anak-anak Chow Kit dan Fynn Jamal, ucap utama daripada Cikgu Rahayu, pengasas bersama PBJCK dan Syed Azmi. Terdapat juga persembahan nyanyian oleh Caliph Buskers, Mark Adam dan Encik Mimpi. Akhir sekali, sebuah pementasan teater muzikal oleh Notorious Production House, yang bertajuk “Cross Roads”.

Petikan ucapan harapan daripada Cikgu Rahayu:

“Kami berharap agar anak-anak ini berpeluang menjadi contoh kepada anak-anak dari keluarga miskin bandar yang lain, dan menjadi simbol harapan serta kemungkinan, yang lahir dari sikap tidak mudah putus asa. Kami percaya, suatu hari nanti, anak-anak Chow Kit ini boleh mengisytiharkan status mereka dengan penuh rasa bangga.” kata Cikgu Rahayu, pengasas bersama Projek Buku Jalanan Chow Kit.

Malam Kemanusiaan 2016 percaya bahawa satu-satunya cara untuk mengubah mobiliti sosial anak-anak yang kurang bernasib baik ini adalah menerusi pendidikan. Pendidikan tidak seharusnya menjadi satu bentuk kemewahan, sebaliknya harus menjadi keperluan asas yang boleh dinikmati semua orang. Sekiranya pihak berkuasa gagal untuk memenuhi keperluan ini, sebagai warga awam yang baik, kita perlu bertindak dan membantu ke arah perubahan yang ingin kita saksikan. Marilah kita berusaha agar pendidikan menjadi obor harapan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

Kredit: FIESTA KONVOKESYEN UIAM (CONVEST’16)

Cendawan merangsang perniagaan kaum wanita di Indonesia

Golongan ibu tunggal di kawasan paling terabai di rantau tersebut melancarkan perniagaan makanan yang bakal mengubah nasib mereka.

Islamic Relief telah melatih para ibu tunggal di Lombok Barat untuk menanam dan menjual cendawan tiram sebagai snek jalanan berbagai jenis seperti kerepek cendawan sehinggalah sate, puding dan juga aiskrim.

Ramai dalam kalangan wanita ini tidak menamatkan pendidikan sekolah rendah dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, cendawan adalah bahan makanan yang bernilai tinggi di Indonesia dan mampu menawarkan pulangan besar dengan modal yang kecil.

Surmimi, ibu tiga orang anak ini (kanan dalam gambar), berkata: “Bagi saya, aktiviti ini telah mengubah kehidupan saya dan pendapatan saya telah bertambah secara mendadak.
surmini-small-pic

“Saya menjual produk cendawan setiap hari dan kadang kala saya tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan kerana stok cendawan yang terhad.”

Sewaktu suami Surmimi meninggal dunia tahun lalu, beliau terpaksa menanggung anak lelakinya yang berusia lima tahun dan dua lagi anak tirinya tanpa sebarang punca pendapatan. Pernah berkhidmat sebagai orang gaji dengan bayaran $2 sehari, beliau mengalami kesukaran untuk menyara keluarga empat ahlinya.

Beliau berkata lagi: “Setelah kematian suami, saya amat bimbangkan masa depan anak-anak saya.

“Semasa mengikuti kursus, saya ingat lagi yang kami dipesan supaya menjaga cendawan-cendawan ini seperti mana anda menjaga seorang bayi.

“Kami berasa terkejut melihat cendawan-cendawan ini tumbuh. Saya ingat lagi yang saya telah menjerit kegembiraan semasa saya ternampak cendawan yang saya tanam di dalam rumah membesar elok!”

Selain dari penanaman cendawan, wanita-wanita ini juga telah diberikan latihan dalam bidang pengurusan perniagaan yang lain termasuklah pembungkusan, pembiakan biji benih, pemasaran dan perakaunan.

Secara berkumpulan, mereka boleh menghasilkan sekitar 350kg cendawan segar setiap bulan, yang boleh dijual sekitar £400.

Menyokong 149 wanita (dan 629 orang lagi secara tidak langsung, perniagaan cendawan ini menawarkan peluang peningkatan taraf hidup bagi golongan wanita ini dengan adanya kewujudan saluran pendapatan pelbagai dengan membangunkan produk-produk yang berbeza.

Ketahui lebih lanjut tentang kerja lapangan kami di Indonesia di sini.
img_0400