“Cheer to School” Rai Pelajar Tanpa Mengira Agama Dan Bangsa

BAHAU, 13 Nov 2019 – Seramai 117 pelajar India dari SJK (T) Ladang Air Hitam, Jempol; SJK (T) Ladang Pertang, Pertang; SJK (T) Ladang Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan teruja dan gembira setelah dibawa membeli kelengkapan persekolahan di Pasaraya Billion, Bahau, Negeri Sembilan menerusi program “Cheer to School (CTS) 2019” anjuran Islamic Relief Malaysia.

Objektif program tahunan ini tidak lain bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, stoking, beg dan alat tulis selain menyuntik semangat para pelajar untuk menimba ilmu dengan lebih bersemangat.

Kebanyakan pelajar yang menerima bantuan ini terdiri daripada anak-anak penoreh getah atau pekerja sambilan yang kurang berkemampuan di mana kebiasaannya, mereka akan mengulang pakai pakaian ahli keluarga mereka atau pakaian yang telah lusuh dan koyak.

Program “Cheer to School” menggunakan dua konsep berbeza dalam menyantuni penerima manfaat mengikut situasi dan lokasi sama ada dengan memberi peluang kepada para pelajar memilih sendiri barangan keperluan persekolahan di pasaraya berhampiran atau dengan membawa barangan sumbangan ke lokasi mereka.

Antara sekolah lain yang turut menerima manfaat dalam program “Cheer to School” tahun ini ialah Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom, Sabah; Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru; SMK Penarik, Setiu; Sekolah Kebangsaan Mangkok, Terengganu; SMK dan SK Kajang Utama; SMK dan SK Bandar Baru Bangi, SJK (T) Perhentian Tinggi, Sg Gadut, Negeri Sembilan; SMK Desa Wawasan, Tambunan; SK Malubang, Pitas; SMK Pekan, Kota Belud; SMK Ulu Sugut, Ranau, Sabah; SK Kampung Alit; Sekolah Kebangsaan Haji Junid Gerigat dan SK Tanjung Bundung, Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang dibantu seramai 645 orang.

Islamic Relief Malaysia Terbuka Jalinkan Kolaborasi Strategik

KUALA LUMPUR, 11 Nov 2019 – Islamic Relief Malaysia berbesar hati kerana terpilih menjadi salah satu dari 16 agensi rakan strategik yang telah menandatangani memorandum kerjasama program Sinergi Sosial hasil inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

 

Pendekatan ini diwujudkan bagi menyelaras dan menyeimbangkan setiap bantuan yang diberikan selain memastikan penyaluran bantuan diberikan secara adil kepada yang benar-benar layak sekaligus mengelakkan pertindihan manfaat yang diterima golongan memerlukan.

 

Tambahnya, sistem jaringan yang disediakan ini juga dilihat berupaya untuk memastikan golongan sasaran yang benar-benar memerlukan pertolongan tidak akan tercicir dari senarai mendapat bantuan.
Bagi Islamic Relief Malaysia pula, aplikasi MySynergy yang diwujudkan oleh PERKESO bakal memberi banyak manfaat dalam memudahkan tugasan menyaring maklumat serta mengenalpasti penerima bantuan yang disasarkan menerusi sesebuah projek dan program.

 

Antara rakan strategik lain yang turut terlibat dalam program ini ialah Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Giat Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBNS), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tekun Nasional, Malaysian Freelancer Association (MAFA), , Mental Illnes Awereness & Support Association (MIASA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM).

STEM Pupuk Minat Ilmu Sains, Matematik & Kejuruteraan Kepada Orang Asli

Dengkil, 30 Okt. – Program Pemindahan Ilmu kepada Masyarakat Orang Asli menerusi aktiviti STEM yang dilaksanakan pada hari ini telah memeriahkan suasana SK Bukit Tampoi, Dengkil, Selangor dengan penyertaan seramai 157 pelajar Sk Bukit Tampoi dan komuniti Orang Asli.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia dan SK Bukit Tampoi ini bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap ilmu sains, matematik dan kejuruteraan seterusnya menggalakkan para pelajar untuk mendalami ilmu yang dipelajari dalam sesi pembelajaran di sekolah.

Dr. Mohammad Yazdi Harmin selaku Ketua Program berkata aktiviti ini juga dijalankan untuk mendekati komuniti Orang Asli dan melihat sendiri pertumbuhan kanak-kanak di SK Bukit Tampoi terutama dari segi pembelajaran mereka.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan bersama pelajar-pelajar SK Bukit Tampoi dan komuniti Orang Asli ialah aktiviti water rocket, giant bubble dan Junior STEM chef, hidroponik serta free market.

Fa’azurah Kadir, Pegawai Kanan Bahagian Program Domestik Islamic Relief Malaysia turut berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang untuk meningkatkan semangat anak-anak untuk pergi ke sekolah seterusnya dapat meningkatkan akademik mereka.

Islamic Relief Malaysia berharap agar kerjasama dan program-program yang dijalankan ini dapat diteruskan bagi memanfaatkan komuniti yang terlibat.

Jumlah Pelarian Syria di Iraq Meningkat

Syria, 29 Okt. 2019– Seramai 1,200 individu melarikan diri ke sempadan Iraq pada 23 Oktober yang lalu dan menyebabkan jumlah pelarian meningkat kepada 8,430 orang dalam tempoh 10 hari.

Keperluan makanan, air, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan dilaporkan meningkat di kalangan para pelarian.

Atas faktor kos yang tinggi untuk melintasi sempadan sesetengah pelarian dilaporkan kekal di kem rasmi di mana bantuan kemanusiaan amat diperlukan.

Sehingga kini, para pelarian yang melintasi sempadan Iraq dibawa ke Kem Bardarash menggunakan bas. Bilangan pelarian di kem tersebut mencapai 1,662 keluarga, sementara kem tersebut telah menampung kapasiti sebanyak 3,000 buah keluarga dan bilangan ini dijangka akan meningkat.

Islamic Relief di Iraq bersedia untuk membantu dari segi penyediaan kit kebersihan dan pakej makanan kepada pelarian di sana.

Pelarian Syria Semakin Meningkat Akibat Peperangan

BEIRUT, 23 Okt. 2019– Sejak operasi ketenteraan di timur laut Syria bermula, kira-kira 160,000 orang awam dilaporkan telah dipindahkan.

Pada 13 Oktober, kira-kira 5,000 orang dilaporkan berpindah dari bandar Ein Issa ke kawasan Ar-Raqqa. Beberapa ratus keluarga juga dilaporkan meninggalkan Menbij, wilayah Aleppo akibat peperangan yang berlaku.

Pelarian mula memasuki Iraq pada 13 Oktober melalui Duhuk, dan menurut Pusat Penyelarasan Krisis Bersama (JCC) jumlah itu bakal meningkat daripada 30,000 hingga 250,000, pelarian.

Bantuan utama yang diperlukan untuk kem ini adalah lampin kanak-kanak, serbuk susu kanak-kanak, kit kebersihan, daging dan NFI (barangan bukan makanan).

Islamic Relief di Iraq telah melawat kem Bardarash di Dhouk di mana kira-kira 4000 individu ditempatkan di situ dan sedang memantau keperluan yang diperlukan di kem tersebut.

Krisis Minyak Di Yaman Jejas Bekalan Makanan Dan Bantuan Perubatan

Yaman, 18 Okt. 2019– Yaman ketika ini sedang mengalami krisis bahan api dan menyebabkan kenaikan harga makanan dan krisis kesihatan yang semakin ketara.

Penghantaran bekalan makanan dan perubatan mengambil masa yang lebih lama kekurangan bahan api dan operasi di hospital dan sistem penapisan air turut terganggu.

Islamic Relief (IR) Yemen melaporkan bahawa operasi semasa berjalan lancar tetapi jika keadaan berterusan, mungkin terdapat kesan yang signifikan terhadap program mereka dan akan terus mengawasi keadaan di sana.