Banjir di Niger, 4,505 Perlu Bantuan Kecemasan

NIGER, 8 Ogos 2020 – Seramai 4,505 penduduk yang terjejas di Dosso dan Tillaberry kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera selepas banjir besar melanda Niger sejak 2 Ogos lalu.

Sementara itu, sebanyak 420 kediaman dilaporkan musnah manakala 530 hektar tanaman mengalami kerosakan.

Antara keperluan mendesak yang yang dikenal pasti ketika ini adalah makanan, barangan bukan makanan (NFIs) dan kit kebersihan bagi melindungi mereka daripada ancaman penyakit malaria dan jangkitan koronavirus.

Hujan dijangka berterusan sehingga September ini meskipun paras air mulai surut.

Islamic Relief Niger kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi kemanusiaan lain untuk membantu penduduk terjejas.

Angka Kematian Letupan di Beirut Meningkat

BEIRUT, 7 Ogos 2020 – Angka kematian insiden letupan di Beirut terus meningkat kepada 154 orang termasuk kanak-kanak manakala lebih 5,000 lagi cedera.

 

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, seramai 120 orang pesakit yang mengalami kecederaan kritikal disebabkan serpihan kaca pecah memerlukan pembedahan segera.

 

Laporan awal menunjukkan lebih 1.5 juta orang di ibu negara Lubnan terjejas manakala 300,000 orang kehilangan tempat tinggal termasuk 80,000 kanak-kanak yang mengalami trauma.

 

Islamic Relief Lebanon mula menjalankan kerja-kerja pembersihan di jalan raya serta tempat-tempat awam 72 jam selepas letupan.

 

Selain itu, sumbangan air minuman dan pek makan turut diagihkan kepada pesakit dan keluarga serta kakitangan hospital.

 

Islamic Relief Lebanon akan terus menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas dengan kerjasama pihak berkuasa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi tempatan.

Angka Korban Insiden Letupan di Beirut Dijangka Meningkat

BEIRUT, 5 Ogos 2020 – Lebih 70 orang terkorban manakala hampir 4,000 lagi cedera dalam insiden letupan yang berlaku di pelabuhan Beirut, Lubnan semalam.

Banyak bangunan dilaporkan musnah dengan keadaan tingkap berkecai dan siling runtuh.

Gudang penyimpanan ubat-ubatan sakit kronik, kontena, lapangan terbang Beirut, kenderaan dan jalan raya di sekitarnya juga musnah teruk.

Punca sebenar letupan itu masih belum diketahui.

Menurut pejabat lapangan Islamic Relief Lubnan, setakat ini kakitangan Islamic Relief yang berada di sana semuanya dalam keadaan selamat walaupun ada sesetengahnya berada di Beirut manakala pejabat Islamic Relief pula hanya mengalami sedikit kerosakan.

Islamic Relief Lubnan sedang merangka pelan bantuan bersama rakan kemanusiaan lain di lapangan bagi membantu penduduk terjejas.

Islamic Relief Malaysia laksana Qurban Sabah patuh SOP

SABAH, 1 Ogos – Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah melaksanakan program Qurban Sabah pada 31 Julai dan 1 Ogos sempena Hari Raya Aidiladha.

Sebanyak 48 buah keluarga di Kampung Selamat, Semporna dan 116 buah keluarga di Kampung Meninipir, Keningau telah menerima manfaat agihan daging korban.

Ia membabitkan seekor lembu di Semporna dan dua ekor lembu di Keningau hasil sumbangan para penyumbang melalui Islamic Relief Malaysia.

Selari dengan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), program ini dijalankan di tempat terbuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JHEAINS seperti amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

JHEAINS dalam sesi taklimat pengendalian program korban telah menghadkan penyertaan program ini hanya kepada penduduk kampung dengan jumlah kurang daripada 20 orang yang melibatkan pihak ahli jawatankuasa (AJK) yang berwajib sahaja.

Pegawai Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Fathi Ridhwan Saidin berkata, antara fokus program korban pada kali ini adalah untuk membantu penerima manfaat yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri termasuk penduduk di Kampung Selamat, Semporna.

“Ini adalah kali pertama ada NGO datang secara langsung ke rumah penerima manfaat untuk memberikan agihan daging korban.

“Untuk perancangan yang seterusnya, kami dalam proses merangka program sempena PKPP untuk membantu lebih ramai golongan yang terjejas seperti petani dan kami ingin memulihkan ekonomi mereka. Terima kasih kepada penyumbang dan semoga usaha murni ini dapat diteruskan untuk membantu mereka yg memerlukan,” katanya.

Program ini bermula dengan proses menyembelih, melapah, dan menguruskan potongan daging sebelum diagihkan kepada semua penerima manfaat yang telah dikenalpasti oleh AJK kampung.

Pada tahun ini, Islamic Relief secara keseluruhan melaksanakan ibadah qurban di 31 buah negara termasuk Malaysia dengan jumlah lebih daripada 170,000 bahagian qurban.

Agihan daging korban dari rumah ke rumah ini memberi peluang kepada golongan asnaf untuk menikmati daging korban dalam memenuhi keperluan gizi makanan seharian mereka memandangkan daging lembu mengandungi makronutrien yang terdiri daripada kalori, protein dan lemak selain daripada elemen nutrisi lain seperti zink, zat besi, potassium, magnesium, selenium, vitamin B, K dan D.

Program korban pada kali ini telah berjaya dilaksanakan hasil usaha dan kerjasama kakitangan Islamic Relief Malaysia, rakan kemanusiaan, penduduk setempat dan para sukarelawan.

Islamic Relief Malaysia berharap dengan sokongan para penyumbang akan dapat terus membantu meringankan beban golongan yang memerlukan selain kekal istiqamah dalam memenuhi tuntutan syariat sunat muakkad ini.

Keadaan Lubnan Semakin Kritikal

Lubnan, 30 Julai 2020 – Kes positif koronavirus (COVID-19) di Lubnan telah memasuki gelombang kedua memandangkan catatan kes baharu dilaporkan lebih tinggi berbanding di awal penularan wabak iaitu kira-kira 140 hingga 180 kes sehari.

 

Rentetan itu, kerajaan Lubnan telah mengambil pendekatan mengisytihar semula perintah berkurung sehingga 10 Ogos.

 

Kemerosotan ekonomi yang berlaku di negara itu turut mengakibatkan Lubnan menjadi negara pertama di wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang berdepan fasa hiperinflasi iaitu kadar inflasi melebihi 50 peratus selama 30 hari berturut-turut.

 

Kesannya, harga makanan melambung tinggi manakala nilai mata wang susut teruk.

 

Peningkatan kadar pengangguran, kenaikan harga makanan dan barangan keperluan asas, kemudahan bekalan elektrik, rawatan perubatan di hospital yang terhad menambahkan lagi tekanan sedia ada.

 

Dalam usaha meringankan beban yang ditanggung rakyat tempatan, Islamic Relief Lubnan telah mengedarkan pek makanan kepada penduduk terjejas termasuk pelarian Palestin dan Syria yang berlindung di sana.

 

Islamic Relief Lubnan turut merangka pelan bantuan kemanusiaan untuk komuniti setempat bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup serta menjana pendapatan mereka sendiri.

Hujan lebat akibatkan banjir besar di Bangladesh.

BANGLADESH, 30 Julai – Hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar telah mengorbankan lebih daripada 100 nyawa sementara ribuan lagi menjadi mangsa penyakit bawaan air di Bangladesh.

 

Kenaikan paras air di tiga lembangan sungai utama ekoran hujan lebat yang berterusan menyebabkan banjir besar di 22 daerah, sekaligus merekodkan kawasan utara, timur laut dan tenggara Bangladesh sebagai kawasan yang paling teruk terjejas.

 

Menurut laporan jangkaan oleh Kumpulan Kerja Penilaian Keperluan Nasional (NAWG), dianggarkan kira-kira 3.33 juta orang bakal terjejas dan memerlukan bantuan kemanusiaan manakala menurut Majlis Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC), lebih daripada lima juta orang telah terperangkap dalam banjir di 31 daerah.

 

Kemusnahan teruk pada tanah pertanian dan infrastruktur awam bakal meninggalkan kesan buruk terhadap bekalan makanan dan kelangsungan kehidupan penduduk.

 

Bencana banjir ini semakin memburukkan keadaan sedia ada apabila kesan daripada wabak COVID-19 dan taufan Amphan masih lagi berlarutan.

 

Keadaan dijangka bakal merosot dalam beberapa hari mendatang berikutan paras air yang diramalkan tidak beransur surut sehingga September.

 

Jutaan penduduk di pusat pemindahan sementara termasuk mereka yang terpaksa berlindung di jalan raya dan jambatan memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

 

Islamic Relief kini sedang merangka pelan kecemasan dalam menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terjejas dan tumpuan bakal diberikan kepada aktiviti pemulihan untuk kelangsungan hidup para petani.