Situasi Kemanusiaan di Yaman

“Keraguan keselamatan makanan, wabak penyakit taun, konflik berterusan, ketidakstabilan ekonomi telah menyebabkan satu situasi kemanusiaan paling serius di dunia.”

 

Yaman diisytiharkan sebagai sebuah negara termiskin di Timur Tengah sejak krisis bermula pada Mac 2015 lalu. Peperangan yang berterusan selama tiga tahun telah menyebabkan tragedi kemanusiaan yang sangat kritikal. Hari ini, lebih 22.2 juta daripada 29.3 juta penduduk Yaman amat memerlukan bantuan dan 11.3 juta daripadanya memerlukan bantuan kecemasan.

 

Ketika ini, 17.8 juta penduduk di Yaman tidak mendapat sumber makanan yang selamat. Sekitar 2.9 juta kanak-kanak dan wanita mengandung dilaporkan kekurangan zat serta 400,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun berada di ambang kematian.

 

Kira-kira 16 juta penduduk pula ketiadaan akses kepada sumber air bersih atau kemudahan sanitasi yang mencukupi di mana kawasan pedalaman adalah lokasi paling terjejas. Selain itu, 16.4 juta penduduk pula memerlukan bantuan bagi menampung keperluan kesihatan namun hanya 50 peratus kemudahan kesihatan sahaja yang berfungsi.

 

Lebih 2 juta pula direkodkan sebagai pelarian dalam negara. Berdasarkan laporan kemudahan kesihatan, sekurang-sekurangnya 8,757 orang telah terkorban dan seramai 50,610 pula cedera. Manakala, ratusan ribu pekerja tidak menerima bayaran gaji lebih dari setahun setengah yang menyebabkan banyak keluarga jatuh miskin.

 

Sumber: IR Yemen.

Selebriti Tempatan Sokong Misi Kemanusiaan IRM

Damansara, 4 APR 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Ukhuwah 4 Ummah (U4U) bersama-sama selebriti tempatan bakal menggembleng tenaga dalam misi kemanusiaan iaitu Projek Squad Celebrity Global Volunteers.

 

Misi yang bakal bermula pada 18 April itu juga menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2.4 juta bagi menjayakan projek-projek pembangunan di empat buah negara iaitu Malawi, Bosnia & Herzegovina, India, dan Filipina.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin menjelaskan bahawa IRM mengatur pelbagai pendekatan berbeza setiap tahun bagi mendekati masyarakat dan menyampaikan kempen kesedaran mengenai isu-isu kemanusiaan yang berlaku di peringkat global.

 

“Sejajar dengan visi IRM yang mahu mewujudkan dunia prihatin, kami akan bekerjasama dengan pihak U4U serta 12 barisan selebriti bagi menyelami kehidupan dan penderitaan yang ditempuhi oleh penerima manfaat di empat buah negara sekaligus dapat menyebarkan mesej kemanusiaan kepada masyarakat,” tambahnya ketika ditemui media.

 

Empat projek yang bakal disertai oleh IRM, U4U, dan selebriti adalah ‘School 4 Godda’ di India, ‘Tabang 4 Marawi’ di Filipina, ‘Water 4 Malawi’ di Malawi, dan ‘Misija 4 Bosnia’ di Bosnia & Herzegovina.

 

Antara selebriti yang terlibat dalam projek ini ialah Irma Hasmie, Redza Shah, Lufya Omar, Diana Amir, Farah Lee, Ashraf Muslim, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman, Lah Ahmad, Nadia Sabrina, dan Dhirar Zainal.

Salah seorang ikon projek berkenaan, Diana Amir berkata, “saya harap masyarakat di luar akan memberi sokongan menyeluruh terhadap projek ini dalam menarik lebih ramai orang untuk membantu.”

 

Dalam pada itu, Ashraf Muslim yang juga merupakan selebriti dalam projek ini juga percaya bahawa melalui bantuan kemanusiaan ini, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan taraf pembangunan di negara yang terpilih.

 

Projek Squad Celebrity Global Volunteers ini bakal memberi impak kepada 9,880 penerima manfaat di keempat-empat buah negara.

Lawatan IRM ke Pelosok Sabah

Sebut sahaja Sabah, pasti yang terlintas dalam fikiran kita adalah kepelbagaian etnik di negeri itu seperti suku kaum bajau, brunei, dusun dan sebagainya. Sungguhpun keunikan etnik ini dilihat sebagai satu simbolik kebanggaan bagi Malaysia, negeri di bawah bayu ini sebenarnya mempunyai satu kisah yang tersembunyi jauh di pelosok negeri itu.

 

Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) diiringi oleh Tuan Kapten Effendi berkesempatan untuk menelusuri serta menjiwai beberapa buah kawasan pedalaman di Sabah iaitu Kampung Simunul, Kampung Selamat, Kampung Bangau-Bangau, dan Kampung Halo yang terletak berdekatan dengan pekan Semporna. Objektif utama IRM ke kawasan perkampungan air ini adalah untuk membuat penilaian dan tinjauan terperinci bagi mengatasi permasalahan dan isu yang timbul di kawasan berkenaan.

 

Lokasi pertama yang dituju IRM ialah Kampung Simunul yang terletak berhampiran pelabuhan jeti Semporna. Kampung Simunul merupakan sebuah kampung atas air yang mempunyai kepadatan penduduk sekitar tiga hingga empat ribu dan majoriti penduduk di kampung itu bekerja sebagai nelayan, peniaga, tukang kayu, serta pekerja buruh. Selain itu, Kampung Simunul telah wujud sejak lebih 100 tahun yang lalu dan penduduk asal di situ sebenarnya merupakan pelarian yang terdiri daripada suku kaum Bajau dan Suluk sebelum diiktiraf kerakyatan Malaysia.

 

Kira-kira lima tahun lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan peristiwa berdarah yang berlaku di Kampung Simunul sehingga mengorbankan seramai 10 orang anggota keselamatan telah terkorban. Atas insiden itu, Jabatan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESCOM) ditubuhkan. IRM turut berkesempatan untuk menjalankan aktiviti Bersama penduduk di sebuah balai raya yang dibina dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

 

IRM melihat aspek kebersihan dan kesihatan sebagai satu aset yang penting dalam meneruskan rutin harian kehidupan. Atas sebab itu, IRM mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak di kampung berkenaan dan aktiviti yang dijalankan adalah teknik memberus gigi dengan betul kerana mereka kurang pendedahan terhadap kesihatan dan kebersihan tubuh badan. Dalam pada itu, IRM turut menekankan aspek pendidikan seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan ilmu agama bagi menerapkan nilai-nilai Islam sepanjang program berlangsung.

 

Seterusnya, IRM membuat lawatan ke Kampung Selamat yang juga berdekatan dengan Kampung Simunul. Sama seperti Kampung Simunul, penduduk di kawasan berkenaan mempunyai kapasiti penduduk hampir tiga ribu orang. Namun, kebanyakan penduduk di kampung itu merupakan pelarian dan tidak mendapat kerakyatan Malaysia.

 

IRM berpeluang untuk berkunjung ke Pusat Pembelajaran Alternatif (PPA) Kampung Selamat yang dibina atas inisiatif MKN. Di Sabah, terdapat 12 buah PPA dan walaupun tiada dana khas yang diperuntukkan oleh mana-mana organisasi kemanusiaan, ia dilihat sebagai batu loncatan oleh pihak MKN untuk memberi pendidikan agama kepada golongan muda di kampung itu. Rata-rata penduduk di Kampung Selamat sudah biasa dengan kehidupan atas air dan oleh sebab itu, majoriti penduduk kampung berkenaan bergantung sepenuhnya kepada ekonomi perikanan.

 

Destinasi seterusnya selepas dua kampung tadi ialah Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Halo. Kedua-dua kampung ini mempunyai kaitan yang rapat dan sebelum menuju ke Kampung Halo, pelawat dikehendaki untuk melintasi Kampung Bangau-Bangau terlebih dahulu. Berbeza dengan Kampung Halo, Kampung Bangau-Bangau merupakan petempatan dan komuniti yang mendapat pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia.

 

Penduduk di Kampung Bangau-Bangau dibekalkan dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan elektrik yang sempurna, laluan jalan yang baik serta sekolah kebangsaan yang turut dibangunkan dalam kawasan berkenaan. Hal ini berbeza dengan komuniti di Kampung Halo kerana mereka tidak mempunyai sistem pendawaian elektrik yang sempurna, tiada kerakyatan, dan terdedah kepada bahaya seperti jambatan goyang dan tiada akses yang selamat untuk memasuki kediaman masing-masing.

 

Melalui tinjauan ini, pihak IRM mendapati penduduk di setiap kampung mempunyai masalah yang sama seperti ketiadaan bekalan elektrik dan pendawaian yang sempurna. Sumber bekalan elektrik pula disambungkan melalui kayu-kayu namun ia terdedah kepada litar pintas yang akan menyebabkan kebakaran. Selain itu, komuniti-komuniti ini juga mengalami masalah kebersihan kerana rata-rata penduduk di kampung berkenaan tidak didedahkan kepada kepentingan menjaga kebersihan. Lebih malang, majoriti penduduk ini tinggal di atas air namun kekurangan bekalan air bersih untuk menjalankan rutin harian seperti mencuci, masak dan mandi.

IRM Terima Kunjungan Khas IR Canada

Bandar Baru Bangi, 13 Apr 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) menerima kunjungan khas daripada sukarelawan Islamic Relief Canada seramai sembilan orang dalam usaha meningkatkan ukhuwah antara satu sama lain.

 

Kunjungan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin dengan harapan agar setiap sukarelawan biarpun daripada pelbagai latar belakang dapat menghayati perbezaan budaya dan struktur pemikiran.

 

Katanya, “Saya harap setiap daripada anda akan dapat mempelajari apa yang kami usahakan di Malaysia dan ia sudah tentunya berbeza dengan Canada.”

 

Dalam pada itu, sukarelawan dari Canada akan diberi peluang untuk melawat projek-projek kemanusiaan yang dijalankan di Malaysia sebagai pendedahan kepada mereka dalam memahami kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah masyarakat di negara ini.

 

Peserta-peserta ini turut menjalani Kursus Induksi Sukarelawan yang dikelolakan oleh pihak IRM agar mereka lebih bersedia sepanjang keberadaan mereka di Malaysia.

 

Untuk maklumat, peserta berkenaan akan bergabung tenaga bersama warga IRM dalam aktiviti kemanusiaan di Malaysia selama 10 hari.

Memperingati Israk Mikraj

Jika peristiwa Israk Mikraj tidak berlaku pada 27 Rejab, sudah pasti umat Islam hari ini akan menunaikan solat lebih daripada lima waktu. Secara amnya, peristiwa Israk Mikraj merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril bertemu Allah SWT yang merupakan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu.

 

Melalui peristiwa ini, ia sebenarnya merupakan salah satu tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang perlu dihayati sebaik mungkin. Allah juga ingin mengingatkan umat manusia bahawa betapa besar kekuasaanNya melalui sebuah peristiwa yang dilihat ganjil dan di luar jangkaan manusia.

 

Peristiwa ini telah diceritakan dalam Al-Quran oleh Allah SWT melalui surah Al-Isra’ ayat 1 dan 60:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”Surah Al-Isra:01.

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.”Surah Al-Isra:60.

 

Selain itu, peristia Israk Mikraj juga adalah hadiah kepada kesedihan Rasulullah SAW setelah Baginda menghadapi pelbagai dugaan yang agak berat terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah baginda. Baginda turut diusir oleh penduduk di Kota Thaif.

 

Dalam pada itu, kehilangan bapa saudara Baginda iaitu Abu Talib juga menjadi punca kedukacitaan Rasulullah SAW dan apa yang menyedihkan, bapa saudara Baginda meninggal dalam keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Malah, Rasulullah SAW terus diuji apabila isterinya Siti Khadijah Khuwailid meninggal dunia.

 

Selain bukti kebesaran Allah SWT dalam peristiwa Israk Mikraj, ia juga diciptakan bagi mengukuhkan kemuliaan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah yang terakhir di muka bumi. Maka dengan kehadiran Israk Mikraj inilah  membuktikan kerasulan baginda Rasulullah SAW dan ia perlu sentiasa diperingati.

 

Seperti yang diceritakan dalam kitab suci Al-Quran, peristiwa Mikraj adalah perjalanan Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha iaitu tempatnya di mana Baginda mendapat perintah Allah SWT untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Pada awalnya, perintah mendirikan solat adalah sebanyak 50 waktu, namun Baginda memohon agar perintah itu dikurangkan sehingga lima waktu seperti yang ditunaikan hari ini.

 

Meskipun peristiwa Israk Mikraj tidak digambarkan dan melangkaui imaginasi kita sebagai manusia biasa yang lemah, orang yang beriman wajib meyakini peristiwa itu. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahajalah mengetahui setiap kejadian yang berlaku melalui kekuasaanNya. Apa yang perlu disemat dalam hati adalah nikmat iman yang telah dikurniakan Allah SWT dan menerusi solatlah akan membukti keimanan kita kepadaNya.

 

IRM Fokus Lahirkan Usahawan Baharu.

Bangi, 31 Mac 2018 – Seramai 15 usahawan baharu bakal dilahirkan melalui program Islamic Relief Malaysia (IRM) iaitu Dare to Growth: Road to Global.

 

Menurut Pengarah Bahagian Partner Care IRM, Kamarul Halim Sakrani, program itu bertujuan untuk mendidik usahawan-usahawan baharu dalam mengembangkan produk mereka ke serantau negara termasuklah Asia Tenggara.

 

“Kita juga mahu melahirkan usahawan-usahawan dari program IRM untuk menghasilkan produk yang berkualiti sebagai bekalan mereka untuk masa hadapan dan ia juga perlu diwarisi,” katanya ketika berucap.

 

Seiring dengan tanggungjawab IRM selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa, beliau juga menjelaskan bahawa usahawan-usahawan tersebut akan menjalani pelbagai latihan yang meliputi ilmu perniagaan sebagai persediaan mereka dalam pembangunan usahawan global yang berdaya maju.

 

Selain itu, IRM akan menyediakan kemudahan khidmat nasihat bagi mengukuhkan serta meningkatkan keupayaan usahawan bagi memenuhi keperluan piawaian semasa.

 

Untuk rekod, usahawan yang terpilih menyertai program ini merupakan penerima manfaat IRM dan juga asnaf yang pernah diberi bantuan oleh IRM dari segi sektor kehidupan mampan untuk berniaga sekaligus meningkatkan pendapatan keluarga.

 

Penerima manfaat, Dery Suwanda Yondiswan berkata, “Islamic Relief telah banyak membantu dari segi persediaan dan personaliti dan kini saya mempunyai tiga cawangan perniagaan saya di sekitar ibu kota.”

 

Suwanda yang juga merupakan usahawan jagung berharap agar program yang disediakan IRM akan dapat menarik lebih ramai golongan memerlukan dalam meningkatkan taraf hidup mereka.