Syarahan “Tangisan di Syria” menarik perhatian rakan media.

Wisma BERNAMA, 24 Nov. 2016 – Seramai 40 orang rakan-rakan media dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) hari ini didedahkan mengenai isu kemanusiaan yang melanda Syria. Taklimat “Tangisan di Syria“ yang disampaikan oleh Pengarah Negara Islamic Relief Malaysia (IRM), Tuan Haji Zairulshahfuddin Zainal Abidin berjaya memukau dan memberikan sentuhan kemanusiaan kepada jiwa mereka yang hadir.

Antara isu yang dikupas adalah mengenai kawasan-kawasan di Syria yang bergolak, operasi dan bantuan yang disalurkan oleh Islamic Relief serta pengalaman Tuan Haji Zairul berada di lapangan termasuk kawasan berisiko tinggi sepanjang berkhidmat dalam dunia kemanusiaan.

Di samping itu, IRM membuka kaunter jualan yang menempatkan produk-produk eksklusif keluaran IRM seperti t-shirt, pen pointer, sejadah, penunjuk arah kiblat, buku nota dan lain-lain. Rakan-rakan BERNAMA juga turut diperkenalkan dengan Waqf Al-Quran Braille dan auto-debit bagi memudahkan mereka membuat sumbangan tetap.

Kerjasama di antara IRM dan BERNAMA telah terjalin sejak 3 tahun dahulu menerusi segmen Generasi Prihatin (Gen-P) yang bersiaran di BERNAMA Radio setiap hari Rabu jam 8.30-9.00 pagi. Melalui segmen tersebut, kakitangan atau sukarelawan IRM diberi peluang untuk memperkenalkan kerja-kerja kemanusiaan IRM di samping berkongsi pengalaman di dalam dan luar negara.