Program Jalinan Kasih Mesra Kanak-kanak

Tg Malim, 14 Ogos 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) berpeluang untuk berkongsi ilmu bersama kanak-kanak kecil kecil berumur sekitar enam tahun berkenaan isu kemanusiaan yang berlaku di serata dunia.

 

Program Jalinan Kasih yang bermula dengan sesi tayangan video tentang konflik di Gaza itu sekaligus menarik minat setiap kanak-kanak untuk mengetahui keadaan sebenar dunia luar.

 

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Sopia Md Yasin, sesi perkongsian bersama kanak-kanak ini turut menerapkan nilai-nilai murni seperti memberi bantuan agar mereka lebih bersifat terbuka dan cakna apabila berlakunya bencana alam atau krisis di sesebuah lokasi.

 

“Walaupun kanak-kanak ini berumur sekitar enam tahun, program seperti ini dapat membuka mata mereka kerana IRM telah membawa konteks yang meluas iaitu dari aspek antarabangsa seperti keadaan di Bangladesh, Somalia, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media.

 

Prof. Sopia turut berpendapat bahawa pelibatan kanak-kanak dalam dunia kemanusiaan pada masa akan datang juga perlu dipertingkatkan agar mesej yang ingin disampaikan itu mampu memberi impak kepada mereka.

 

“Mungkin dalam penghasilan modul-modul yang akan datang, lebih elok jika kita ada aktiviti secara ‘hands-on’ yang boleh melibatkan kanak-kanak ini memainkan peranan dalam kumpulan kecil dan secara tidak langsung IRM dengan cikgu-cikgu boleh bekerjasama untuk menyelia aktiviti secara berkumpulan ini.”

 

Dalam pada itu, IRM juga berpeluang untuk menyampaikan mesej-mesej kemanusiaan kepada para ibu bapa yang turut terlibat sama dalam program itu seterusnya meningkatkan tahap kesedaran mereka terhadap isu-isu kemanusiaan di negara bergolak.

 

Mengulas mengenai pelibatan ibu bapa dalam program itu, Prof. Sopia juga percaya bahawa melalui perkongsian yang dilakukan oleh pihak IRM, ibu bapa akan dapat meneruskan ilmu pengetahuan yang diterima itu bersama anak-anak mereka.

 

“Saya lihat pelibatan ibu bapa memang sangat perlu kerana jarang sekali kita ada peluang iaitu ibu bapa dan anak-anak ini dapat mengupas isu-isu kemanusiaan walaupun kupasan itu pada tahap kanak-kanak. Namun ia harus ditanamkan mulai sekarang seperti sifat suka menderma dan membantu.”

 

Beliau berharap aktiviti seperti ini akan meningkatkan penghayatan kanak-kanak terhadap isu kemanusiaan.