Pertelagahan Antara Puak Di Mali Semakin Tegang

MALI, 24 Julai 2020 – Seramai 6,930 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka ekoran pertelagahan antara komuniti atau puak-puak yang terlibat di Mali semakin tegang.

Kebanyakan penduduk terjejas kini berlindung di dalam khemah plastik dan pusat perlindungan sementara di kawasan Gourma Rharous, utara Mali.

Berdasarkan penilaian, keperluan utama yang diperlukan ketika ini ialah bantuan perlindungan, makanan dan barangan bukan makanan (NFI).

Islamic Relief Mali kini sedang bekerjasama dengan rakan kemanusiaan lain termasuk organisasi Program Makanan Sedunia (WFP) untuk menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas.

Angka Pelarian Di Mali Terus Meningkat

MALI, 25 Jun 2020 – Seramai lebih 1,400 orang terpaksa melarikan diri ke kawasan perlindungan sementara atau menumpang di kawasan kejiranan lain berikutan konflik yang berlaku di Mali.

Bagaimanapun, ketika musim hujan mereka terpaksa berdepan cabaran kekurangan tempat untuk berlindung.

Kebanyakan mereka terpaksa meninggalkan kediaman, harta benda, haiwan ternakan dan barangan keperluan.

Ketegangan yang berpunca daripada pertelagahan antara komuniti atau puak-puak yang yang terlibat di negara itu turut mencetuskan insiden haiwan ternakan dibunuh serta dilarikan.

 

Keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah bantuan perlindungan, makanan, barangan bukan makanan (NFI) dan kit kebersihan.

Memandangkan kes Covid-19 dilaporkan semakin meningkat, Islamic Relief Mali telah merangka bantuan khusus Covid-19 untuk mencegah penularan wabak menjadi lebih serius.

 

Selain itu, Islamic Relief juga akan menyediakan bantuan tempat perlindungan sementara bersama kit kebersihan kepada para pelarian.

Syria Dilanda Banjir Besar

SYRIA, 19 Jun 2020 – Sekurang-kurangnya 1,285 keluarga hilang tempat tinggal manakala 1,000 keluarga lagi terpaksa menanggung kerosakan sebahagian khemah ekoran hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar di utara Syria.

 

Lebih 3,174 keluarga di 54 kem pelarian di Idlib turut terjejas.

 

Keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah bantuan perlindungan, makanan dan barangan bukan makanan (NFI).

 

Islamic Relief Syria kini sedang berada di lapangan dan bekerjasama rapat dengan organisasi tempatan untuk membantu penduduk terjejas.

 

Bantuan pertama yang akan disalurkan adalah edaran khemah serta plastic penebat haba.

Ribut petir melanda Barat Laut Syria

SYRIA, 19 Jun 2020 – Hujan lebat dan angin kencang yang membawa banjir kilat telah melanda banyak kawasan termasuk kem pemindahan di Barat Laut Syria, menjejaskan 54 kem yang dihuni oleh lebih daripada 3,174 keluarga.

Sekurang-kurangnya 1,285 keluarga kehilangan tempat tinggal manakala sekurang-kurangnya 1,000 keluarga lagi mengalami kerosakan pada sebahagian khemah mereka.

Kerja-kerja pembaikan giat dilakukan untuk mengalirkan air yang bertakung di kem pelarian, membina jaringan air dan kumbahan, dan menurap jalan kerikil untuk membolehkan pergerakan.

Keperluan mendesak ketika ini adalah tempat tinggal, makanan, barangan bukan makanan khususnya peralatan tempat tidur dan khemah, serta kit kebersihan.

Islamic Relief kini sedang memantau keadaan semasa di lapangan serta bekerjasama rapat dengan organisasi lain untuk menyediakan khemah dan kepingan plastik kepada keluarga yang terjejas sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kemerosotan Ekonomi, Kejatuhan Nilai Mata Wang Dan Pandemik Covid-19 Beri Tekanan Hebat Kepada Rakyat Lubnan

LUBNAN, 15 Jun 2020 – Kumpulan demonstrasi dan tunjuk perasaan di Lubnan menjadi semakin ekstrim berikutan kemerosotan ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang impak pandemik Covid-19.

Dilaporkan, penunjuk perasaaan telah melemparkan bom petrol dan batu ke arah pasukan keselamatan, bank serta bangunan kerajaan di Beirut dan Tripoli.

Ketegangan yang berlaku di Lubnan sebenarnya telah bermula Oktober 2019 dan mulai reda sejak Mac 2020 berikutan arahan kawalan pergerakan juga perintah berkurung yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Natijahnya, keadaan ekonomi Lubnan menjadi semakin merosot. Ribuan penduduk hilang pekerjaan manakala pekerja bergaji harian tidak mendapat upah daripada majikan.

Kebanyakan penduduk sudah tidak mampu untuk menanggung keperluan harian dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Islamic Relief Lubnan kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja untuk membantu penduduk setempat.

Siklon Amphan Ragut 12 Nyawa Di Benggala Barat Dan 9 Di Bangladesh

NEW DELHI, 21 Mei 2020 – Dua belas orang maut di Benggala Barat, India manakala sembilan orang lagi maut di Bangladesh ekoran bencana siklon Amphan yang melanda kawasan itu.

 

Menurut Need Assesment Working Group (NAWG) di Bangladesh, kira-kira 7.9 juta orang di negara itu sedang terdedah kepada ancaman bencana ini merangkumi Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, warga emas dan wanita mengandung.

 

Taufan ini bukan sahaja meragut nyawa malahan turut merosakkan tanaman, rumah, tiang elektrik dan stesen pengangkutan awam.

 

Selain itu, jalan raya dan kediaman orang awam juga dilaporkan dipenuhi dengan lumpur.

 

Apa yang menyedihkan lagi, proses gerak kerja bantuan kecemasan berdepan kesukaran ekoran perintah kawalan pergerakan Covid-19.

 

Kawasan pemindahan untuk menempatkan penduduk terjejas juga tidak dapat digunakan sepenuhnya ekoran sekatan ini.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air bersih, kit kebersihan, tempat perlindungan, rawatan kecemasan dan ubat-ubatan, air, sanitasi dan kebersihan yang khusus untuk penjagaan sewaktu Covid-19 serta bantuan sokongan psikososial.

 

Islamic Relief Bangladesh kini berada di Satkhira, salah satu daerah yang paling teruk terjejas dan telah menggerakkan 50 sukarelawan untuk membantu kerja-kerja pemindahan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.

 

Islamic Relief India pula kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta rangkaian NGO lain sebagai persediaan untuk mengahdapi sebarang kemungkinan lain.