RISE Terima Penyerahan Barangan daripada Little Caliph International

Kajang, 09 Mac – Seramai 57 orang pelajar Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE) berumur dalam lingkungan 5 hingga 17 tahun telah menerima barangan ‘in kind’ daripada pengasas Little Caliphs International Sdn Bhd, Hajjah Sabariah Faridah.

 

Penyerahan barangan tersebut telah diwakili oleh ikon selebriti Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie yang bertujuan untuk memupuk kepentingan bersedekah di samping membuktikan bahawa nilai pembelajaran tidak cuma tertumpu kepada teori, namun dipraktikkan secara lahiriah agar mampu memberikan implikasi yang signifikan kepada anak-anak di RISE.

 

Barangan yang disumbangkan kepada anak-anak di RISE adalah koleksi produk keluaran Little Caliph International iaitu ‘Princess Solehah’ berupa peralatan tulis, botol air dan tudung yang mengetengahkan kehidupan persis srikandi muslimah pada zaman anbiya’ untuk dijadikan contoh ikutan kepada anak-anak.

 

“Sedekah boleh disumbangkan dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada kewangan, aspek tugas-tugas kemanusiaan juga meliputi pengorbanan masa dan tenaga”, kata Irma Hasmie.

 

“Semoga usaha murni sebegini akan membuka hati dan minda mereka yang mengikuti perkembangan Little Caliph dan Islamic Relief Malaysia agar kesedaran untuk mewujudkan dunia yang prihatin dapat diterapkan”, tambah Irma Hasmie.

 

“Terima kasih kepada Cikgu Faridah kerana sudi memberikan sumbangan kepada pihak kami… syukur alhamdulillah”, ucap Ustaz Bismi selaku pengetua RISE.

 

RISE merupakan pusat bimbingan alternatif yang ditubuhkan Islamic Relief Malaysia pada tahun 2017 di Taman Kajang Utama yang bertujuan untuk memberikan pendidikan asas kepada anak-anak pelarian Rohingya.

Keadaan Di Syria Masih Kritikal

Idlib, 28 Feb. 2020 – Hampir 948,000 orang dilaporkan telah melarikan diri sejak 1 Disember lalu ekoran konflik dan ancaman cuaca sejuk melampau.

 

Lebih 500,000 daripada jumlah itu adalah kanak-kanak manakala hampir 200,000 lagi golongan wanita.

 

Menurut Global Camp Coordination and Camp Management (CCCM) Cluster, kebanyakan pelarian terpaksa tinggal di bawah pokok, kawasan terbuka, rumah atau bangunan tinggal serta khemah untuk berteduh siang dan malam.

 

Sekurang-kurangnya sembilan pelajar dan tiga guru maut manakala 40 wanita serta seorang kanak-kanak cedera dalam serangan udara yang menjejaskan 10 sekolah dan tadika.

 

Selain itu, kira-kira 850 orang ditembak, seorang wanita cedera dan beberapa khemah dilaporkan rosak ekoran serangan yang melanda kem IDP di Al-Dana, utara Syria.

 

Salah seorang kakitangan Islamic Relief bersama isteri dan dua anak mereka yang berada di lapangan turut dilaporkan cedera.

 

Sembilan puluh peratus kakitangan lagi terpaksa berpindah dan tinggal berasingan daripada keluarga mereka atas faktor keselamatan.

 

Meskipun bantuan disalurkan secara berterusan, namun ia masih belum cukup untuk menampung keperluan ratusan ribu pelarian khususnya ketika musim sejuk dengan suhu di bawah paras beku.

 

Bantuan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah perlindungan, makanan, ubat-ubatan, barangan bukan makanan dan kelengkapan musim sejuk.

 

Orang ramai boleh melakukan sumbangan dengan menghubungi 03-89263434 atau klik pautan http://bit.ly/Save-Syria untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan bencana.

FESNAIS Satukan Hiburan, Dakwah Dan Kerja Amal

Bangi, 16 Feb. 2020 – Kolej Pendeta Za’ba Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia menganjurkan Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) 2020 dan Konsert Amal #KITA4WATER di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM.

Program ini merupakan acara tahunan yang dijalankan di peringkat IPTA/IPTS bagi mencungkil bakat nyanyian serta idea kreatif mahasiswa dalam menghasilkan lagu-lagu Ketuhanan.

“FESNAIS adalah platform yang sangat tepat untuk mahasiswa mengembangkan bakat mereka selain membuka jalan yang lebih luas kepada para peserta untuk melonjakkan bakat mereka dalam industri nasyid tanah air kerana kami turut menjemput beberapa syarikat rakaman ke program ini,” kata Mohd Fathiuddin Fakri Ramli, Ketua Pengarah Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) 2020 dan Konsert Amal #KITA4WATER.

Antara objektif lain penganjuran program dua dalam satu yang bertemakan “Alunan Seni Dakwah Bil Hikmah” ialah bagi menerapkan semangat kepimpinan serta menjadi platform untuk mahasiswa dan mahasiswi berbakti kepada masyarakat menerusi program amal yang dijalankan.

Sepuluh peratus daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Islamic Relief Malaysia bagi membantu projek air, sanitasi dan kebersihan (WASH) yang akan membantu tiga negara iaitu Somalia, Bangladesh dan Malawi.

“Harapan saya buat semua mahasiswa dan peserta yan bertanding, semoga anda semua berjaya menjadi penyanyi yang hebat malah turut menjadi negarawan dan sukarelawan hebat yang sentiasa peka dan prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia dalam ucapan program.

Tambahnya, dunia kini sudah ketandusan kasih sayang. Justeru, peranan anak muda sangat penting dalam menggerakkan penyebaran kasih sayang termasuk menerusi medium dakwah dalam nyanyian.

Festival nasyid yang berlangsung telah menjadi medan pertembungan tujuh kumpulan nasyid daripada lima universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malalaysia Pahang (UMP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Gelaran juara berjaya dirangkul oleh kumpulan In Voices daripada UPNM.

Selain persembahan para peserta nasyid, program ini turut menampilkan persembahan nyanyian daripada kumpulan Devotees dan Haqiem Rusli manakala Ashraf Muslim, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia dijemput menjadi salah seorang wakil juri jemputan.

Situasi Kemanusiaan di Syria Kian Meruncing

Idlib, 11 Feb. 2020 – Seramai empat juta orang di Idlib dan Aleppo semakin tertekan ekoran pergolakan yang kian meruncing menyebabkan lebih 180 orang termasuk 60 kanak-kanak dan 27 wanita terkorban.

689,098 orang telah melarikan diri ke pusat bandar dan kem IDP di utara Idlib manakala puluhan ribu lagi dilaporkan berpindah ke kawasan utara Aleppo untuk mencari perlindungan.

80 peratus daripada jumlah tersebut adalah golongan wanita dan kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya, 53 pusat perubatan terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Penduduk Syria yang terjejas pada ketika ini amat memerlukan bantuan kemanusiaan lebih-lebih lagi suhu musim sejuk di bawah paras beku.

Bantuan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah perlindungan, makanan, ubat-ubatan, barangan bukan makanan dan kelengkapan musim sejuk.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan dengan menghubungi 03-89263434 atau klik pautan http://bit.ly/Save-Syria untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan bencana.

Share The Joy Raikan Kegembiraan Dengan Berkongsi Rezeki

KAJANG, 5 Feb. 2020 – Program Share the Joy anjuran Islamic Relief Malaysia raikan kegembiraan dengan berkongsi rezeki bersama penghuni pusat jagaan Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Kajang (PKIK), Selangor sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Fokus bantuan merangkumi “display chiller”, barangan mandian, kit kebersihan dan barangan keperluan dapur seperti bawang, kentang, kekacang, jem, susu pekat serta pelbagai lagi.

Ini bukan kali pertama Islamic Relief Malaysia menyantuni penghuni PKIK, hubungan baik ini telah mula terjalin sejak 10 tahun yang lalu.

Menurut Koordinator Program PKIK, Chuah Swan Im, Islamic Relief Malaysia merupakan NGO Islam pertama yang hadir menyantuni penghuni di pusat tersebut.

“Program Share the Joy merupakan acara tahunan yang dijalankan selari dengan misi kemanusiaan Islamic Relief Malaysia dalam menyantuni penerima manfaat tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan warna kulit.

“Ia juga salah satu cara dalam memastikan amanah dan tanggungjawab sosial yang digalas dapat disalurkan kepada penerima manfaat secara menyeluruh agar mereka terus disantuni dan mendapat perhatian masyarakat sekeliling,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia.

Pendekatan ini turut dilihat sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) yang mahu memastikan tiada lapisan masyarakat merasa terpinggir.

Meskipun PKIK berada di kawasan rumah kedai, namun ia lengkap dengan pelbagai kemudahan serta alat bantu mengajar yang bagus. Pusat ini telah berjaya menabur bakti kepada kanak-kanak istimewa juga keluarga mereka yang datang dari kalangan masyarakat Cina, India dan Melayu sejak 25 tahun lalu.

“Objektif utama kami dalam mendidik anak-anak di sini adalah untuk memastikan bahawa mereka dapat belajar berdikari serta merasai nikmat hidup seperti anak normal yang lain.

“Terima kasih kerana sedar kewujudan kami di sini. Terima kasih atas sumbangan yang diberikan kerana kami sangat-sangat memerlukannya. Teruskanlah kerja-kerja kebajikan yang kamu semua jalankan, saya selalu percaya kerja kebajikan mampu memberi kebahagian kepada diri kita,” kata Chuah Swan Im, Koordinator Program PKIK.

Diharapkan platform sebegini dapat terus memberi impak positif kepada semua pihak dalam konteks mewujudkan suasana harmoni dikalangan masyarakat majmuk yang merangkumi pelbagai kaum.

Rakyat Syria Perlu Bantuan Segera

IDLIB, 3 Feb. 2020 – Lebih 586,001 orang terpaksa melarikan diri ke pusat bandar dan kem IDP di utara Syria sejak 1 Disember lalu, ekoran ketegangan yang berlaku hampir setiap hari.

 

Dua ratus serangan udara yang mensasarkan orang awam dalam tempoh tiga hari telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang.

 

Antara kemudahan yang terjejas teruk melibatkan kem IDP, sekolah dan hospital.

 

Dilaporkan, 16 pusat kesihatan telah dipindahkan ke lokasi baru manakala 10 lagi terpaksa ditutup.

 

Lima belas pusat kesihatan yang ditaja Islamic Relief turut diserang dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

 

Kemusnahan infrastruktur menjadikan harga barangan tidak terkawal lantas menambah kesukaran penduduk Syria untuk meneruskan kelangsungan hidup.

 

Islamic Relief di lapangan giat menjalankan bantuan kemanusiaan secara berterusan untuk membantu penduduk terjejas.

 

Orang ramai boleh melakukan sumbangan untuk membantu rakyat Syria dengan menghubungi 03-89263434 atau layari www.islamic-relief.org.my.