Gempa bumi kuat gegar Turki

TURKI, 25 Jan 2020 – Dua puluh dua orang terkorban manakala 1,032 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.8 skala richter di Elazig, timur Turki.

Gempa yang berpusat di bandar Sivrice itu turut mengakibatkan beberapa bangunan runtuh dan hampir 20 ribu penduduk dilaporkan terjejas.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Kerajaan Turki (AFAD), lebih 200 gempa susulan direkodkan selepas berlakunya gempa pertama.

Gegaran turut dirasai negara jiran seperti Syria, Lubnan dan Iran.

Angka kematian meningkat kepada 92 di Pakistan

PAKISTAN, 15 Jan. 2020 – Angka kematian di Quetta dan Azad Kashmir, Pakistan meningkat kepada 92 orang ekoran runtuhan rumah yang berpunca dari salji tebal.

Menurut Pihak Berkuasa Bencana Nasional Pakistan (PDMA), sebanyak 489 buah rumah dilaporkan terjejas dan musnah.

Operasi mencari dan menyelamat juga semakin sukar kerana runtuhan salji telah menyekat tujuh jalan utama di Azad Kashmir.

Islamic Relief dengan kerjasama peniaga tempatan sedang berusaha menyediakan bekalan makanan untuk penduduk yang terjejas.

Antara keperluan mendesak yang diperlukan ketika ini ialah perlindungan sementara, barangan bukan makanan, air minuman, kit kebersihan, bantuan kewangan dan psikososial.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan dengan menghubungi 03-89263434 atau klik pautan http://bit.ly/International-Aid-Emergency untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan bencana.

Cuaca sejuk melampau di Pakistan ragut 77 nyawa

PAKISTAN, 14 Jan. 2020 – Cuaca sejuk melampau yang melanda Pakistan telah meragut sekurang-kurangnya 62 nyawa di Azad Jammu dan Kashmir (AJK) serta 15 orang di Quetta, ibu kota wilayah Balochistan sejak dua hari lalu.

Turut dilaporkan, 11 orang cedera, beberapa orang hilang manakala lebih 100 kediaman musnah disebabkan runtuhan tanah dan salji.

Menurut Jabatan Meteorologi Pakistan, suhu di kawasan Kalat, Quetta dan Ziarat telah menjunam ke paras -10, -11 dan -13 darjah Celsius.

Pihak Berkuasa Bencana Nasional Pakistan (PDMA) telah mengisytiharkan darurat di beberapa daerah di sekitar utara Balochistan.

Bantuan telah mula diedarkan kepada penduduk terjejas merangkumi bantuan makanan, selimut dan ubat-ubatan.

Islamic Relief dan sukarelawan kini sedang mengenalpasti keperluan segera untuk membantu agensi bencana menyelamatkan penduduk di kawasan yang teruk terjejas.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan dengan menghubungi 03-89263434 atau klik pautan http://bit.ly/International-Aid-Emergency untuk menyalurkan bantuan kecemasan dan bencana.

Gunung berapi taal di selatan Manila meletus

MANILA, 13 Jan. 2020 – Salah satu gunung berapi paling aktif yang terletak di kepulauan Luzon, kira-kira 60 kilometer di selatan Manila telah mengeluarkan debu setinggi 14 kilometer ke udara Ahad lalu.

Gunung berapi Taal dianggap sebagai gunung berapi paling merbahaya di dunia berikutan jumlah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu sangat ramai selain ia turut menjadi pusat tumpuan popular orang awam juga pelancong.

Pihak berkuasa Filipina menggesa hampir setengah juta penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran untuk berpindah kerana dibimbangi letusan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Setakat hari ini, lebih 16,400 penduduk telah dibawa ke pusat pemindahan sementara dan dijangkakan angka ini akan terus meningkat.

Ketua Institusi Kajian Gunung Berapi, telah menaikkan tahap amaran ke peringkat empat yang memberi petunjuk bahawa letusan merbahaya boleh berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Bagi tahap amaran paling tinggi iaitu peringkat ke lima, ia membawa maksud letusan sedang berlaku.

Islamic Relief kini masih lagi memantau keadaan semasa di lapangan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Angka pelarian Idlib terus meningkat

IDLIB, 10 Jan. 2020 – Lebih daripada 312,000 orang telah melarikan diri dari wilayah selatan Idlib menuju utara manakala ribuan lagi penduduk sekitar daerah Saraqab turut melakukan hal yang sama kerana menjangkakan serangan bakal merebak ke kawasan mereka.

 

Puluhan ribu orang awam dikatakan berpindah ke kawasan utara Aleppo seperti di Afrin dan A’zaz untuk mendapatkan perlindungan dan akses kepada keperluan asas.

 

Tahap keselamatan pula di laporkan tidak stabil di mana pengeboman yang berlaku telah menjejaskan infrastruktur awam seperti sekolah dan kem IDP.

 

Pelarian domestik yang melarikan diri ketika ini amat memerlukan bantuan kemanusiaan khususnya perlindungan, makanan, ubat-ubatan, barangan bukan makanan dan kelengkapan musim sejuk.

 

Orang ramai boleh melakukan sumbangan untuk membantu rakyat Syria dengan menghubungi 03-89263434 atau layari www.islamic-relief.org.my.

Gempa bumi 6.4 magnitud gegar Puerto Rico

PUERTO RICO, 7 Jan. 2020 – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala lapan lagi cedera dalam kejadian gempa bumi berskala 6.4 magnitud di Puerto Rico.

346 penduduk hilang tempat tingggal apabila gegaran kuat yang melanda telah memusnahkan rumah, bangunan, jalan raya seterusnya menjadikan bekalan elektrik terputus sejak Selasa lalu.

Seramai 300,000 orang tidak mendapat akses air minuman disebabkan insiden yang berlaku.

Gabenor Puerto Rico telah mengisytiharkan darurat dan menggiatkan usaha baik pulih.