Kebimbangan melanda Mosul, dan Iraq bersiap sedia untuk menerima kehadiran penduduk yang menyelamatkan diri

Petugas kemanusian mengingatkan kesan pertempuran di Mosul mengakibatkan kemusnahan teruk.

Pasukan Islamic Relief yang sedang berkhidmat di lapangan, sedang mengendalikan pelan usaha bantuan bernilai £500,000, berpendapat bahawa orang-orang awam yang berjaya menyelamatkan diri dari kota tersebut berkemungkinan akan ditapis dan ditahan atau berpindah ke kem untuk orang-orang yang tersingkir.

Mereka yang terus tinggal di dalam kota-kota yang dikepung berisiko tinggi menghadapi kelaparan, kekurangan bantuan perubatan dan pencabulan hak asasi manusia.

Di Erbil, pegawai meja serantau Islamic Relief, Tom Colley berkata: “Bagaimana mereka yang terjejas ini boleh memutuskan sama ada untuk terus tinggal atau menyelamatkan diri mereka? Ini pilihan yang mustahil dibuat.

“Saya terdengar ada seorang lelaki yang mengatakan dia mengambil keputusan untuk melarikan diri sebelum serangan berlaku, dan secara tiba-tiba dua biji kereta di hadapan kenderaan beliau terlanggar periuk api. Beliau terselamat hanya kerana beliau sedang memandu di belakang kereta-kereta malang tersebut.”

Kurang dari 10,000 orang dipercayai telah meninggalkan kota Mosul (sebuah kota yang mempunyai populasi mencecah 1.7 juta) sejak operasi ketenteraan bermula pada 17 Oktober yang lalu.

Organisasi kemanusiaan pula menjangkakan gelombang pertama sesaran orang ramai akan melibatkan sekitar 200,000 orang – sebuah angka yang boleh meningkat sehingga 700, 000 atau satu juta apabila operasi ketenteraan semakin diperluaskan.

Kata Tom: “Penting untuk menyedari bahawa pada waktu ini, terdapat 10 juta penduduk di Iraq yang memerlukan bantuan kemanusiaan.

“Bukan sahaja Mosul. Berhampiran Kirkuk, sekitar 100km dari sini, kota Hawija juga berhadapan serangan ketenteraan dan lebih ramai orang yang akan kehilangan tempat tinggal di situ

“Ramai orang yang telah disingkirkan dari pelbagai arah dan masing-masing memerlukan bantuan.”

Dengan kuasa ketenteraan yang terus berusaha untuk mengepung Mosul, lebih ramai orang kini cuba melarikan diri merentas sempadan ke kem sementara dan jangka panjang, seperti Debaga, berhampiran Erbil, dan mereka memerlukan penginapan, makanan dan bekalan air.

Untuk minggu-minggu dan hari-hari yang bakal mendatang, Islamic Relief sedang merancang pengagihan makanan kepada 6,500 keluarga, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan PBB untuk mengenal pasti kumpulan yang paling terjejas akibat krisis ini untuk bantuan lanjut.

Sebagai tambahan, kami juga mengedarkan bungkusan makanan di kawasan Anbar di Iraq kepada orang awam yang telah melarikan diri dari Fallujah.

IRM Membantu Penerima Manfaat Gift of Hope (GOH)

BRICKFIELDS, 22 Okt. 2016 – Islamic Relief Malaysia (IRM) baru-baru ini menyantuni dua buah keluarga penerima manfaat dari kaum India di bawah Projek Gift of Hope (GOH). Fokus bantuan pada kali ini ialah membeli pakaian baru, kelengkapan rumah serta gotong-royong membersihkan kawasan rumah.

GOH merangkumi 4 sektor utama iaitu pendidikan (education), kesihatan (health), perlindungan (shelter) dan kehidupan mampan (sustainable livelihood). Pada tahun 2015, sebanyak 57 keluarga telah dibantu dalam projek tersebut. Di bawah projek ini, setiap keluarga yang terpilih akan menerima bantuan setiap bulan selama setahun mengikut keperluan.

Dalam program bersama penerima manfaat itu, seramai 12 kakitangan dan sukarelawan IRM terlibat dalam menjayakan objektif yang disasarkan. Kedua-dua buah keluarga dari PPR Lembah Subang dan Hulu Langat itu dibawa ke Little India, pusat beli belah yang terkenal dalam kalangan kaum India untuk membeli pakaian.

Selepas itu, keluarga dari Lembah Subang dibawa membeli barangan keperluan seperti peti ais, mesin basuh dan lain-lain sebelum pulang ke rumah untuk menjalankan aktiviti mengemas rumah. Pada hari itu, mereka juga menerima pek bantuan makanan bulanan. Sektor bantuan GOH yang diterima keluarga itu ialah perlindungan.

Keluarga kedua dari Hulu Langat pula dibawa membeli almari selepas masing-masing mendapat pakaian baru yang diidamkan. Keluarga ini pula merupakan penerima bantuan sektor perlindungan dan pendidikan. Sebelum ini, IRM membantu membaikpulih atap dan syiling rumah mereka yang telah rosak. Anaknya pula mendapat tajaan tuisyen bulanan bagi menghadapi SPM tahun ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk Projek GOH boleh salurkan ke tabung mySEDEKAH. Layari www.islamic-relief.org.my untuk maklumat lanjut.

Sukarelawan Perubatan (IRM) Menyantuni Anak Yatim dan Komuniti Rohingya

Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi sukarelawan perubatan sekali lagi menganjurkan program pemeriksaan kesihatan kepada mereka yang memerlukan.

Program kali ini diadakan selama dua hari melibatkan komuniti yang berbeza. Pada 15 Oktober 2016, program Community Health Fair telah diadakan di Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Nur Hidayah, Bukit Gantang, Perak. Fokus yang ditekankan di dalam program itu ialah memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan kepada anak-anak yatim dan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk sekitar Kampung Cheh tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah demonstrasi cara menggosok gigi yang betul, pemeriksaan kulit dan kesihatan serta pengedaran kit kebersihan. Selain Sukarelawan Perubatan IRM, program ini turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan IRM dari Bukit Gantang dan Muadzam Shah, Pahang, Royal College of Medicine Perak, UniKL serta Pantai Premier Pathology.

Manakala pada 16 Oktober 2016 pula, bersama-sama warga Rohingya dari Baitul Rahmah Rohingya Learning Centre, Alor Star, Kedah, telah diadakan program pemeriksaan kesihatan bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan di samping memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Seramai 99 orang anak-anak Rohingya dari pusat pendidikan itu mendapat manfaat melalui program ini. Enam orang Doktor, tiga orang pelajar perubatan, empat jururawat, empat Ahli Farmasi dan seorang Penolong Pegawai Perubatan daripada Sukarelawan Perubatan IRM, Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Pantai Johor terlibat di dalam program itu. Selain daripada pemeriksaan kesihatan, para penerima manfaat turut mendapat bantuan ubatan dan air vitagen.

Sebelum ini, program yang sama turut diadakan di Knowledge Garden Learning Centre (KGLC) di Seri Kembangan bersama Ethnic Rohingya Committee of Arakan (ERCA) dan Sekolah Pelangi Kasih di Batu Caves dengan kerjasama Malaysian International Welfare & Humanitarian Organisation (MyWelfare).

 

Program Imarah Masjid di Kampung Pauh, Terachi

Terachi, 14 Okt. 2016 – Satu upacara Pengisytiharan Undang Luak dan Adat Pepatih telah diadakan sempena program Imarah Masjid di Kampung Pauh yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 13 – 16 Oktober 2016.

Dalam majlis itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah diraikan sebagai menghargai jasa IRM yang telah memberi bantuan kepada penerima manfaat dan membangunkan komuniti setempat di Terachi serta membina penempatan khas untuk warga Rohingya, Rohingya Shelter & Health Education Centre (ROSE).

Antara bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh IRM kepada masyarakat Terachi:

1.Program Ramadan Relief 2014 2.Agro projek -Rohingya 2014 3.Penambahbaikan surau – Imarah Musolla 2015                   4.Membimbing 6 keluarga Gift Of Hope 2013-2016                 5.Penyerahan 150 pek makanan setiap tahun                                   6.Penempatan ROSE, Kg Mampas 2016                                       7.Pembinaan rumah MBSB 2016 8.Sumbangan Hari Raya 2013-2016

Selain daripada upacara tersebut, berlangsung juga taklimat berkaitan penjagaan kesihatan, penyerahan kunci rumah sumbangan dari MBSB, penyerahan 15 pek makanan kepada penerima manfaat di sekitar kawasan tersebut dan lawatan ke ROSE.

IRM komited membantu komuniti ini untuk lebih maju pada masa akan datang.

 

Wanita PBB dan pasukan Islamic Relief

Islamic Relief berganding bahu bersama-sama Wanita PBB, peneraju global kesaksamaan gender, untuk menguatkan kerjasama dalam memperkasakan wanita dalam dunia Muslim.

Pengarah eksekutif Wanita PBB Phumzile Mlambo-Ngcuka dan pegawai eksekutif kanan Islamic Relief Worldwide, Naser Haghamed, secara rasminya telah melancarkan sebuah Memorandum Persefahaman di Emiriah Arab Bersatu pada 19 Oktober.

Perjumpaan dua hala ini telah mencetuskan perkongsian kolaborasi yang utuh serta minat bersama dengan fokus khusus terhadap bidang bantuan kemanusiaan kepada wanita yang dilanda konflik dan komuniti pelarian, menghapuskan keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan serta memulakan dialog yang lebih menyeluruh berkenan hal ehwal hak asasi wanita dan kesaksamaan gender dalam Islam.

Islamic Relief telah melebarkan usahanya dalam bidang keadilan gender, hak dan pembangunan dalam dunia Muslim semenjak beberapa tahun yang lalu – isu yang menjadi semakin sukar dan lebih kritikal untuk ditangani dengan wujudnya cabaran dari rantau Arab.

En. Haghamed berkata: “Jutaan penduduk dari Syria hinggalah ke Burundi telah mengalami kemusnahan hidup yang berpunca dari konflik dan bencana-  dan wanita serta kanak-kanak perempuan pelbagai peringkat umur dan kebolehan adalah kumpulan yang paling terkesan.

“Pendekatan terbaru yang berpandukan Agenda Leave No One Behind dan komitmen terhadap Piawaian Teras Kemanusiaan adalah sangat-sangat diperlukan, menerusi kewujudan usahasama yang aktif dan bermakna di antara INGO dan badan-badan PBB.

“Kerjasama seperti ini menyasarkan tindakan ke atas pencabulan hak asasi manusia, dan mencegah serta mengurangkan impak konflik dan bencana ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan.”

Pn. Mlambo-Ngcuka berkata, kerjasama ini akan mendatangkan faedah yang berpengaruh kepada kedua-dua pihak: “Walaupun pengalaman teknikal dan normatif yang dimiliki oleh Wanita PBB akan menjadi sesuatu yang berguna kepada IRW, rangkaian akar umbi yang ekstensif serta dasar dan penyelidikan di dalam pelbagai tema bidang juga akan menjadi aset yang bernilai kepada usaha Wanita PBB di dalam hal ehwal kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

Memorandum Persefahaman itu yang telah ditandatangani pada waktu konflik Syria telah mewujudkan krisis pelarian paling teruk yang pernah direkodkan semenjak Perang Dunia Kedua, dengan jutaan keluarga tersingkir di kawasan Negara-Negara Arab dan serata dunia.

Wanita dan kanak-kanak perempuan adalah golongan yang sangat lemah dan mudah terjejas dalam zon-zon konflik dan komuniti pelarian.

Mereka juga terjejas secara tidak seimbang oleh kemiskinan dan krisis kemanusiaan yang berlaku – kedua-duanya merupakan fenomena yang semakin menular pada masa ini.

“Inilah masanya untuk kita bekerjasama rapat, untuk kita berdialog dan untuk kita bersatu-padu dalam menghadapi ancaman kekejaman dan ekstremisme yang menjejaskan keamanan dunia, dan seterusnya mengakibatkan kemiskinan dan penderitaan yang semakin memuncak,” sambung Pn. Mlambo-Ngcuka lagi.

“Keupayaan wanita bukanlah sesuatu yang patut dipandang remeh lagi dalam mewujudkan perkongsian yang boleh melindungi wanita dan melaburkan kebolehan mereka untuk memupuk keamanan dan perubahan dalam komuniti, tambah beliau lagi, sambil menyatakan bahawa rancangan berkaitan akan segera dilaksanakan oleh Wanita PBB dan Islamic Relief untuk mengukuhkan lagi kekuatan mereka dengan perancangan khusus untuk mengintegrasikan perspektif gender ke dalam usaha bantuan mereka dalam menangani krisis pelarian Syria.

Showcase Hijrah Diri.

Seri Iskandar, 7 Okt. 2016– Islamic Relief Malaysia (IRM) telah dijemput untuk memberi taklimat tentang kemanusiaan dan membuka kaunter jualan amal di Program Showcase Hijrah Diri anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Program itu berlangsung di Dewan Canselor UTP dengan kerjasama An-Nur Islamic Centre sempena Sambutan Maal Hijrah 1438H.

Antara aktiviti yang dijalankan pada malam itu ialah pengisian mengenai Maal Hijrah dan konsert amal oleh Daqmie.