Dunia Tanpa Penderitaan

Dunia tanpa penderitaan

Kesihatan merupakan satu nikmat dan aset kemanusiaan yang seharusnya disyukuri oleh setiap manusia. Kita menghirup udara yang sama, kita juga mampu menikmati sepinggan nasi lemak sebagai permulaan hari, dan yang pasti, kita masih mampu berjalan dengan sempura. Ini kerana nikmat kesihatan adalah tunjang utama kepada rutin harian kita.

Namun jauh di sudut lain, separuh dari kelompok manusia sebenarnya menghadapi kekangan akses kemudahan kesihatan dan menurut World Health Organization (WHO) seramai 100 juta dilaporkan miskin dan tidak berkemampuan untuk mendapatkan kemudahankesihatan.

Tahun ini mencatatkan 70 tahun Hari Kesihatan Sedunia sejak perasmiannya pada 7 April 1948 dan kali ini, Hari Kesihatan Sedunia akan memberi fokus kepada “Perlindungan Kesihatan Sejagat: Untuk semua tidak mengira sempadan” bagi memastikan setiap manusia mampu mendapatkan kemudahan kesihatan yang berkualiti tinggi.

Islamic Relief (IR) sebagai salah sebuah badan kemanusiaan yang diiktirafkan merupakan organisasi yang begitu komited dalam mendekati masyarakat dan mengurangkan jurang kemiskinan, termasuklah memberi bantuan dalam sektor kesihatan.

Tahun lalu, IR Syria telah melaksanakan beberapa projek kesihatan dalam usaha membantu hospital serta pusat kesihatan dan ia berjaya memberi manfaat kepada sejumlah 1.3 juta rakyat Syria. Di seluruh kawasan utara Syria, IR telah membantu infrastruktur kesihatan dengan membangunkan sebanyak empat unit kesihatan bergerak di Aleppo dan Idlib. Ia sekaligus menyediakan 60 pusat kesihatan berserta ubat-ubatan. Selain itu, IR Syria turut membantu 13 buah pusat dialisis berserta kemudahan kotak perubatan di tujuh pusat penyimpanan darah.

IR juga melatih seramai 152 pekerja sektor kesihatan dan unit pengurusan bagi memastikan kualiti kesihatan disalurkan dengan sempurna. Secara keseluruhan, projek itu telah membantu sekitar 240,000 penerima manfaat.

Dalam pada itu, IR Syria di bahagian utara turut memberi bantuan kecemasan kepada 50 buah hospital, tujuh pusat fisioterapi, dan tiga pusat talasemia dengan menyediakan keperluan ubat. Projek itu meliputi bantuan latihan kesihatan reproduktif untuk para doktor dan pengamal kesihatan yang bekerja di kawasan Syria. Secara keseluruhan, program itu membantu lebih 324,000 penerima manfaat.

Sementara itu di Yaman, seramai 16.4 juta penduduk terdesak untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Oleh itu, IR telah bertungkus lumus untuk membantu menangani wabak taun yang berleluasa pada waktu itu. Usaha tersebut lebih menjurus kepada beberapa kes yang dikenalpasti di beberapa pusat kesihatan agar penyakit itu tidak terus merebak.

Tahun lalu, IR telah menghantar 19 tan ubat-ubatan ke Yaman, ketika negara itu terancam dengan wabak taun. Oleh kerana itu, Yaman diisytihar sebagai negara yang menghadapi krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan wabak taun yang dikenalpasti sebanyak 900,000 kes dengan lebih 2,000 maut.

IR Malaysia (IRM) selaku organisasi kemanusiaan di rantau Asia Tenggara turut mengambil peluang itu dalam mengurangkan krisis kemanusiaan di Syria. Atas faktor sistem kesihatan yang kian merosot di negara bergolak itu, populasi dan penduduk setempat terdedah dengan pelbagai penyakit kronik. Ia menyebabkan lebih daripada 4,000 penduduk terkesan dan memerlukan rawatan hemodialisis setiap minggu.

Projek Dialysis Centre Support yang dilaksanakan di Syria sedikit sebanyak dapat melegakan keperihan yang dialami oleh penerima manfaat memandangkan mereka berdepan dengan kekangan bantuan kecemasan sejak awal krisis kemanusiaan lebih-lebih lagi dengan serangan tanpa henti di negara itu.

IRM telah memberi bantuan kepada pusat hemodialysis dengan menyalurkan pelbagai agihan bantuan termasuklah ubat-ubatan, dan barangan asas klinikal agar pusat kesihatan dapat menjalankan sesi rawatan. Bagi projek ini, seramai 4,320 penerima manfaat telah mendapat kemudahan kesihatan secara percuma.

Bagi menyahut Hari Kesihatan Sedunia 2018, Islamic Relief akan terus bergerak aktif dalam menyalurkan bantuan kesihatan di seluruh dunia agar krisis kemanusiaan dari segi kesihatan dapat diminimakan.

IRM Terokai Kehidupan di Pulau Mabul

Pulau Mabul, Sabah merupakan destinasi pelancongan yang berjaya menambat hati para pelancong sama ada di dalam atau di luar negara. Antara keunikan pulau ini adalah air lautnya yang berwarna biru dan jernih. Sungguhpun demikian, tidak ramai yang tahu bahawa pulau ini mempunyai satu cerita tersembunyi di sebalik kecantikan kawasan di negeri bawah bayu ini. Islamic Relief Malaysia (IRM) berpeluang untuk menerokai kisah silam kehidupan di Pulau Mabul.

 

Pulau Mabul yang dilihat sebagai tempat peranginan sebenarnya merupakan tempat tinggal bagi penduduk yang tidak diiktiraf kerakyatannya di Malaysia. Pulau ini juga turut terkenal dengan kehidupan suku kaum Bajau Laut (Sea Gypsy). Ia mencakupi tiga jenis komuniti iaitu golongan pala’u, pelarian, dan orang tempatan yang berasal dari Sabah.

 

Kini, komuniti di Pulau Mabul mempunyai lebih 3,000 orang penduduk yang boleh dibahagikan kepada sebanyak 580 buah keluarga. Fasiliti di pulau ini juga terdiri daripada sebuah sekolah kerajaan, sebuah sekolah Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), dan Pusat Pembelajaran Alternatif (PPA), masjid dan surau. Masyarakat di Pulau Mabul juga menjalankan perniagaan di hadapan kediaman mereka dan bekalan kebanyakannya diambil dari Semporna.

 

Komuniti di Pulau Mabul pula rata-ratanya bergantung kepada ekonomi hasil laut. Pada kebiasaannya, hasil-hasil laut seperti ikan, ketam, udang, dan sotong yang ditangkap akan dijual kepada pelancong-pelancong yang bercuti di sini. Namun, pihak IRM mendapati bahawa penduduk di pulau ini menghadapi masalah ketiadaan sumber bekalan air bersih untuk kelangsungan hidup mereka. Bekalan air minum akan dibeli dari Semporna manakala air perigi pula merupakan sumber air untuk kegunaan harian seperti mandi dan membasuh pakaian.

 

Selain itu, sebagai pelarian, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk memudahkan proses yang berkait rapat dengan kerajaan. Ini termasuklah pendidikan kerana majoriti penduduk di Pulau Mabul tidak mempunyai kerakyatan untuk berdaftar dengan sekolah kerajaan. Bagaimanapun, atas kerjasama orang tempatan yang mengusahakan perniagaan pelancongan, PPA telah diwujudkan untuk memberi pendidikan asas 3M; menulis, mengira, dan membaca kepada anak-anak di komuniti ini.

 

Sejak tahun lalu, PPA telah mempunyai sebanyak 283 pelajar dari pelbagai peringkat umur bermula lima tahun sehingga 15 tahun. Semua penduduk di sini beragama Islam termasuklah anak-anak mereka. Oleh itu, pembelajaran asas fardu ain seperti solat, penghayatan surah Al-Fatihah, dan doa-doa harian turut diterapkan bagi mendalami agama Islam secara menyeluruh. Jadi, tidak hairanlah jika anda nampak anak-anak pelarian mampu membaca surah Al-Fatihah dan dapat menghayatinya dengan penuh keyakinan.

 

Dalam pada itu, khidmat kesihatan turut menjadi isu bagi komuniti di Pulau Mabul memandangkan tiada institusi kesihatan yang diwujudkan di kawasan berkenaan. Sesiapa yang jatuh sakit terpaksa dibawa ke klinik atau hospital yang terletak jauh di Semporna. Apa yang malang, cas atau bayaran yang dikenakan pula tidak sama malah jauh lebih mahal daripada rakyat Malaysia.

 

IRM turut berkesempatan meluangkan masa bersama kanak-kanak di Pulau Mabul dengan menjalankan beberapa aktiviti santai. Kebersihan sering dipandang enteng, namun IRM melihat ia sebagai satu kepentingan hidup. Oleh itu, IRM memberi pendedahan kepada teknik memberus gigi dengan betul supaya mereka lebih tahu cara-cara penjagaan mulut.

 

Walaupun asas fardu ain sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak di Pulau Mabul, IRM sebagai duta organisasi kemanusiaan turut menekankan aspek-aspek pembelajaran ilmu agama seperti asas fardu

ain supaya mereka lebih mendalami Islam secara menyeluruh. Antara aspek yang ditekankan ketika program berlangsung adalah penghayatan surah Al-Fatihah dan terjemahannya agar mereka dapat memahami konteks surah berkenaan. Selain itu, mereka juga turut mempelajari solat sunat dhuha sebagai persiapan mereka dalam mendekati agama Islam.

 

Aktiviti seterusnya melibatkan kreativiti kanak-kanak ini untuk mengasah bakat mereka melalui lukisan. Meskipun mereka tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk menghasilkan seni lukisan, sesetengah daripada kanak-kanak ini sebenarnya mempunyai bakat terpendam yang dapat dikomersialkan. Melalui pemerhatian IRM sendiri, kanak-kanak ini bukan sahaja pandai melukis malah mereka juga telah tahu asas 3M iaitu menulis, membaca, dan mengira.

 

Setelah penilaian dan lawatan dilakukan, IRM bercadang untuk memberi sumbangan kepada penduduk di Pulau Mabul melalui program Ramadan Relief. Bantuan akan diberikan dalam bentuk 100 pek makanan kepada 100 keluarga yang layak. Masjid dan surau pula akan dibekalkan dengan 70 naskah Al-Quran bagi memudahkan penduduk di situ untuk mengaji dan menjalankan apa-apa aktiviti keagamaan seperti tarannum atau tadarus Al-Quran.

 

Secara holistiknya, Pulau Mabul yang kita lihat sebagai destinasi pelancongan menarik sebenarnya mempunyai pelbagai cerita di sebaliknya dari segi sejarah komuniti dan penempatan kawasan itu sendiri. Status kerakyatan dan golongan pelarian akan semakin berleluasa sekiranya tiada pihak yang ingin tampil menyelesaikan isu berkenaan.

Banjir di Albania

Shkodra, 29 Mar 2018 – Shkodra mengalami banjir ekoran daripada kenaikan suhu dan angin panas yang menyebabkan pencairan salji di kawasan itu.

Beberapa hari yang lalu, hujan lebat berterusan berserta peningkatan kuasa hidro turut memburukkan lagi keadaan banjir tersebut.

Paras air di sungai Drini dan Buna juga naik dan ia menyebabkan air melimpah di beberapa kawasan yang terjejas.

Susulan kejadian itu, ia mengakibatkan penduduk tempatan di kawasan terbabit untuk meninggalkan kediaman mereka dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Islamic Relief (IR) Albania telah bergerak aktif menjalankan misi kemanusiaan dengan mengagihkan bantuan air, sanitasi, kebersihan, dan barangan bukan makanan (NFI) kepada 600 penerima manfaat yang berada di kawasan terpencil dalam perbandaran Skhodra.

IRM Bantu Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)

Bangi, 29 Mac 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Madrasah Abdullah Ummi Maktum Al-Majidiah menyasarkan kutipan dana sebanyak RM730,000.00 bagi membantu 40 pelajar OKU penglihatan melalui Projek Wakaf Mata Hati.

Projek pengupayaan OKU penglihatan yang dijangka berjalan selama 12 bulan itu akan menyediakan latihan dan kursus merangkumi kemahiran membaca Al-Quran Braille, kemahiran insaniah dan dakwah, kursus keusahawanan, kursus informasi dan komunikasi teknologi (ICT), serta kemahiran rawatan perubatan alternative.

Madrasah yang dibangunkan melalui projek itu juga bertujuan melahirkan serta menggalakkan lebih ramai golongan OKU penglihatan untuk menjadi ilmuwan dalam pengetahuan Al-Quran dan mampu menjana pendapatan sendiri menerusi kemahiran yang diperoleh sepanjang pelaksanaan program.

Bagi menjayakan projek ini, IRM turut menyediakan beberapa pelaksanaan program termasuklah pembelajaran dalam kelas, latihan praktikal, pembentangan, kerja berkumpulan, dan pembelajaran melalui penyelesaian masalah.

Untuk rekod, seramai 15% daripada 4.6 juta rakyat Malaysia adalah golongan OKU dan lebih daripada 700,000 penduduk mempunyai masalah visual dan penglihatan.

IRM berharap projek ini dapat menjadi titik ukhuwah dan jalinan kerjasama yang baik antara golongan OKU dan masyarakat setempat dalam membentuk komuniti yang bersatu padu.

IRM Galak Orang Ramai Jadi Prihatin

Cheras, 24 Mac 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) mengajak orang ramai untuk menjadi prihatin terhadap isu kemanusiaan global menerusi Kempen Pelancaran #SalamRamadan 1439H.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, kempen itu bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai kempen Ramadan yang dilaksanakan sehingga pertengahan Jun di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu kemanusiaan global yang sering berlaku.

 

Katanya, “Melalui kempen ini, kami menyasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta untuk pelbagai sektor bantuan seperti kesihatan, makanan, pendidikan, air, sanitasi dan kebersihan, perlindungan, Orang Kelainan Upaya (OKU), dan anak yatim.”

 

Bagi tahun ini, IRM akan mengagihkan pek makanan Ramadan sebanyak 6,000 di seluruh negara dan 3,540 pek makanan di lebih 30 negara.

 

Zairulshahfuddin turut menegaskan kempen #SalamRamadan tahun ini akan memberi impak kepada 63,000 penerima manfaat dalam negara dan 3.4 juta penerima manfaat di luar negara menerusi pelbagai projek termasuklah pek makanan Ramadan, mySedekah, projek tempatan, projek antarabangsa, kecemasan, wakaf, dan Al-Yateem.

 

Beliau juga menyifatkan rakyat Malaysia yang mempunyai nilai keprihatinan tinggi akan dapat membantu misi IRM dalam mengurangkan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia.

 

Dalam majlis pelancaran itu, satu persembahan tarian kilas (flash mob) oleh kakitangan IRM berjaya menarik perhatian orang awam melalui sketsa kemanusiaan yang ditonjolkan seperti gempa bumi, kemarau, kebuluran, dan pendidikan.

 

Majlis pelancaran itu turut mendapat sokongan dari pihak MyTown dan Restoran Santai Penyet.

World Water Day 2018

Sambutan “World Water Day” diraikan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan air dalam kehidupan seharian kita. Kali pertama sambutan ini diadakan pada tahun 1993 oleh United Nations (UN).

Antara kesan buruk jika sumber air tidak dijaga dan diselenggara dengan baik:

Kemarau
Banjir
Hakisan Tanah
Menjejaskan aktiviti pertanian
Mengganggu proses bekalan makanan
Kepupusan Flora dan Fauna
Memudaratkan manusia

Berdasarkan laporan United Nations (UN) lebih 5 juta penduduk di seluruh dunia akan mengalami masalah kekurangan air menjelang tahun 2050 ekoran bekalan air yang semakin tercemar, perubahan iklim dan permintaan air yang kian meningkat.

Jom, sama-sama menjaga dan menghargai sumber air yang ada agar bumi kita tidak terus kering dan tandus hingga mengakibatkan kematian dan kebuluran.

Fikir Kemanusiaan, Fikir ISLAMIC RELIEF!
#islamicreliefmalaysia
#islamicrelief
#worldwaterday