Pertandingan Bowling Untuk Kelaparan 2016

Sri Petaling, 5 Nov. 2016 – Bermain bowling dengan berpakaian chef atau tukang masak menjadi tarikan kepada pertandingan ‘Bowling For Hunger’ anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM). Pertandingan yang diadakan di Pusat Bowling Megalane, Endah Parade itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik sekaligus menyampaikan mesej kemanusiaan dan mengajak masyarakat menyumbang kepada tabung Care for Hunger.

Menurut Pengurus Kanan Charity Shoppe IRM merangkap pengarah program itu, Datin Norelan Ismail, Care for Hunger merupakan kempen yang dilancarkan sejak tahun 2015 sebagai tindak balas terhadap isu kebuluran di mana ia tersenarai dalam salah satu krisis terbesar di dunia yang memberi kesan kepada lebih 840 juta penduduk dunia.

“Sebagai simbolik kepada permasalahan kekurangan nutrisi ini, IRM memilih tema pakaian baju chef supaya semua yang hadir dapat menghayati situasi yang dialami oleh mereka yang kelaparan sedangkan kita di sini dapat menyediakan juadah yang enak tanpa sebarang kekurangan. In Shaa Allah, kami akan teruskan program seperti ini dengan tema yang berbeza.” katanya yang berpengalaman 20 tahun melakukan kerja-kerja amal.

Sementara itu, seorang peserta menzahirkan kegembiraan dapat menyertai program ini kerana selain unik, ia dapat mengeratkan silaturrahim antara semua yang hadir baik dalam kalangan peserta mahupun pihak penganjur.

Dalam pertandingan amal itu, sebanyak 120 peserta mengambil bahagian melibatkan pelbagai latar belakang seperti orang awam, agensi-agensi kerajaan, barisan selebriti serta rakan-rakan media seperti Chef Imelda, Ustaz Shahrul Faizie, BERNAMA, JAKIM, BTN, MAHA, MAMPU dan lain-lain.