300 Rumah Rosak, 197 Cedera Akibat Dua Gempa Bumi di Albania

Tirana, 24 Sept 2019 – Dua gempa bumi telah melanda Albania pada 21 September lalu dengan 5.8 magnitud diikuti 5.3 magnitud 11 minit kemudian. Bencana itu menyebabkan sekurang-kurangnya 197 orang termasuk kanak-kanak cedera akibat ditimpa barang-barang atau serpihan yang runtuh, termasuk batu bata.

 

300 buah rumah telah dilaporkan mengalami kerosakan teruk dan musnah. Penduduk yang telah kehilangan tempat tinggal, ditempatkan di khemah-khemah penempatan sementara.

 

Bantuan kemanusiaan yang diperlukan ketika ini adalah pembinaan semula rumah. Ditambah dengan ketibaan musim sejuk yang melampau, kesemua penduduk terjejas terpaksa berdepan situasi sukar.

 

Islamic Relief (IR) Albania kini memantau situasi semasa dan bersedia memberi bantuan segera.

“Kita bantu orang, tapi akhirnya mereka bantu kita”

Menyedari kepentingan penglibatan mahasiswa dan golongan muda dalam bidang kemanusiaan serta kesukarelawanan, Kelab UNESCO di bawah kelolaan “University Centre for Community Engagement” (UCCE – BUDI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil inisiatif mengadakan ruang bicara bagi merealisasikan harapan itu.
Menerusi pentas bicara yang diadakan, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), Elfaeza Ul Haq dan Mizz Nina yang terlibat secara langsung bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cinta Syria Malaysia sama-sama berkongsi pengalaman dan rasa gembira apabila dapat menghulurkan bantuan kepada insan-insan memerlukan.
Kedua-dua selebriti ini menyokong sepenuhnya penglibatan mahasiswa dalam kerja-kerja amal kerana ia banyak memberi impak positif dalam membentuk jati diri seseorang selain berupaya menjadi kompas hidup dalam kita melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah.
Kefahaman dan kesedaran seperti ini nyata sangat memberi manfaat kepada pembangunan negara juga ke arah mewujudkan dunia prihatin.
Dalam konteks kehidupan masa kini, kita tidak dapat menafikan bahawa manusia terpaksa berlumba-lumba untuk maju seiring arus kemodenan semasa agar tidak kelihatan mundur dan masih ditakuk lama.
Namun, dalam keghairahan itu nilai kemanusiaan harus tetap menjadi teras utama agar si miskin tidak terus mewarisi kemiskinannya manakala si kaya tenggelam dalam lautan kemewahan tanpa menunduk ke bawah.
Disebabkan itu, peranan untuk mengajak masyarakat ke arah kebaikan perlu dilaksanakan semua pihak. Syukur, saat ini trend semasa telah menunjukkan ramai golongan artis dan selebriti tanah air mula melibatkan diri dalam kerja-kerja amal.
Perkembangan positif ini turut dikongsi oleh Mizz Nina dalam sesi perkongsian bersama mahasiswa UIAM. Baginya, inilah peluang untuk para selebriti memainkan peranan serta tanggungjawab untuk meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap penderitaan orang lain.
Jelas sekali refleksi penglibatan kerja amal mampu mengubah pemikiran dan tingkah laku seseorang. Maka tidak hairanlah ada sesetengah institusi pengajian tinggi mewajibkan pembabitan mahasiswa dalam kerja suka dan rela kerana yang mereka mahu lahirkan bukan hanya graduan cemerlang dalam akademik tetapi turut memiliki modal insan terbaik.
Keterlibatan mahasiswa dalam lingkungan aktiviti kemanusiaan juga mampu melonjak tahap kebolehpasaran yang jauh lebih tinggi kerana platform ini boleh melatih kemahiran insaniah seseorang ketika menjalankan tugas.

HEY Suntik Semangat Pelajar Asnaf Untuk Berjaya

KAJANG, 21 Sept – Menyedari kepentingan pendidikan dalam mengupayakan komuniti, Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil inisiatif dengan mewujudkan program Holistic Education Youth (HEY) untuk membantu 74 pelajar tahun enam, tingkatan tiga dan lima menduduki peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM.

 

Pendekatan ini dilaksanakan bertujuan memberi peluang kepada anak-anak asnaf dan fakir miskin meningkatkan tahap penguasaan ilmu pembelajaran selain memberi galakan untuk mereka mengejar kejayaan dan mengubah nasib keluarga.

 

Program di bawah sektor pendidikan ini berlangsung pada setiap hujung minggu bermula Jun lalu dan akan berakhir Januari tahun hadapan.

 

Rata-rata para pelajar, ibu bapa juga guru-guru yang terlibat memberi respon positif terhadap program ini kerana berjaya memberi impak baik kepada para pelajar dari segi perkembangan pembelajaran juga jati diri.

 

Selain kelas tambahan, para pelajar juga diberi peluang mengikuti kem motivasi, eksplorasi sains dan kem ibadah.

IRM, Mahasiswa Pergigian Universiti Al-Azhar Santuni Pelajar RISE

KAJANG, 14 Sept – Seramai 38 pelajar Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) berumur dari 6 hingga 16 tahun menyertai program pemeriksaan gigi secara percuma anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama kumpulan mahasiswa tahun akhir jurusan pergigian Universiti Al-Azhar, Mesir dan pihak pengurusan RISE.

Objektif program tersebut dijalankan adalah bagi memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para pelajar disamping meningkatkan kesedaran akan kepentingan penjagaan gigi.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaaan gigi bersama konsultasi menggunakan alatan yang ditaja oleh Klinik TTDI Grove, demonstrasi cara memberus gigi dengan betul diikuti latihan amali seterusnya taklimat dan penerangan mengenai kepentingan menjaga kebersihan gigi serta kesan mengabaikannya.

IRM berharap pada masa akan datang, ada lebih banyak lagi kumpulan mahasiswa, tenaga pakar atau organisasi lain turut serta bersama IRM memperkasa komuniti ke arah mewujudkan dunia prihatin.
RISE merupakan salah satu pusat bimbingan alternatif yang ditubuhkan IRM pada tahun 2017 untuk membantu anak-anak pelarian khususnya pelarian Rohingya mendapat pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira.

IRM Berbesar Hati Terima Kunjungan Hormat Delegasi Kementerian Dan Wakil PBB

Kajang, 10 Sept 2019 – Islamic Relief Malaysia (IRM) berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia dan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) di Kajang, Selangor.

 

Kunjungan khas itu diadakan bertujuan memenuhi lawatan kerja ke Malaysia yang dijalankan oleh Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia bermula 3 hingga 6 Oktober 2019.

 

Menariknya, ini merupakan kali pertama seorang Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia mengadakan lawatan ke negara ini sekaligus menjadi pengiktirafan kepada usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan hak asasi manusia.

 

Kehadiran beliau turut diiringi Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Datin Sri Norzamani Abdol Hamid, Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Antara perkara yang dibincangkan oleh IRM bersama pihak delegasi terhormat ialah perancangan masa depan kanak-kanak pelarian Rohingya setelah menamatkan pembelajaran di sekolah ini serta cadangan penambahbaikan latihan kemahiran kepada para pelajar.

 

Usai sesi perbincangan, para tetamu dibawa melawat ke setiap kelas untuk berinteraksi dan melihat suasana pembelajaran di RISE selain menonjolkan hasil tangan para pelajar dalam melakukan aktiviti seni, tanaman dan jahitan.

 

IRM berharap semoga kunjungan delegasi ini menjadi titik mula kepada jaringan kolaborasi strategik antara IRM, pihak kementerian dan PBB demi membela nasib anak-anak pelarian di negara ini.

610 Isi Rumah Memerlukan Bantuan Kemanusiaan Segera

NIGER, 10 Sep. 2019– Niger telah direkodkan mengalami hujan lebat sejak 26 Ogos lalu sehingga berlakunya banjir kilat.

Banjir yang dicetuskan oleh paras air yang sangat tinggi di Sungai Niger telah menyebabkan kemusnahan serantau di rantau Afrika Barat.

Di Niger, beribu-ribu orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, yang musnah akibat runtuhan dan tenggelam.

Dosso dan Tilliberi adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas dengan jumlah 610 isi rumah (4913 individu) dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

Islamic Relief (IR) Niger beroperasi di Dosso dan Tilliberi telah mengenalpasti keperluan utama seperti: tempat perlindungan sementara, bantuan makanan dan bantuan bukan makanan (NFI). n.

IR Niger kini memantau situasi semasa dan bercadang untuk memberi bantuan kecemasan selama 3 bulan.