Syria Dilanda Banjir Besar

SYRIA, 19 Jun 2020 – Sekurang-kurangnya 1,285 keluarga hilang tempat tinggal manakala 1,000 keluarga lagi terpaksa menanggung kerosakan sebahagian khemah ekoran hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar di utara Syria.

 

Lebih 3,174 keluarga di 54 kem pelarian di Idlib turut terjejas.

 

Keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah bantuan perlindungan, makanan dan barangan bukan makanan (NFI).

 

Islamic Relief Syria kini sedang berada di lapangan dan bekerjasama rapat dengan organisasi tempatan untuk membantu penduduk terjejas.

 

Bantuan pertama yang akan disalurkan adalah edaran khemah serta plastic penebat haba.

Ribut petir melanda Barat Laut Syria

SYRIA, 19 Jun 2020 – Hujan lebat dan angin kencang yang membawa banjir kilat telah melanda banyak kawasan termasuk kem pemindahan di Barat Laut Syria, menjejaskan 54 kem yang dihuni oleh lebih daripada 3,174 keluarga.

Sekurang-kurangnya 1,285 keluarga kehilangan tempat tinggal manakala sekurang-kurangnya 1,000 keluarga lagi mengalami kerosakan pada sebahagian khemah mereka.

Kerja-kerja pembaikan giat dilakukan untuk mengalirkan air yang bertakung di kem pelarian, membina jaringan air dan kumbahan, dan menurap jalan kerikil untuk membolehkan pergerakan.

Keperluan mendesak ketika ini adalah tempat tinggal, makanan, barangan bukan makanan khususnya peralatan tempat tidur dan khemah, serta kit kebersihan.

Islamic Relief kini sedang memantau keadaan semasa di lapangan serta bekerjasama rapat dengan organisasi lain untuk menyediakan khemah dan kepingan plastik kepada keluarga yang terjejas sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Kemerosotan Ekonomi, Kejatuhan Nilai Mata Wang Dan Pandemik Covid-19 Beri Tekanan Hebat Kepada Rakyat Lubnan

LUBNAN, 15 Jun 2020 – Kumpulan demonstrasi dan tunjuk perasaan di Lubnan menjadi semakin ekstrim berikutan kemerosotan ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang impak pandemik Covid-19.

Dilaporkan, penunjuk perasaaan telah melemparkan bom petrol dan batu ke arah pasukan keselamatan, bank serta bangunan kerajaan di Beirut dan Tripoli.

Ketegangan yang berlaku di Lubnan sebenarnya telah bermula Oktober 2019 dan mulai reda sejak Mac 2020 berikutan arahan kawalan pergerakan juga perintah berkurung yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Natijahnya, keadaan ekonomi Lubnan menjadi semakin merosot. Ribuan penduduk hilang pekerjaan manakala pekerja bergaji harian tidak mendapat upah daripada majikan.

Kebanyakan penduduk sudah tidak mampu untuk menanggung keperluan harian dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Islamic Relief Lubnan kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja untuk membantu penduduk setempat.

Siklon Amphan Ragut 12 Nyawa Di Benggala Barat Dan 9 Di Bangladesh

NEW DELHI, 21 Mei 2020 – Dua belas orang maut di Benggala Barat, India manakala sembilan orang lagi maut di Bangladesh ekoran bencana siklon Amphan yang melanda kawasan itu.

 

Menurut Need Assesment Working Group (NAWG) di Bangladesh, kira-kira 7.9 juta orang di negara itu sedang terdedah kepada ancaman bencana ini merangkumi Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, warga emas dan wanita mengandung.

 

Taufan ini bukan sahaja meragut nyawa malahan turut merosakkan tanaman, rumah, tiang elektrik dan stesen pengangkutan awam.

 

Selain itu, jalan raya dan kediaman orang awam juga dilaporkan dipenuhi dengan lumpur.

 

Apa yang menyedihkan lagi, proses gerak kerja bantuan kecemasan berdepan kesukaran ekoran perintah kawalan pergerakan Covid-19.

 

Kawasan pemindahan untuk menempatkan penduduk terjejas juga tidak dapat digunakan sepenuhnya ekoran sekatan ini.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air bersih, kit kebersihan, tempat perlindungan, rawatan kecemasan dan ubat-ubatan, air, sanitasi dan kebersihan yang khusus untuk penjagaan sewaktu Covid-19 serta bantuan sokongan psikososial.

 

Islamic Relief Bangladesh kini berada di Satkhira, salah satu daerah yang paling teruk terjejas dan telah menggerakkan 50 sukarelawan untuk membantu kerja-kerja pemindahan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.

 

Islamic Relief India pula kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta rangkaian NGO lain sebagai persediaan untuk mengahdapi sebarang kemungkinan lain.

Siklon Tropika Amphan Diramal Landa Bangladesh

BANGLADESH, 19 Mei 2020 – Siklon tropika Amphan diramal akan bergerak ke kawasan utara dan kemudian merentasi Bangladesh.

Kira-kira 13 kawasan dikatakan sangat terdedah kepada bencana siklon yang boleh mengakibatkan kemusnahan teruk seperti menjejaskan bangunan sekolah, jalan raya, bekalan elektrik, telekomunikasi, tanaman dan banyak lagi.

Taufan besar ini berkelajuan angin maksimum kira-kira 225 hingga 245 kilometer sejam menjadikan kawasan pantai adalah tempat tumpuan utama yang paling terdedah kepada ancaman.

Dijangkakan, kawasan tanah rendah dan persisiran pantai akan dilanda ribut setinggi lima hingga 10 kaki dengan kelajuan angin 140 hingga 160 kilometer sejam diiringi hujan lebat.

Pelabuhan maritim di Mongla dan Payra telah mula mengeluarkan isyarat bahaya bagi mengelakkan orang awam hadir ke kawasan itu.

Bot nelayan dan pukat tunda di Teluk Utara dan laut dalam juga dinasihatkan untuk menghentikan sementara operasi sehingga cuaca diumumkan kembali reda.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air bersih, kit kebersihan, tempat perlindungan dan bantuan perubatan.

Islamic Relief kini masih lagi memantau keadaan semasa di lapangan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Lebih 200 orang terkorban di Afrika Timur ekoran hujan lebat

AFRIKA, 18 Mei 2020 – Lebih daripada 200 orang terkorban manakala ratusan ribu yang lain terjejas ekoran hujan lebat yang telah mengakibatkan banjir di Kenya dan Somalia.

Antara kawasan yang teruk terjejas adalah lapangan kerja Islamic Relief Kenya di Mandera County, Garissa dan Tana River County, Hirshabelle, Jubaland, Southwest, dan Puntland.

Banjir tersebut telah mengakibatkan kerosakan harta benda, kemusnahan kemudahan air bersih, kerosakan infrastruktur kritikal, menenggelamkan rumah dan tanah pertanian yang penting bagi kelangsungan kehidupan, dan meningkatkan risiko penyakit bawaan air seperti kolera dan AWD.

Islamic Relief giat menyalurkan bantuan kecemasan seperti menyediakan aktiviti kesedaran berikutan penularan wabak Covid-19 dan penyakit bawaan air.

Antara keperluan mendesak adalah tempat perlindungan, khemah, makanan, barangan bukan makanan, makanan sedia dimakan, pakaian, air, dan kit kebersihan.