Sudan Isytihar Tiga Bulan Darurat Susulan Banjir Yang Meragut 99 Nyawa

SUDAN, 7 September 2020 – Majlis Keselamatan dan Pertahanan Sudan isytihar perintah darurat selama tiga bulan ekoran banjir yang telah meragut 99 nyawa.

Lebih 500,000 orang terjejas manakala 46 orang cedera dalam bencana tersebut selain turut merosakkan lebih daripada 100,000 kediaman.

Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir ini berpunca daripada musim hujan lebat di Ethiopia yang menyebabkan kenaikan paras air di Sungai Nil.

Khartoum, Blue Nile, Sungai Nil, Gezira, Kordofan Barat dan Selatan Darfur dilaporkan antara kawasan yang paling teruk terjejas.

Islamic Relief Sudan kini sedang merangka Pelan Bantuan Kecemasan dan bekerjasama dengan agensi kemanusiaan lain seperti Persatuan Bangsa-Bangsa (PBB) untuk membantu penduduk terjejas.

Banjir di Pakistan, 90 Nyawa Terkorban

PAKISTAN, 27 Ogos 2020 – Banjir di Pakistan susulan hujan lebat berterusan sejak Julai lalu telah meragut 90 nyawa dan memusnahkan lebih 1,080 buah rumah.

Selain itu, lima jambatan dan 10 jalan raya di seluruh negara juga mengalami kerosakan.

Banjir yang melanda turut mengakibatkan tanah runtuh di kebanyakan kawasan termasuk di Javed Hillview, Sindh yang merosakkan 72 pangsapuri dan 120 buah kedai serta meragut tiga nyawa di kawasan arang batu di daerah Chakwai, Punjab.

Memandangkan Sindh dan Karachi adalah kawasan yang paling teruk terjejas dalam insiden ini, seramai 1,545 penduduknya telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Usaha memindahkan penduduk di Karachi lebih banyak dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan kerana jalan dan kediaman di kawasan itu telah dibanjiri air hujan dan kumbahan.

Bekalan elektrik di beberapa kawasan di Karachi juga turut dihentikan sementara atas faktor keselamatan.

Islamic Relief Pakistan kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi merangka pelan bantuan kecemasan untuk penduduk terjejas.

Sebahagian kakitangan Islamic Relief juga akan menjalankan penilaian keperluan semasa di Sindh untuk mengenalpasti keperluan mendesak penduduk di kawasan itu.

Banjir Kilat di Afghanistan Ragut 86 Nyawa

AFGHANISTAN, 27 Ogos 2020Sekurang-kurangnya 86 terkorban manakala 106 lagi cedera ekoran hujan lebat yang membawa kepada banjir kilat di sembilan wilayah di Afghanistan.

Angka korban dijangka akan terus meningkat memandangkan masih ramai lagi penduduk terjejas masih belum ditemui.

Kawasan Parwan yang bersempadan dengan Kabul dilaporkan paling teruk terjejas.

Menurut pihak berkuasa, lebih 1,500 kediaman bersama puluhan kenderaan telah musnah.

Seramai 3,500 keluarga kini memerlukan bantuan segera.

Antara keperluan mendesak yang dikenal pasti ketika ini adalah makanan, barangan bukan makanan (NFI) dan perlindungan.

Islamic Relief Afghanistan kini sedang merangka pelan bantuan kecemasan untuk penduduk terjejas di wilayah Parwan antaranya penghantaran 629 pek makanan yang mengandungi 30 kilogram gandum, lima kilogram kacang, beras, minyak dan satu kilogram garam.

Gaza Perlu Bantuan Segera

GAZA, 27 Ogos 2020 – Pihak berkuasa tempatan di Gaza telah mengumumkan perintah kawalan berkurung di kawasan itu susulan laporan empat kes positif jangkitan koronavirus yang dikenalpasti di luar pusat kuarantin bagi mengelakkan penularan wabak.

 

Semua premis perniagaan termasuk sekolah dan masjid turut dihentikan operasi sehingga satu tempoh masa yang akan diumumkan kelak.

 

Laluan komersil utama ke Gaza juga terus ditutup lantas menyekat kemasukan barangan ke kawasan itu.

 

Sekatan yang berlaku nyata merencatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Gaza selain menambah tekanan sedia ada kepada penduduk setempat dalam mendapatkan akses keperluan asas.

 

Kini, Gaza hanya mampu menikmati empat jam sahaja bekalan elektrik dalam sehari.

 

Meskipun pertelingkahan di antara Gaza dan Israel seolah sepi, dilaporkan kelihatan banyak belon telah dilepaskan di sempadan Gaza yang menandakan serangan udara mungkin dilancarkan dalam masa terdekat.

 

Terdahulu, Israel telah menyerang Semenanjung Gaza selama 10 malam berturut-turut.

 

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan cedera dalam serangan yang dilancarkan.

 

Islamic Relief di Gaza sentiasa memantau keadaan semasa di sana serta bersiap siaga dalam berdepan sebarang kemungkinan.

 

Keperluan mendesak yang dikenal pasti bagi penduduk Gaza adalah bantuan makanan dan perubatan.

 

Angka Korban dan Cedera di Beirut Terus Meningkat

BEIRUT, 10 Ogos 2020 – Lebih 200 terkorban manakala 6,000 lagi dianggarkan cedera dalam insiden letupan di Beirut.

Sebanyak 12 pusat rawatan kesihatan musnah, tiga hospital tidak dapat beroperasi dan 120 buah sekolah yang menempatkan 55,000 kanak-kanak Lubnan serta pelarian juga mengalami pelbagai kerosakan.

Selain itu, jumlah catatan kes positif koronavirus (COVID-19) turut dilaporkan meningkat kepada 295 kes baharu dalam tempoh sehari. Angka ini dikatakan paling tinggi sejak pandemik mula menular di Lubnan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lubnan bakal berdepan masalah kekurangan bekalan makanan selama lebih dua minggu berikutan 120,000 tan metrik stok makanan telah musnah dalam tragedi lalu.

Insiden letupan dan kemusnahan yang berlaku mengakibatkan ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Beirut selama tiga hari berturut-turut bermula Sabtu lalu.

Keadaan ini memaksa pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan serta mengelakkan sebarang kecedaran berlaku.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab terpaksa mengundur diri dan mengumumkan perletakan jawatannya. Beberapa hari lalu, Menteri Informasi dan Menteri Alam Sekitar Lubnan turut melepaskan jawatan mereka atas desakan rakyat.

Islamic Relief Lubnan giat menyalurkan bantuan makanan dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.

Banjir di Niger, 4,505 Perlu Bantuan Kecemasan

NIGER, 8 Ogos 2020 – Seramai 4,505 penduduk yang terjejas di Dosso dan Tillaberry kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera selepas banjir besar melanda Niger sejak 2 Ogos lalu.

Sementara itu, sebanyak 420 kediaman dilaporkan musnah manakala 530 hektar tanaman mengalami kerosakan.

Antara keperluan mendesak yang yang dikenal pasti ketika ini adalah makanan, barangan bukan makanan (NFIs) dan kit kebersihan bagi melindungi mereka daripada ancaman penyakit malaria dan jangkitan koronavirus.

Hujan dijangka berterusan sehingga September ini meskipun paras air mulai surut.

Islamic Relief Niger kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi kemanusiaan lain untuk membantu penduduk terjejas.