Jualan Barangan Eksklusif Tingkat Dana Projek Pembangunan

KUALA LUMPUR, 1 SEP 2018 – Squad Celebrity Global Volunteers menganjurkan Pre Loved4U Charity Sales dalam usaha mengumpul dana projek kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Ukhuwah 4 Ummah (U4U) sebanyak RM2.4 juta.

 

Hasil jualan eksklusif barangan terpakai selebriti Malaysia pada hari berkenaan akan disalurkan kepada empat projek pembangunan di Malawi, Bosnia dan Herzegovina, India, dan Filipina.

 

Squad Celebrity Global Volunteers yang diwujudkan April lalu memberi peluang kepada 12 barisan artis untuk menyelami kepedihan dan penderitaan yang dirasai oleh penduduk-penduduk di empat negara berkenaan sekaligus dapat menyampaikan mesej kemanusiaan kepada orang ramai.

 

Antara artis yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut ialah Irma Hasmie, Redza Syah Azmeer, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Ashraf Muslim, Fara Lee, Lufya Omar, Diana Amir, Zoey Rahman, Lah Ahmad, Nadia Sabrina, dan Dhirar Zainal.

 

Mohamad Sharudin Dawam, Presiden U4U berkata “Ia juga satu peluang kepada selebriti Malaysia yang berlainan bidang seperti penyanyi, pelakon, blogger, dan social media influencer bekerjasama sebagai satu pasukan bagi melaksanakan projek kemanusiaan di peringkat global.

 

“Situasi seperti ini masyarakat perlu tahu dan artis tempatan adalah penyampai terbaik kerana mereka bukan sahaja penghibur malah mampu untuk menyampaikan mesej kemanusiaan kepada orang lain dan mereka juga dapat berkongsi apa yg sedang berlaku di luar sana.”

 

Ikon Kemanusiaan IRM, Ashraf Muslim yang turut terlibat dalam misi-misi kemanusiaan bagi Squad Celebrity Global Volunteers di Bosnia dan Herzegovina juga menegaskan setiap manusia telah diberi sumber kekuatan untuk melakukan dakwah dan menyampaikan pesanan kepada orang ramai.

 

“Saya yakin semua orang ada kelebihan masing masing seperti mana golongan profesional juga ada cara tersendiri untuk berdakwah. Saya percaya Allah dah bagi kelebihan kepada orang lain untuk berdakwah.”

 

Selain daripada barisan 12 selebriti yang terlibat dalam Squad Celebrity Global Volunteers, seramai 20 artis tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira, dan Yatt Hamzah turut terlibatsama untuk menyumbang barangan peribadi mereka untuk dilelong dan didermakan kepada tabung Squad Celebrity.