Ikon Kemanusiaan IRM Turun Padang

Petaling Jaya, 19 Ogos 2018 – Tiga ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) berganding bahu meraikan Hari Kemanusiaan Sedunia 2018 bersama-sama keluarga IRM dalam menyantuni warga istimewa.

 

Memperingati sejarah Hari Kemanusiaan Sedunia, Kumpulan Saujana berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh IRM sendiri merupakan sebuah inisiatif yang baik dalam merapatkan hubungan antara golongan muda dan berumur.

 

“Saya merasakan bahawa langkah ini adalah amat baik untuk setiap sukarelawan untuk menyantuni mereka yang sudah berumur. Mereka seakan-akan ibu bapa kita biarpun berbeza bangsa dan agama,” kata Suffian Amrin, ketua kumpulan kumpulan Saujana merangkap Ikon Kemanusiaan IRM.

 

Dalam memperjuangkan kehebatan para sukarelawan, IRM juga menggunakan pendekatan menyantuni golongan anak-anak muda agak mereka tidak terpinggir dan rasa disayangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

Mengulas mengenai Hari Sukan di Rumah Home for Abused and Neglected Children (HOPE), Irma Hasmie percaya ia bukan sahaja memberi impak kepada kanak-kanak itu sendiri malah ia turut melibatkan penerapan nilai-nilai murni kepada anaknya juga.

 

“Program hari ini saya percaya sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada anak saya memandangkan ia memberi pendedahan kepadanya melalui pemerhatian yang dilakukan.

 

Selain berpendapat sedemikian, Irma turut menegaskan nilai-nilai kemanusiaan itu seharusnya melangkaui sifat memilih dalam menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik.

 

“Atas dasar kemanusiaan, tak perlulah kita persoalkan siapa yang kita tolong dan siapa mereka dari segi bangsa atau agama. Jadi sempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia ini, kita tak boleh membeza-bezakan taraf manusia itu sendiri,” tambahnya ketika ditemui media.

 

Selain kumpulan Saujana, Irma Hasmie dan pasangannya Redza Syah, ikon lain yang terlibat sama ialah Elfaeza Ul Haq. Kesemua mereka diangkat menjadi barisan Ikon Kemanusiaan IRM 30 Jun lalu.