IRM Membantu Penerima Manfaat Gift of Hope (GOH)

BRICKFIELDS, 22 Okt. 2016 – Islamic Relief Malaysia (IRM) baru-baru ini menyantuni dua buah keluarga penerima manfaat dari kaum India di bawah Projek Gift of Hope (GOH). Fokus bantuan pada kali ini ialah membeli pakaian baru, kelengkapan rumah serta gotong-royong membersihkan kawasan rumah.

GOH merangkumi 4 sektor utama iaitu pendidikan (education), kesihatan (health), perlindungan (shelter) dan kehidupan mampan (sustainable livelihood). Pada tahun 2015, sebanyak 57 keluarga telah dibantu dalam projek tersebut. Di bawah projek ini, setiap keluarga yang terpilih akan menerima bantuan setiap bulan selama setahun mengikut keperluan.

Dalam program bersama penerima manfaat itu, seramai 12 kakitangan dan sukarelawan IRM terlibat dalam menjayakan objektif yang disasarkan. Kedua-dua buah keluarga dari PPR Lembah Subang dan Hulu Langat itu dibawa ke Little India, pusat beli belah yang terkenal dalam kalangan kaum India untuk membeli pakaian.

Selepas itu, keluarga dari Lembah Subang dibawa membeli barangan keperluan seperti peti ais, mesin basuh dan lain-lain sebelum pulang ke rumah untuk menjalankan aktiviti mengemas rumah. Pada hari itu, mereka juga menerima pek bantuan makanan bulanan. Sektor bantuan GOH yang diterima keluarga itu ialah perlindungan.

Keluarga kedua dari Hulu Langat pula dibawa membeli almari selepas masing-masing mendapat pakaian baru yang diidamkan. Keluarga ini pula merupakan penerima bantuan sektor perlindungan dan pendidikan. Sebelum ini, IRM membantu membaikpulih atap dan syiling rumah mereka yang telah rosak. Anaknya pula mendapat tajaan tuisyen bulanan bagi menghadapi SPM tahun ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk Projek GOH boleh salurkan ke tabung mySEDEKAH. Layari www.islamic-relief.org.my untuk maklumat lanjut.