Qurban Perdana 2018 Santuni Orang Asli

Dengkil, 25 Ogos 2018 – Seramai 290 keluarga Kampung Orang Asli Kampung Air Bangkong dan Bukit Tampoi, Dengkil menerima daging korban sempena sambutan Hari Raya Korban.

 

Program Qurban Perdana 2018 anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) ini bertujuan untuk menyantuni golongan orang asli yang juga merupakan penduduk minoriti di Malaysia selaras dengan fokus IRM untuk mengupayakan komuniti orang asli kepada tahap yang lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, “Kami anggap perkara seperti ni sebagai saham akhirat. Ia bukanlah untuk kepentingan peribadi namun merupakan satu aras bantuan daripada pelbagai institusi yang menyumbang.”

 

Zairulshahfuddin juga menegaskan program kemanusiaan ini juga menjadi asbab kepada perhubungan antara masyarakat luar untuk mengenali orang asli dengan lebih dekat.

 

Dalam pada itu, IRM turut berpegang pada konsep ‘touch and stay’ kerana apa yang diharapkan adalah keterlibatan sukarelawan dan projek kemanusiaan ini akan berterusan.

 

Mengulas lanjut, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group & International Shariah Scholar selaku tetamu khas berpendapat bahawa mesej korban yang dilakukan pada hari ini bukan sekdar menyembelih atau melapah, namun ia adalah mesej kemanusiaan dan perlu diusahakan secara beramai-ramai selaras dengan tuntutan agama berlandaskan Al-Quran.

 

“Bidang kemansiaan sebenarnya tidak ada batasan masa dan waktu, tidak mengenal tempat juga alamat, tiada beza bangsa dan agama. Semua berhak merasa rahmat dari Allah SWT.”

 

Tegasnya, dalam konteks korban, ada makna kemanusiaan iaitu konsep ihsan memandangkang keadilan dan kebenaran sahaja tidak cukup. Sifat itu perlukan disertakan dengan nilai ihsan dan timbang rasa yang tidak mempunyai sebarang batasan.

 

Untuk makluman, IRM menyasarkan lebih banyak bantuan akan diberikan kepada orang asli seperti yang tersedia dalam misi lima tahunnya iaitu 2017 hingga 2021.