IRM Diberi Mandat Bantu Rakyat Palestin

Putrajaya, 8 Sep 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa dilantik sebagai salah satu rakan pelaksana menerusi pelancaran Tabung Rakyat Palestin bersama organisasi bukan kerajaan tempatan, MyCARE.

 

Pelancaran Tabung Rakyat Palestin itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang dilaksanakan di bawah Yayasan Kebajikan Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

“Sukacita saya merasmikan Tabung Rakyat Palestin dan berharap agar ia memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

 

“Usaha-usaha pengumpulan dana kepada rakyat Palestin akan dibantu oleh rakan strategik kami iaitu Islamic Relief Malaysia dan MyCARE,” katanya ketika memberi ucapan.

 

Beliau juga merafakkan rasa syukur kepada setiap penyumbang dan yakin bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum mampu mengubah nasib penduduk di Palestin.

 

“Saya percaya rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang mahupun bangsa dan agama mampu bergerak seiring dalam menyokong kempen ini. Kebaikan adalah sesuatu yang mampu menghubungkan seterusnya menyatupadukan kita semua.”

 

Menyentuh berkenaan isu kemanusiaan di Palestin, beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukanlah permasalahan Kerajaan Arab dan Orang Islam sahaja malah memerlukan kekuatan orang ramai untuk mambantu memulihkan keadaan di negara itu.

 

Dr. Wan Azizah berharap agar sokongan dari pihak luar mahupun organisasi media mampu meneruskan kempen berkenaan.