IRM Perkenal Barisan Ikon Kemanusiaan

Bangi, 30 Jun 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) menobatkan lapan figura awam sebagai Ikon Kemanusiaan IRM yang baharu bagi sesi 2018 – 2020 dalam majlis MySinggah Raya 2018.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, inisiatif tersebut dilakukan bagi memartabatkan individu atau kumpulan yang terlibat dalam mewujudkan masyarakat yang prihatin di Malaysia secara menyeluruh.

 

“IRM kali ini mengambil pendekatan mengetengahkan beberapa lagi barisan ikon yang mempunyai semangat dan minat yang tinggi dalam melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan mengikut kepakaran dan kelebihan masing-masing,” jelas Zairulshahfuddin ketika berucap.

 

Katanya, ada antara ikon yang dilantik ini bukanlah ahli baru dalam dunia kemanusiaan malahan telah bergiat aktif sejak sekian lama.

 

“Sebagai contoh, Dr. Aizan Sofia, Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malalaysia dan beliau sudahpun terlibat dengan IRM sebelum beliau melanjutkan pelajaran ke luar negara lagi. Setelah memperoleh PhD, kita menjemput beliau untuk menyumbang dalam bentuk lain pula iaitu memanfaatkan bidang kepakaran beliau dalam ilmu kaunseling kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk kursus sukarelawan kami.

 

“Sejajar dengan perancangan strategi lima tahun IRM yang menekankan bantuan terhadap golongan OKU, IRM berbesar hati dan mengiktiraf pelantikan Dr. Aizan yang juga pemegang status kad OKU,” tambah Zairulshahfuddin.

 

Selain Dr. Aizan, ikon-ikon lain yang turut diperkenalkan ialah Irma Hasmie, Redza Shah, Diana Amir, Habib Bullah, Elfaeza Ul Haq, Ashraf Muslim dan Kumpulan Saujana.

 

Dalam pada itu, Majlis MySinggah Raya 2018 dihadiri lebih 700 pengunjung daripada pelbagai pihak seperti penerima manfaat, penaja, rakan kemanusiaan IRM, para penyumbang, sukarelawan, rakan-rakan media dan selebriti serta orang awam.

 

Ia bertujuan untuk meraikan dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan penerima manfaat, rakan kemanusiaan, ikon dan selebriti, pengamal media, sukarelawan, penyumbang serta orang ramai.