Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) bakal lahirkan pelajar Rohingya berkualiti tinggi.

Kajang, 15 Feb. 2017 – Islamic Relief Malaysia (IRM) hari ini melancarkan Pusat Bimbingan Alternatif buat masyarakat Rohingya bertempat di Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor.

Pusat tersebut yang dikenali sebagai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) merupakan sekolah pertama ditubuhkan di bawah IRM dan dipantau sepenuhnya oleh IRM sendiri.

Tujuan penubuhan sekolah tersebut adalah untuk memberikan perkhidmatan pendidikan secara percuma kepada warga minoriti Rohingya yang berada di sekitar kawasan Selangor.

Majlis disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Presiden HUMANiTi Malaysia yang juga Duta Khas OIC ke Myanmar.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Tn. Hj. Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zaid Al-Rawni, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Canada serta kakitangan IRM.

Zairulshahfuddin dalam ucapannya berkata, “Pendidikan adalah hak milik setiap insan. Masa depan anak-anak Rohingya ini bergantung kepada bagaimana kita mencorak mereka hari ini. Kerana itu, IRM bersungguh-sungguh untuk merealisasikan sekolah impian ini agar anak-anak masyarakat Rohingya yang berada di sekitar Selangor khususnya tidak tercicir daripada persediaan asas untuk masa depan mereka.”

 

Mengenai Rohingya Integrated School of Excellence (RISE)

Menurut Zairulshahfuddin lagi, sekolah tersebut akan beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Enam mata pelajaran telah dikenalpasti dan akan diberi penekanan iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Myanmar, Matematik, Sains serta Pendidikan Islam.

IRM juga menyediakan kelas-kelas kemahiran seperti memasak, menjahit dan komputer. Para guru terdiri daripada guru terlatih lulusan universiti tempatan dan juga guru dari etnik Rohingya sendiri.

Selain itu, bagi memastikan anak-anak Rohingya ini terus menimba ilmu, satu program khas (HOPE) bakal dilaksanakan pada setiap hujung minggu di mana guru-guru, sukarelawan dan tenaga pengajar RISE akan turun ke komuniti dan membuat outreach education kepada mereka.

“Peranan IRM terhadap sekolah ini sangat besar memandangkan ia dikelolakan sepenuhnya oleh IRM. IRM menyediakan bantuan kelengkapan sekolah, peralatan pembelajaran, gaji guru serta sewa sekolah,” katanya lagi.

 

Mengapa IRM bantu masyarakat Rohingya

Menurut United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR), terdapat sekurang-kurangya 150,000 pelarian Rohingya di Malaysia di mana hanya 54,856 orang sahaja yang berjaya didaftarkan di bawah UNHCR.

Di negara mereka, masyarakat Rohingya tidak dibenarkan untuk memiliki tanah atau rumah dan mereka juga tidak dibenarkan untuk mendapat pendidikan asas sehingga menyebabkan 85% hingga 90% masyarakat Rohingya buta huruf.

Lantaran itu, mereka tidak boleh membaca dan menulis walaupun di dalam bahasa ibunda sendiri, dan ini menyebabkan mereka sukar untuk mendapat pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

IRM mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat Rohingya di kawasan Bandar Baru Bangi, Kajang, Serdang dan Balakong dengan penyediakan Pusat Bimbingan Alternatif ini dengan mengetengahkan pembelajaran akademik kepada kanak-kanak Rohingya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434.

Program Cheer To School (CTS) di Sabah

Sabah, 10 Feb. 2017 – Seramai 188 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kudat (SMK Kudat) diraikan dalam satu program Cheer To School (CTS) atau “Ceria Ke Sekolah” anjuran Islamic Relief Malaysia(IRM). Mereka yang mendapat sumbangan ini adalah terdiri daripada mangsa kebakaran pada pertengahan tahun 2016 yang lalu.

Program CTS ini diadakan setiap tahun dan membantu di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Tujuan utama program ini adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh golongan yang kurang berkemampuan melalui bantuan persekolahan seperti set pakaian sekolah, sepasang kasut berserta stoking, beg sekolah dan set alat tulis.

Turut hadir bagi memeriahkan program ialah Tuan David Ambang iaitu pengurus cawangan Maybank Kudat yang bersemangat dalam memberi sokongan kepada IRM kerana beliau merupakan sukarelawan IRM.

Fikir Kemanusiaan, Fikir ISLAMIC RELIEF!

 

Perkembangan Terkini Kemarau Etiopia – 3

Musim hujan berterusan, di bawah paras purata telah menyebabkan gejala kemarau yang teruk di kawasan utara, timur dan tengah Etiopia.

Kemarau ini telah mencetuskan kebimbangan makanan berparas tinggi dan peningkatan kadar malnutrisi. Menurut perangkaan terkini dari ACAPS, 5.6 juta penduduk negara tersebut kini memerlukan bantuan makanan, 9.2 juta tidak mempunyai akses kepada sumber air bersih, dan 420,000 kanak-kanak menderita Malnutrisi Akut Yang Teruk.

Pasukan Kami #OnTheGround, sedang meneruskan usaha pengangkutan air dengan trak ke 23 perkampungan di zon Afdar. Sehingga hari ini, projek WASH kami yang sedang berjalan terus membantu tiga daerah iaitu Hargelle, Chereti dan Elkeri dan telah pun mengedarkan air kepada 29,186 penerima.

Anda boleh membantu dengan menderma kepada Dana Air Untuk Kehidupan SEKARANG goo.gl/f8zkwL

#LiveUpdate #EndWaterPoverty

Islamic Relief adalah 20 Terbaik di dalam senarai 500 NGO terunggul di seluruh dunia

Senarai tahunan ini telah dikumpulkan oleh NGO Advisor, sebuah organisasi media bebas yang komited dalam menonjolkan inovasi, impak dan urus tadbir di dalam sektor bukan berasaskan keuntungan.

Organisasi yang berpangkalan di Geneva, Switzerland itu mengatakan bahawa setiap penarafan tersebut diperuntukkan berdasarkan kombinasi analisis kuantitatif berasaskan bukti dan kajian kualitatif yang menyeluruh”.

Di dalam sebuah kenyataan, Penasihat NGO telah mengatakan: “Dikenali sebagai Ivy League di dalam dunia bukan berasaskan keuntungan, 500 Teratas menarafkan NGO untuk menunjukkan amalan terbaik dan idea terbaru dalam sektor tersebut. Penarafan NGO tahun ini lebih berpengaruh, lebih berkuasa, dan lebih inovatif dari tahun-tahun sebelumnya.”

Islamic Relief telah dinilai dalam tiga bidang berkaitan impak, inovasi dan tadbir urus di dalam kategori Kanak-Kanak & Belia, Pemerkasaan Ekonomi, Kecemasan – Krisis, Pelarian, Penginapan; dan Keadilan Sosial. Badan kebajikan bantuan kemanusiaan ini telah melonjak enam anak tangga dari penarafannya di tempat ke-26 tahun lalu.

Imran Madden, Pengarah Islamic Relief UK, berkata:

“Ini adalah pencapaian yang memberangsangkan dan merupakan satu bentuk penghargaan kepada kerja keras yang telah dilakukan oleh staf dan sukarelawan kami di serata dunia. Kami beroperasi di 40 negara seluruh dunia dan membekalkan bantuan kepada sesiapa pun yang memerlukan kami, tanpa mengira bangsa, agama atau jantina, selaras dengan ajaran Islam berkenaan nilai setiap nyawa manusia.

“Sewaktu kami bermula 33 tahun yang lalu, kami telah terlibat dengan bantuan bencana dan kecemasan, tetapi sejak beberapa tahun yang lalu kami telah meluaskan sayap di dalam bidang pembangunan mampan untuk membekalkan air, makanan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan dalam membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan, membuka perniagaan dan menyara keluarga mereka dan juga komuniti setempat.”

Hanya dua organisasi berpangkalan di UK lain yang tersenarai di dalam 20 NGO Terbaik iaitu Oxfam (7) dan Save The Children (11).

Disiarkan di dalam: Berita Terkini, Siaran Akhbar pada Selasa, 31 Jan, 2017

Sumber: Islamic Relief UK

Krisis Kemarau Etiopia – 2

Akibat kekurangan air dan makanan, komuniti Pastoralis telah terpaksa berpindah dari Wilayah Somali. Majoriti penduduk di kawasan ini adalah golongan wanita dan kanak-kanak seperti mana yang dilaporkan. Mereka juga dilaporkan telah kematian haiwan ternakan mereka termasuklah kambing dan unta yang secara tradisionalnya dianggap sebagai haiwan tahan kemarau.

Penilaian terkini yang dijalankan di Rantau Oromia di Zon Borena dan Bale mencadangkan bahawa kematian ternakan, malnutrisi dan kadar keciciran sekolah terus meningkat manakala tindakan penyelesaian amat perlahan dan tidak mencukupi secara umumnya.

IR pada waktu ini sedang mengedarkan 102,780 Liter air setiap hari kepada 17 perkampungan.

IR telah mengedarkan 1185 bungkusan NFI yang mengandungi peralatan asas rumah, tin air Jerry, alas plastik dan besen cuci kepada mereka yang tersingkir.

Ingat Kemanusiaan, Ingat ISLAMIC RELIEF!

Perkembangan Terkini Banjir Di Pantai Timur

Rantau Panjang, 23 Jan. 2017 – Bilik Gerakan Kecemasan (BGK) telah beroperasi sejak beberapa hari yang lalu untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan Pantai Timur. Untuk makluman, BGK telah ditubuhkan pada tahun 2015 oleh sekumpulan sukarelawan IRM sebagai pusat aktiviti IRM di kawasan Rantau Panjang. Mereka terdiri daripada guru, peniaga, penjawat awam dan lain-lain.

BGK telah menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan hasil sumbangan orang ramai dan menjadi lokasi penyerahan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir. Pihak Islamic Relief Malaysia (IRM) telah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut mengenai banjir terkini. Oleh itu, pihak BGK menyusun pergerakan sukarelawan dalam misi membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)/ Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). BGK telah ditugaskan di pusat pemindahan Sk. Gual Tok Deh dan SK Kubang Kua (Rantau Panjang).

Kini negeri-negeri di pantai Timur sedang mengalami banjir gelombang ke-2. Kenaikan air secara rawak telah menyebabkan pemindahan semula penduduk yang terkesan akibat banjir buat kali ke dua dalam masa beberapa bulan. Rentetan daripada itu, operasi Bilik Gerakan Kecemasan (BGK) masih bersiap siaga sehingga akhir Januari ini:

1. BGK kini dibuka 24jam bermula dua hari lalu sehingga 26 Jan 2017. Dan selebihnya beroperasi jam 8pg – 10mlm.

2. Masih mengekalkan konsep homestay transit bagi mana mana NGO/Pertubuhan yang memberi khidmat bantuan mangsa banjir untuk berehat,koordinasi setempat dan tempat tidur.

3. Masih membantu JKM negeri, yang mana 6 sukarelawan bergilir-gilir di 2 pusat pemindahan sepanjang masa untuk memberi sokongan dan menguruskan mangsa banjir.

4. Sarapan pagi telah disediakan oleh BGK kepada semua mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut pagi ini.

5. Jumlah penerima manfaat adalah seramai 389 keluarga.

6. Pembungkusan dan agihan bekalan makanan serta lampin pakai buang dewasa/kanak2 di SK Tok Deh dan SK Kubang Gual.

Mari ikuti perkembangan Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk info terkini dari masa ke semasa.

Untuk menyumbang, anda boleh melayari laman web kami di https://www.islamic-relief.org.my/2018/2018/donate-now/index.php?mod=pages&opt=online. Anda boleh memilih kategori “Fund Special Appeal” & klik “Family Package-RM150” untuk menyumbang.