Siklon Tropika Amphan Diramal Landa Bangladesh

BANGLADESH, 19 Mei 2020 – Siklon tropika Amphan diramal akan bergerak ke kawasan utara dan kemudian merentasi Bangladesh.

Kira-kira 13 kawasan dikatakan sangat terdedah kepada bencana siklon yang boleh mengakibatkan kemusnahan teruk seperti menjejaskan bangunan sekolah, jalan raya, bekalan elektrik, telekomunikasi, tanaman dan banyak lagi.

Taufan besar ini berkelajuan angin maksimum kira-kira 225 hingga 245 kilometer sejam menjadikan kawasan pantai adalah tempat tumpuan utama yang paling terdedah kepada ancaman.

Dijangkakan, kawasan tanah rendah dan persisiran pantai akan dilanda ribut setinggi lima hingga 10 kaki dengan kelajuan angin 140 hingga 160 kilometer sejam diiringi hujan lebat.

Pelabuhan maritim di Mongla dan Payra telah mula mengeluarkan isyarat bahaya bagi mengelakkan orang awam hadir ke kawasan itu.

Bot nelayan dan pukat tunda di Teluk Utara dan laut dalam juga dinasihatkan untuk menghentikan sementara operasi sehingga cuaca diumumkan kembali reda.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah makanan, air bersih, kit kebersihan, tempat perlindungan dan bantuan perubatan.

Islamic Relief kini masih lagi memantau keadaan semasa di lapangan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Lebih 200 orang terkorban di Afrika Timur ekoran hujan lebat

AFRIKA, 18 Mei 2020 – Lebih daripada 200 orang terkorban manakala ratusan ribu yang lain terjejas ekoran hujan lebat yang telah mengakibatkan banjir di Kenya dan Somalia.

Antara kawasan yang teruk terjejas adalah lapangan kerja Islamic Relief Kenya di Mandera County, Garissa dan Tana River County, Hirshabelle, Jubaland, Southwest, dan Puntland.

Banjir tersebut telah mengakibatkan kerosakan harta benda, kemusnahan kemudahan air bersih, kerosakan infrastruktur kritikal, menenggelamkan rumah dan tanah pertanian yang penting bagi kelangsungan kehidupan, dan meningkatkan risiko penyakit bawaan air seperti kolera dan AWD.

Islamic Relief giat menyalurkan bantuan kecemasan seperti menyediakan aktiviti kesedaran berikutan penularan wabak Covid-19 dan penyakit bawaan air.

Antara keperluan mendesak adalah tempat perlindungan, khemah, makanan, barangan bukan makanan, makanan sedia dimakan, pakaian, air, dan kit kebersihan.

Banjir di Yemen Ragut Tujuh Nyawa

Yemen, 22 April 2020 – Tujuh maut manakala 85 lagi cedera ekoran hujan lebat dan banjir di Marib, Yemen.

Antara kawasan lain yang turut dinaiki air ialah Sana’a, Ibb dan Hajjah di utara Yemen.

Jabatan Meteorologi meramalkan utara Yemen bakal berdepan hujan lebat, disusuli angin kuat serta kilat yang boleh mengakibatkan banjir terus berlarutan.

Bencana ini dikhuatiri boleh merosakkan jalan, tanaman, menganggu proses bantuan kemanusiaan dan pergerakan orang awam selain boleh meningkatkan penularan penyakit bawaan air seperti kolera dan malaria.

Antara kawasan yang teruk terjejas melibatkan kem pelarian IDPs di empat kawasan iaitu di bandar Marib, Marib AlWadi, Serwah dan Medghil.

Islamic Relief bersama Program Makanan Sedunia (WFP), kini sedang bersiap sedia di lapangan untuk mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas.

Bantuan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah perlindungan, makanan, khemah, barangan bukan makanan sedia untuk dimakan, pakaian, air dan kit kebersihan.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan dengan menghubungi 03-89263434 atau klik pautan http://bit.ly/DKUM-SelamatkanMereka untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan bencana.

Islamic Relief Malaysia Terus Salur Bantuan Meski Gerak Kerja Terbatas

BANGI, 7 April 2020 – Dalam melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, Islamic Relief Malaysia terus pro aktif menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas meski proses gerak kerja di lapangan terbatas.

Para petugas menganggap kekangan yang dilalui sebagai satu cabaran dan pengalaman baru selain dilihat dapat melatih diri menjadi lebih kreatif dan kritis dalam mencari kaedah untuk memastikan amanah penyumbang telus kepada penerima.

Antara bantuan yang telah diberikan ialah 1000 helai topeng muka kepada Akademi Audit Negara yang menajdi pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang baru pulang dari Iran, sembilan kotak makanan yang mengandungi biskut, makanan segera, susu, air kotak bersama air mineral kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin, Hospital Ampang, Selangor dua unit ‘pharmaceutical refrigerator’ untuk bahagian farmasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan dengan usaha sama Persatuan Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Taiping, Perak.

Selain itu, sukarelawan Islamic relief Malaysia yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Bilik Gerakan Khas (BGK) Pantai Timur telah menyalurkan bantuan keperluan asas seperti beras, telur, sardine, tepung dan minyak masak kepada 80 keluarga yang mengalami sakit kronik di kalangan komuniti petani dan penoreh getah di sekitar Batu Karang dan Kedai Buloh, Pasir Mas, Kelantan.

BGK Pantai Timur turut memberikan bantuan Nasi Ayam 60 keluarga penoreh getah di sekitar Rantau Panjang, Kelantan.

Tidak hanya di Semenanjung, kakitangan Islamic Relief Malaysia di Borneo juga berusaha meringankan bebas golongan terjejas dengan kerjasama MyAmal dan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) dengan mengagihkan pek makanan yang mengandungi beras, biskut, gula dan sebagainya kepada penduduk di kawasan Inanam dan Menggatal, Sabah.

Komuniti pelarian juga tidak diabaikan kebajikannya. Seramai 60 keluarga Rohingya yang juga ibu bapa penjaga kepada para pelajar di pusat bimbingan alternatif Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) telah menerima bantuan pek makanan keperluan asas, ayam segar, kit kebersihan dan bantuan kewangan.

Islamic Relief Malaysia melalui dana yang dikumpulkan daripada tabung kempen Rayuan Kecemasan COVID-19 turut menyalurkan bantuan kewangan kepada agensi-agensi dan institusi-institusi barisan hadapan seperti pihak hospital bagi membantu proses pembelian barangan Personal Protective Equipment (PPE) seperti face mask, surgical gown, head cap, face shield dan hand sanitizer, pusat jagaan warga emas serta penerima manfaat dari kalangan ibu tunggal, peniaga atau penjaja kecil yang hilang punca pendapatan juga keluarga yang berpendapatan harian selain menyalurkan bantuan barangan seperti kelengkapan perubatan dan ‘sleeper chair’.

Bantuan bagi golongan tejejas Covid-19 ini akan terus di agihkan dari masa ke semasa mengikut perancangan dan keperluan mendesak penerima manfaat serta pihak hospital yang telah dikenalpasti.

Penduduk Syria Perlu Bantuan Kecemasan Segera

IDLIB, 13 Mac 2020 – Meski pengumuman gencatan senjata telah diumumkan pada 6 mac lalu, namun penduduk Syria masih memerlukan bantuan kecemasan segera merangkumi makanan, perlindungan, air sanitasi dan kebersihan.

Terkini, angka pelarian yang berpindah ke Utara Barat Syria sudah mencecah 961 ribu orang bersamaan 186,658 buah keluarga.

Lapan puluh satu peratus daripada jumlah itu adalah golongan wanita dan kanak-kanak manakala bakinya adalah kelompok lelaki, warga  emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 84 pusat kesihatan merangkumi hospital, klinik, unit rawatan rapi, klinik bergerak dan sebagainya yang mempunyai 500 petugas perubatan di Idlib dan Aleppo terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Setakat 4 Mac, 18 pusat kesihatan yang ditaja Islamic Relief musnah dan terjejas ekoran serangan yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan dengan menghubungi 03-89263434 atau klik pautan http://bit.ly/Save-Syria untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan bencana.

Wanita dan Perjuangan

Menyedari akan kepentingan wanita yang berperanan sebagai tonggak harapan aspirasi negara, Islamic Relief Malaysia telah mengambil inisiatif untuk turut meraikan kaum hawa sempena Hari Wanita pada 8 Mac yang disambut di peringkat antarabangsa sebagai simbolik penghargaan kepada wanita yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negara.

Menerusi ruang bicara santai yang diadakan di Charity Shoppe Islamic Relief Malaysia pada 7 Mac yang lalu, dua ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Irma Hasmie dan Dr Aizan Sofia telah berkongsi pengalaman dan pandangan mereka sebagai wanita moden yang berjuang dalam arus globalisasi.

Menurut Irma Hasmie, kehidupan sebagai seorang wanita pada masa kini bukanlah mudah memandangkan wanita juga turut sama menggalas tanggungjawab di rumah dan di pejabat.

Irma Hasmie telah berkongsi pengalamannya dalam menyantuni penerima manfaat di Marawi, Filipina dan Gaziantep, Turki manakala Dr Aizan Sofia menceritakan serba sedikit kisah hidup dan cabaran yang ditempuhinya sebagai seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang begitu menjentik hati dan membuka minda penonton.

Ruang bicara santai itu juga telah dihadiri oleh selebriti jemputan, Asmawi Ani (Mawi) sebagai salah seorang panel yang turut sama berkongsi pendapat dan pandangannya mengenai topik ‘Wanita dan Perjuangan’.

“Wanita yang hebat adalah wanita yang mengenali siapa dirinya dan sedar akan tanggungjawabnya di atas muka bumi”, ulas Asmawi Ani.

“Kita semua adalah sama di sisi Allah, yang membezakan kita adalah ketaqwaan kepada-Nya”, kata Dr Aizan Sofia.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Tuan Haji Zairulshahfuddin juga sempat menzahirkan kata-kata penghargaan kepada petugas-petugas kemanusiaan wanita di Islamic Relief yang telah berjaya membuktikan perjuangan wanita di dalam pembentukan dan pembangunan masyarakat meskipun harus bergadai nyawa, masa dan tenaga dalam kerja-kerja kemanusiaan yang telah dijalankan sama ada di dalam mahupun luar negara.

Populasi wanita di Malaysia pada tahun 2020 telah mencatatkan jumlah yang tinggi dan mendominasi populasi lelaki iaitu seramai 17.5 juta.