Kebimbangan melanda Mosul, dan Iraq bersiap sedia untuk menerima kehadiran penduduk yang menyelamatkan diri

Petugas kemanusian mengingatkan kesan pertempuran di Mosul mengakibatkan kemusnahan teruk.

Pasukan Islamic Relief yang sedang berkhidmat di lapangan, sedang mengendalikan pelan usaha bantuan bernilai £500,000, berpendapat bahawa orang-orang awam yang berjaya menyelamatkan diri dari kota tersebut berkemungkinan akan ditapis dan ditahan atau berpindah ke kem untuk orang-orang yang tersingkir.

Mereka yang terus tinggal di dalam kota-kota yang dikepung berisiko tinggi menghadapi kelaparan, kekurangan bantuan perubatan dan pencabulan hak asasi manusia.

Di Erbil, pegawai meja serantau Islamic Relief, Tom Colley berkata: “Bagaimana mereka yang terjejas ini boleh memutuskan sama ada untuk terus tinggal atau menyelamatkan diri mereka? Ini pilihan yang mustahil dibuat.

“Saya terdengar ada seorang lelaki yang mengatakan dia mengambil keputusan untuk melarikan diri sebelum serangan berlaku, dan secara tiba-tiba dua biji kereta di hadapan kenderaan beliau terlanggar periuk api. Beliau terselamat hanya kerana beliau sedang memandu di belakang kereta-kereta malang tersebut.”

Kurang dari 10,000 orang dipercayai telah meninggalkan kota Mosul (sebuah kota yang mempunyai populasi mencecah 1.7 juta) sejak operasi ketenteraan bermula pada 17 Oktober yang lalu.

Organisasi kemanusiaan pula menjangkakan gelombang pertama sesaran orang ramai akan melibatkan sekitar 200,000 orang – sebuah angka yang boleh meningkat sehingga 700, 000 atau satu juta apabila operasi ketenteraan semakin diperluaskan.

Kata Tom: “Penting untuk menyedari bahawa pada waktu ini, terdapat 10 juta penduduk di Iraq yang memerlukan bantuan kemanusiaan.

“Bukan sahaja Mosul. Berhampiran Kirkuk, sekitar 100km dari sini, kota Hawija juga berhadapan serangan ketenteraan dan lebih ramai orang yang akan kehilangan tempat tinggal di situ

“Ramai orang yang telah disingkirkan dari pelbagai arah dan masing-masing memerlukan bantuan.”

Dengan kuasa ketenteraan yang terus berusaha untuk mengepung Mosul, lebih ramai orang kini cuba melarikan diri merentas sempadan ke kem sementara dan jangka panjang, seperti Debaga, berhampiran Erbil, dan mereka memerlukan penginapan, makanan dan bekalan air.

Untuk minggu-minggu dan hari-hari yang bakal mendatang, Islamic Relief sedang merancang pengagihan makanan kepada 6,500 keluarga, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan PBB untuk mengenal pasti kumpulan yang paling terjejas akibat krisis ini untuk bantuan lanjut.

Sebagai tambahan, kami juga mengedarkan bungkusan makanan di kawasan Anbar di Iraq kepada orang awam yang telah melarikan diri dari Fallujah.