Sukarelawan Perubatan (IRM) Menyantuni Anak Yatim dan Komuniti Rohingya

Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi sukarelawan perubatan sekali lagi menganjurkan program pemeriksaan kesihatan kepada mereka yang memerlukan.

Program kali ini diadakan selama dua hari melibatkan komuniti yang berbeza. Pada 15 Oktober 2016, program Community Health Fair telah diadakan di Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Nur Hidayah, Bukit Gantang, Perak. Fokus yang ditekankan di dalam program itu ialah memberi kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan kepada anak-anak yatim dan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk sekitar Kampung Cheh tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah demonstrasi cara menggosok gigi yang betul, pemeriksaan kulit dan kesihatan serta pengedaran kit kebersihan. Selain Sukarelawan Perubatan IRM, program ini turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan IRM dari Bukit Gantang dan Muadzam Shah, Pahang, Royal College of Medicine Perak, UniKL serta Pantai Premier Pathology.

Manakala pada 16 Oktober 2016 pula, bersama-sama warga Rohingya dari Baitul Rahmah Rohingya Learning Centre, Alor Star, Kedah, telah diadakan program pemeriksaan kesihatan bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan di samping memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma. Seramai 99 orang anak-anak Rohingya dari pusat pendidikan itu mendapat manfaat melalui program ini. Enam orang Doktor, tiga orang pelajar perubatan, empat jururawat, empat Ahli Farmasi dan seorang Penolong Pegawai Perubatan daripada Sukarelawan Perubatan IRM, Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Pantai Johor terlibat di dalam program itu. Selain daripada pemeriksaan kesihatan, para penerima manfaat turut mendapat bantuan ubatan dan air vitagen.

Sebelum ini, program yang sama turut diadakan di Knowledge Garden Learning Centre (KGLC) di Seri Kembangan bersama Ethnic Rohingya Committee of Arakan (ERCA) dan Sekolah Pelangi Kasih di Batu Caves dengan kerjasama Malaysian International Welfare & Humanitarian Organisation (MyWelfare).