Penduduk Terjejas Taufan Goni di Filipina Perlu Bantuan Segera

Filipina, 9 November 2020 – Sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk di enam wilayah Luzon, Filipina dilaporkan terjejas susulan badai taufan Goni yenag melanda negara itu 1 November lalu.

Bencana itu turut mengakibatkan berlakunya insiden tanah runtuh di Bato, Catanduanes; Tiwi, Albay; San Narciso, Quezon, Lobo dan Batangas.

Menurut Agensi Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC), sektor pertanian dan insfrastruktur di Bicol mengalami kemusnahan paling teruk dengan anggaran kerugian lebih RM1 billion.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah bantuan makanan dan barangan bukan makanan (NFI) iaitu kit kebersihan serta perlindungan daripada penularan wabak Covid-19.

Islamic Relief Filipina kini sudah berada di lokasi terjejas dan akan menjalankan proses penilaian untuk membantu penduduk terjejas dengan kerjasama organisasi tempatan.

85 angka korban dalam gempa bumi di Turki

TURKI, 2 November 2020 – 85 orang terkorban manakala 994 yang lain cedera akibat gempa bumi kuat di Laut Aegean, Izmir.

Dilaporkan sebanyak 1,225 gempa susulan berlaku selepas gempa pertama, termasuk 43 gegaran dengan magnitud melebihi empat pada skala Richter.

774 orang yang cedera telah dibenarkan keluar hospital, dan rawatan kepada 220 yang lain masih diteruskan.

Kerja mencari dan menyelamat terus giat dilakukan di lapan buah bangunan.

Sekolah telah diarahkan tutup selama seminggu. Sementara itu, jalan masuk ke kawasan bandar telah dihadkan oleh pihak berkuasa.

Sejumlah 7,888 kakitangan, 25 anjing pengesan, dan 1,058 kenderaan dari Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Gendarmerie General Command (JAK), Badan Bukan Kerajaan (NGO), termasuk majlis perbandaran telah ditugaskan bagi kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan di kawasan yang terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat turut dijalankan di celah-celah runtuhan bangunan dengan bantuan daripada pihak berkuasa.

Keperluan mendesak pada ketika ini adalah makanan termasuk makanan sedia dimakan, kit kebersihan, beg tidur, selimut, dan cecair pembasmi kuman.

Islamic Relief kini bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi bantuan di samping meneliti dan merangka gerak kerja untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mereka yang terjejas sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

16 Orang Maut Dalam Badai Taufan Goni di Filipina

Filipina, 2 November 2020 – Enam belas orang maut manakala ribuan rumah dan bangunan dilaporkan rosak serta musnah akibat dilanda Taufan Goni selain turut mengakibatkan berlakunya tanah runtuh dan banjir di Filipina.

Hampir 1 juta penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Bekalan eletrik dan air di seluruh wilayah turut terjejas sementara kebanyakan jalan tidak boleh digunakan.

Taufan Goni dilaporkan membawa angin kuat dengan kelajuan 190-kilometer sejam.

Menurut laporan Islamic Relief Filipina, seramai 345,000 orang kini sedang berlindung di pusat pemindahan.

Islamic Relief Filipina kini sedang bekerjasama dengan organisasi tempatan untuk membantu penduduk terjejas.

Makanan menjadi keperluan utama di Beirut

LUBNAN, 6 Oktober 2020 – Analisis daripada Penilaian Keperluan Pelbagai Sektor menunjukkan bahawa makanan merupakan keperluan kedua utama selain daripada wang tunai dan kerja pembaikan kediaman.

Kejadian letupan di pelabuhan Beirut pada bulan Ogos yang lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 180 orang terkorban manakala 6,500 lagi tercedera, dan menyebabkan tekanan yang berlarutan ekoran krisis ekonomi yang kian meruncing.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 43,480 kes positif Covid-19 telah direkodkan sehingga 3 Oktober yang mencatatkan lebih daripada 389 kematian dan sekurang-kurangnya 1,102 staf kesihatan diuji positif setakat ini.

Pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di 111 bandar dan kampung seluruh Lebanon berikutan lonjakan kes baharu Covid-19.

Sebanyak 1,495 bangunan memerlukan bantuan air, sanitasi, dan kebersihan (WASH) manakala 533 lagi mempunyai masalah gangguan air di jaringan bandar utama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,500 bangunan yang telah dinilai sejak awal tindak balas.

Kerosakan teruk akibat letupan di Pelabuhan Beirut dan penurunan nilai matawang telah menyebabkan kenaikan harga makanan secara mendadak yang membebankan mereka yang terjejas memandangkan hampir 85 peratus makanan di Lebanon diperolehi daripada kegiatan import.

Sehingga kini, seramai 23,380 penerima manfaat telah menerima sumbangan pek makanan manakala 2,748 keluarga menerima sumbangan kit kebersihan termasuk pakaian pelindung diri (PPE) dan 10,300 orang mendapat manfaat daripada kerja-kerja pembersihan dan agihan makanan ringan di hospital.

Islamic Relief kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja serta bekerjasama rapat dengan organisasi lain disamping meneruskan agihan bungkusan makanan dan kit kebersihan termasuk PPE kepada keluarga yang terjejas sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Yayasan Kebajikan Negara dan Islamic Relief Malaysia Terus Prihatin Bantu Anak Asnaf

BANGI, 3 Oktober – Seramai lapan orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti menerima sebuah komputer riba setiap seorang manakala tujuh lagi pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM menerima hamper dan alat tulis tajaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerusi projek bantuan Holistic Education Youth (HEY) kelolaan Islamic Relief Malaysia.

Selain itu, sebanyak 40 pek makanan bersama kit kebersihan turut diagihkan kepada para pelajar yang terlibat dalam projek ini sebagai tanda penghargaan atas kesungguhan serta usaha mereka selain bertujuan meringankan beban keluarga yang terkesan wabak pandemik Covid-19.

Semua penerima manfaat merupakan anak-anak asnaf dan fakir miskin yang telah mengikuti program HEY sejak April 2019.

“Program HEY yang kami jalankan ini telah menawarkan kelas tambahan percuma kepada anak-anak asnaf dan fakir miskin di Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Ia bertujuan untuk membantu mereka meningkatkan tahap penguasaan ilmu pembelajaran selain memberi galakan untuk mereka mengejar kejayaan dan mengubah nasib keluarga.

“Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima daripada para pelajar, ibu bapa juga guru-guru yang terlibat mengajar anak-anak ini semuanya memberi respon positif. Kebanyakan ibu bapa mengakui program ini berjaya memberi impak baik kepada perkembangan pembelajaran juga jati diri anak-anak mereka kerana selain program kelas tambahan, para pelajar juga diberi peluang mengikuti kem motivasi, eksplorasi sains dan kem ibadah,” kata Noor Halimahton Sa’adiah Talib, Programme Specialist, Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Dengan berakhirnya majlis penyerahan hadiah dan sumbangan yang diberikan, maka berakhirlah secara rasminya projek HEY Islamic Relief Malaysia ini yang telah berlangsung selama hampir 10 bulan.

Islamic Relief Malaysia sentiasa berharap agar lebih banyak lagi pihak tampil prihatin untuk sama-sama membantu dalam menjalinkan kolaborasi bagi mengupayakan komuniti setempat di masa akan datang.

Ancaman Covid-19 di Afrika Timur Semakin Meruncing

AFRIKA TIMUR, 2 Oktober 2020 – Wabak pandemik Covid-19 di Kenya, Ethiopia dan Somalia semakin membimbangkan ekoran kadar jangkitan positif dan angka kematian kian tinggi.

Di Kenya, hampir 40,000 orang disahkan positif manakala jumlah kematian pula sudah mencecah 700 orang.

Di Ethiopia pula, 74,584 kes positif dilaporkan setakat 29 September dengan angka kematian sebanyak 1,191.

Meskipun laporan harian kes menunjukkan penurunan, namun penularan wabak masih meningkat dan dalam keadaaan membimbangkan kerana negara itu berdepan masalah kekurangan alat pemeriksaan untuk mengesan individu yang dijangkiti.

Antara lokasi yang mencatatkan kes positif tertinggi ialah Harari, Oromia dan Dire Dawa.

Selain isu Covid-19, Ethiopia juga berdepan masalah banjir di enam wilayah ekoran hujan lebat yang turun di musim panas bermula Jun hingga September lalu.

Lebih 1 juta penduduk terjejas manakala 315,000 lagi menjadi pelarian dalam negara.

Di Somalia, seramai 3,588 orang disahkan positif setakat 28 September manakala jumlah kematian seramai 99 orang.

Jumlah individu positif jangkitan dilaporkan semakin meningkat dengan catatan kebanyakan individu yang dijangkiti adalah lelaki berumur 33 tahun.

Antara lokasi penularan wabak paling tinggi di Somalia ialah Madina, Garowe, Wardegle dan Waberi.

Kempen kesedaran semakin giat dijalankan di kawasan kem pelarian di Baidoa yang mempunyai risiko tinggi penularan wabak.

Islamic Relief telah menjalankan beberapa inisiatif untuk mengekang penularan wabak daripada terus berleluasa antaranya penganjuran kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan, sanitasi dan kebersihan kepada penduduk Ethiopia dan Somalia, pembinaan 10 kemudahan mencuci tangan di Afgooye, Somalia, edaran alat rawatan air, penghantaran air bersih menggunakan trak, dan kursus latihan kepada petugas kesihatan tentang Covid-19 serta tatacara penjagaan kebersihan.