Tidak Kenal Erti Lelah

1 Mei yang kita tahu merupakan Hari Pekerja. Namun, aktiviti kemanusiaan tidak mengenal erti masa. Jauh di pandangan mata, begitu banyak isu-isu kemanusiaan dunia yang perlu diambil peduli, lebih-lebih lagi badan bukan kerajaan yang sememangnya perlu bertindak sepantas yang mampu dalam menangani masalah tersebut. Sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) sentiasa bergerak aktif dalam mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh sesetengah masyarakat. Dalam erti kata lain, IRM komited untuk membantu dalam apa jua bentuk keperluan.

 

IRM juga percaya kepada ‘Mujahadah’, suatu konsep yang sering diaplikasikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin yang menekankan aspek pengorbanan yakni masa dan kebolehan dalam membantu mereka yang memerlukan. Di IRM, pengorbanan itulah yang menunjukkan kekuatan dan keadaan sebenar yang digalas oleh setiap pekerja. Melalui Mujahadah, IRM mampu melaksanakan pelbagai program serta projek dalam usaha membantu masyarakat.

 

Dengan kewujudan Islamic Relief di lebih 40 buah negara, Islamic Relief mampu meneruskan usaha murninya melalui bantuan kecemasan, pembangunan jangka masa panjang, dan usaha ke arah impak yang lebih baik. Di Malaysia contohnya, Pembangunan Komuniti merupakan salah satu cabang projek yang dilaksanakan dan ia mempunyai beberapa fokus utama seperti perlindungan, kehidupan mapan, dan pendidikan. Kini, IRM telah melangkau setiap negeri di Malaysia dalam mencari golongan yang perlu diberi bantuan. Beberapa projek yang dijalankan termasuklah Wakaf Mata Hati, Pembangunan Komuniti Bukit Raja, Klang dan Pembangunan Komuniti Orang Asli.

 

Sebagai organisasi antarabangsa, IRM juga sedang melaksanakan beberapa projek di luar negara bagi menunjukkan rasa keprihatinan terhadap dunia luar. Kami percaya bahawa bantuan itu universal dan perlu diberi kepada semua kaum tanpa mengira warna kulit dan latar belakang. Beberapa projek yang dilaksanakan termasuklah Bekalan Air untuk Malawi yang memacu objektif untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kebersihatan bagi komuniti yang terkesan dengan banjir. Selain itu, IRM juga aktif membantu kanak-kanak menerusi Perlindungan Kanak-kanak Kekurangan Gizi di Wilayah Serang Banten, Indonesia yang terkesan akibat kekurangan gizi.

 

Dari sudut lain, sebagai organisasi Islam berpengaruh, IRM sentiasa bergerak ke hadapan dalam menyediakan projek-projek bermusim seperti Ramadan Relief. Mac lalu, IRM telah berjaya melancarkan sebuah kempen iaitu #SalamRamadan 1439H yang akan memberi bantuan makanan kepada penerima manfaat pada bulan keberkatan itu. Tahun ini, IRM menyasarkan lebih 20,000 pek makanan untuk diagihkan dan ia akan memberi impak kepada 30,000 penerima manfaat di 30 buah negara.

 

Aktiviti kemanusiaan tidak akan terhenti, dan itulah sumber tenaga Islamic Relief untuk terus menjadi perantaraan bagi masyarakat luar dan penerima manfaat dalam menyatukan mereka. Ia selari dengan visi IRM iaitu mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

“Kami Harap Mereka Tinggal Lebih Lama di Sini”

KAJANG, 29 April 2018 – Program Kemanusiaan Islamic Relief 2018 yang telah disertai sukarelawan daripada Islamic Relief Canada (IR Canada) dan Islamic Relief Netherland (IR Netherland) untuk fasa dua telah melabuhkan tirainya.

 

Pendekatan bermain sambil belajar yang dilakukan bersama kanak-kanak Rohingya selama lebih seminggu ini, nyata memberi impak positif.

 

“Dulu, saya rasa kurang yakin untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, namun setelah lebih 2 minggu sukarelawan IR Canada dan Netherland menjalankan aktiviti bersama kami di sini, saya rasa lebih yakin dan bersemangat untuk meningkatkan tahap kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris,” luah Juwaidiyah Hanis, pelajar Rohingya Intellectual Skills & Excellence (RISE).

 

Tambahnya, dia berharap agar delegasi ini dapat bersama mereka untuk jangka masa yang lebih panjang agar pelajar-pelajar RISE dapat menimba lebih banyak ilmu.

 

Dalam pada itu, Juwaidiyah yang juga menjadi tenaga pengajar sambilan di Rohingya Education Garden (REG) melalui program bantuan IRM menyatakan, dia akan mempraktikkan kaedah pembelajaran yang digunakan oleh para sukarelawan sewaktu mengajar kanak-kanak di REG.

 

REG adalah program bantuan di bawah projek Heritage of Knowledge by Providing Education to Rohingya Refugee (HOPE) yang bertempat di Puchong, Selangor.

 

Rata-rata pelajar yang telah mengikuti aktiviti yang dijalankan sepanjang 2 minggu program berlangsung menunjukkan peningkatan minat dan keterujaan mereka untuk mempelajari ilmu baru setiap hari.

 

Diharapkan perubahan positif ini terus kekal bermanfaat demi kemajuan komuniti Rohingya dalam perjuangan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Islamic Relief Malaysia Komited Bantu Masyarakat Tebedu

Tebedu, 7 Apr 18 – 30 penerima manfaat di bawah projek Pembangunan Komuniti Islamic Relief Malaysia (IRM) mendapat pendedahan mengenai aspek kesihatan dalam aktiviti perjumpaan bulanan yang diadakan di Surau Darul Insan Jaya.

 

Menurut Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tebedu, Dr. Nor Shamira Mohd Radzi, ceramah berkaitan penyakit Tuberculosis (TB) yang disampaikan bertujuan untuk mendedahkan masyarakat Tebedu tentang kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan.

 

Ditanya mengenai impak daripada perjumpaan itu, beliau menegaskan ianya satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diteruskan pada masa akan datang.

 

“Ada penduduk yang tidak tahu dan tidak terdedah dengan aspek kesihatan terutama warga emas. Dengan adanya aktiviti ini, ia sekaligus dapat menambahkan ilmu dan kesedaran kepada mereka,” ujar beliau.

 

Katanya lagi, “Terdapat perbezaan antara Klinik Kesihatan dan Hospital. Klinik Kesihatan berperanan ‘mencegah’ penyakit manakala hospital lebih kepada ‘merawat’ pesakit.”

 

“Kebanyakan penduduk yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tebedu hanya mengalami sakit biasa seperti demam, batuk selsema. Ini menunjukkan tahap kesihatan mereka masih terkawal dan berada dalam keadaan baik,” akhiri beliau.

 

Perjumpaan bulanan itu diadakan oleh IRM bagi mengumpul semua penerima manfaat masyarakat Tebedu yang datang dari pelbagai kampung antaranya Kampung Insan Jaya, Kampung Darul Falah, Kampung Darul Iman dan lain-lain.

 

Selain mengadakan ceramah kesihatan, pertemuan mereka juga diisi dengan ceramah agama yang dikelolakan oleh Ustaz Mahidi dari Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak. Aktiviti ini bagi mengukuhkan kefahaman Islam serta meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan penerima manfaat yang kebanyakannya saudara baru melalui aktiviti pengucapan awam yang dilakukan.

 

Projek Pembangunan Komuniti merupakan inisiatif pihak IRM untuk membangunkan sesebuah komuniti melalui pelbagai sektor; kehidupan mampan, kesihatan, pendidikan dan perlindungan serta meningkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat setempat.

 

Pendidikan itu Universal

Seorang Perdana Menteri tidak akan wujud tanpa guru yang mendidik. Seorang jurutera tidak akan mahir tanpa ilmu yang dipelajari. Seorang anak tidak akan berjaya tanpa didikan asas daripada ibu bapa. Dalam hal ini, pendidikan dilihat sebagai senjata yang mampu mengubah dunia dengan kehadiran pelbagai jenis kepakaran dalam membentuk pembangunan negara. Secara amnya, pendidikan adalah kunci kepada kejayaan dan nasib seseorang untuk mencapai sesuatu.

 

Di serata dunia, sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak untuk memulakan alam persekolahan seawal umur enam tahun. Fenomena ini dapat dilihat melalui tanggungjawab ibu bapa yang begitu mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka agar masa depan generasi akan datang lebih terjamin. Namun, adakah pendidikan itu benar-benar menyeluruh bagi membentuk kerjaya dan harapan seorang anak kecil?

 

Dari dimensi lain, pendidikan boleh dikatakan agak mahal bagi sesetengah kumpulan masyarakat kerana mereka tidak mampu menampung perbelanjaan untuk anak-anak mereka. Apatah lagi golongan pelarian yang sudah tentunya tidak mempunyai kelayakan untuk mendapatkan tempat di sekolah. Ia sekaligus menimbulkan persoalan adakah pendidikan itu kebaikan yang dapat dikongsi bersama?

 

Baru-baru ini, Islamic Relief Malaysia (IRM) menerima kunjungan khas daripada Islamic Relief Canada (IR Canada). Ia seakan-akan percaturan yang ditetapkan Ilahi kerana tidak lain tidak bukan, kehadiran para sukarelawan IR Canada adalah untuk memupuk jalinan kerjasama kemanusiaan. Pada program kali ini, penekanan terhadap pendidikan dijadikan pemacu utama dalam memupuk semangat yang tinggi untuk mempelajari sesuatu ilmu yakni pendidikan yang mempunyai banyak cabang.

 

Setakat September 2017, pelarian Rohingya berdaftar di Malaysia telah mencatat angka sebanyak 62,153 dan mereka menetap di negeri yang berbeza. Namun, kehadiran mereka tidak disenangi ramai atas faktor-faktor tertentu seperti keselematan, kebersihan, sikap, dan budaya yang berbeza dengan rakyat Malaysia. Komuniti pelarian ini juga kian bertambah dan ia turut menimbulkan situasi yang sukar bagi kanak-kanak kerana mereka tiada dokumen yang sah untuk mendapatkan pendidikan.

 

Apa yang menyedihkan, kelompok ini terpaksa bekerja tanpa permit bagi menampung keperluan hidup manakala anak perempuan yang berumur sekitar 15 tahun akan dikahwinkan bagi meringankan beban ibu bapa. Adakah situasi ini wajar bagi seorang kanak-kanak perempuan yang lebih memerlukan pendidikan untuk mengubah nasib ibu bapa mereka?

 

Dengan kerjasama IR Canada, IRM membawa semua sukarelawan meninjau salah sebuah projek yang dibangunkan khas untuk pelarian Rohingya iaitu Heritage of Knowledge by Providing Education to the Rohingya Refugees (HOPE). Projek tersebut dilaksanakan di Puchong. Berbeza dengan keadaan di sekolah-sekolah biasa, sekolah tersebut tidak mempunyai kelengkapan dan tenaga pengajar yang cukup untuk mendidik seramai 37 pelajar.

 

IR Canada mengambil peluang ini untuk mengaplikasikan pendekatan yang baharu dalam memupuk minat para pelajar agar mereka lebih menghargai pendidikan. Pendidikan formal amat diperlukan, namun keseronokan ketika belajar juga harus dititikberatkan kerana kanak-kanak pada abad 21 kini lebih hebat dan mereka cepat merasa bosan dengan pendidikan secara konvensional.

 

Pada awalnya, modul yang disediakan oleh IR Canada nampak terlampau sukar bagi kanak-kanak itu untuk memahaminya. Bagaimanapun, apa yang dilihat adalah kepantasan mereka ketika memberi respon yang sangat memberangsangkan. Rata-rata pelajar tersebut mampu dan berkebolehan untuk melakukan apa yang diajar melalui beberapa modul seperti Bingo Maths, Tale n Time, dan Science Bridge. Contohnya, melalui Bingo Maths, pendekatan yang digunakan adalah permainan mudah dalam menjawab soalan dan sekaligus menarik minat mereka untuk menghayati nombor-nombor.

 

Selain itu, program yang bertemakan pendidikan ini juga sekaligus dapat menjalinkan hubungan mesra antara kanak-kanak Rohingya, sukarelawan IR Canada, dan pihak IRM. Cabaran utama dalam program ini adalah faktor bahasa kerana kedua-dua kumpulan ini tidak menggunakan penyampaian bahasa yang sama. Pelajar-pelajar juga tidak berkemahiran tinggi dalam Bahasa Inggeris untuk memahami apa yang dibincangkan oleh sukarelawan IR Canada. Namun, ia bukanlah halangan bagi mereka untuk belajar kerana isyarat tangan dan penggunaan kata yang mudah sudah memadai untuk bekerjasama.

 

Sebagai contoh, aktiviti Science Bridge memerlukan daya kreativiti dan kefahaman konsep yang tinggi bagi memastikan jambatan yang dibina itu kukuh untuk menampung berat sesuatu beban. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar serta sukarelawan berkomunikasi dengan lebih efektif supaya setiap mesej yang disampaikan dapat diterima secara langsung.

 

Jika dikaji semula, setiap kanak-kanak kecil sebenarnya mempunyai daya kefahaman dan kreativiti yang tinggi kerana mereka masih dalam proses membesar termasuklah kanak-kanak pelarian Rohingya. Sungguhpun demikian, kanak-kanak tersebut tidak diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan secara formal memandangkan mereka tiada dokumen yang sah untuk membenarkan mereka berada di sekolah.

 

Ia juga merupakan pendedahan yang baik untuk sukarelawan IR Canada kerana mereka sedikit sebanyak dapat menghayati kepayahan yang dialami oleh pelarian Rohingya di Malaysia. Meskipun kanak-kanak ini adalah kelompok yang jauh daripada masyarakat biasa, mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu. Namun, apakah nasib mereka pada masa akan datang?

 

Bahasa Bukan Penghalang

Kajang, 24 Apr 2018 – Sukarelawan Islamic Relief Canada (IR Canada) bersama anak-anak Rohingya di Rohingya Intellectual, Skills, & Excellence (RISE) hari ini membuktikan bahawa bahasa bukanlah faktor penghalang dalam usaha mencari ilmu.

 

Walaupun sesi interaksi bersama anak-anak Rohingya itu menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi, anak-anak Rohingya tetap tidak berputus asa untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

 

Salah seorang sukarelawan IR Canada, Fatima Mulla, berpendapat bahawa anak-anak ini sebenarnya berupaya untuk memahami apa yang disampaikan sekiranya kaedah yang diaplikasikan itu mudah bagi mereka.

 

Tambahnya, “anak-anak ini memerlukan kaedah pembelajaran yang seronok dan tidak membosankan bagi menarik lagi minat mereka untuk belajar.”

 

Selain itu, aktiviti interaksi bersama anak-anak Rohingya juga merupakan satu langkah proaktif dalam memupuk pembangunan diri dari segi komunikasi bersama penerima manfaat.

 

Untuk maklumat, program kemanusiaan bersama sukarelawan IR Canada fasa kedua akan berlangsung sehingga 29 April.

 

Ikatan Ukhuwah Tetap Diteruskan

Kajang, 20 Apr 2018 – Hubungan kasih sayang yang terjalin antara pihak Islamic Relief Malaysia (IRM) dan sukarelawan Islamic Relief Canada (IRC) kekal utuh walaupun program kemanusiaan fasa satu ini telah sampai ke titik akhir.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berharap agar perjuangan dalam misi kemanusiaan akan terus mengeratkan persahabatan antara dua entiti besar ini.

 

“Saya harap program seperti ini akan menjadi sebahagian daripada ikatan ukhuwah yang kuat antara Islamic Relief Malaysia dan Islamic Relief Canada,” katanya ketika berucap.

 

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan para sukarelawan pada masa akan datang dalam usaha mencapai misi dan visi utama IRM.

 

Selain itu, sukarelawan IRC, Safia Khan juga merafakkan rasa kesyukurannya terhadap IRM dalam memberi pendedahan secara menyeluruh kepada misi-misi kemanusiaan yang diusahakan oleh IRM.

 

“Saya bersyukur kerana IRM telah merapatkan saya dengan anak-anak di sini dan berharap agar perhubungan ini akan terus kekal,” jelasnya.

 

Untuk maklumat, majlis penutupan itu diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada sukarelawan yang terlibat.

 

Oleh: News, Media and Publication, Communication & Campaign.