Pelarian Ethiopia Terima Bantuan Kemanusiaan Daripada Pelbagai Pihak

SUDAN, 10 Disember 2020 – Seramai 49,370 pelarian baharu dari Ethiopia telah mendaftar di bawah Suruhanjaya Pelarian Sudan (COR) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setelah melepasi kawasan sempadan Sudan.

UNHCR dan COR menjalankan proses pemindahan komuniti pelarian Ethiopia ke Um Raquba, Gadaref menaiki bas.

Mereka dibekalkan dengan makanan, biskut, air minuman, pelitup muka, sabun, kit keperluan khas wanita juga barangan bukan makanan daripada beberapa pertubuhan kebajikan.

Islamic Relief kini sedang berusaha untuk mengedarkan bantuan makanan serta barang bukan makanan (NFI) dalam masa terdekat ini selain merangka projek pembinaan pam air dan tandas.

Selain itu, kakitangan Islamic Relief di lapangan dibekalkan dengan latihan kemanusiaan bagi mempersiapkan mereka untuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan serta membantu pelarian terjejas.

Bagi kumpulan pelarian yang berlindung di Hamdayet dan lapan pusat transit lain, mereka turut dibekalkan dengan bantuan pelitup muka, sabun, bekalan air bersih, rawatan perubatan, akses pendidikan di sekolah untuk 1,100 pelajar dari tahap satu hingga berumur 13 tahun.

Kanak-kanak juga diberi ruang bermain dan menjalankan aktiviti seperti berlakon, menyanyi, melukis dan bersukan.

Sementara itu, 26 sukarelawan telah diberikan latihan serta kursus berkaitan ilmu perlindungan kanak-kanak di waktu kecemasan, pengurusan dan penilaian kes serta banyak lagi.