• (+603) 8926 3434
  • Info@Islamic-relief.org.my
  • (+6019) 637 9788
FESNAIS Satukan Hiburan, Dakwah Dan Kerja Amal

Bangi, 16 Feb. 2020 – Kolej Pendeta Za’ba Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia menganjurkan Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) 2020 dan Konsert Amal #KITA4WATER di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM.

Program ini merupakan acara tahunan yang dijalankan di peringkat IPTA/IPTS bagi mencungkil bakat nyanyian serta idea kreatif mahasiswa dalam menghasilkan lagu-lagu Ketuhanan.

“FESNAIS adalah platform yang sangat tepat untuk mahasiswa mengembangkan bakat mereka selain membuka jalan yang lebih luas kepada para peserta untuk melonjakkan bakat mereka dalam industri nasyid tanah air kerana kami turut menjemput beberapa syarikat rakaman ke program ini,” kata Mohd Fathiuddin Fakri Ramli, Ketua Pengarah Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) 2020 dan Konsert Amal #KITA4WATER.

Antara objektif lain penganjuran program dua dalam satu yang bertemakan “Alunan Seni Dakwah Bil Hikmah” ialah bagi menerapkan semangat kepimpinan serta menjadi platform untuk mahasiswa dan mahasiswi berbakti kepada masyarakat menerusi program amal yang dijalankan.

Sepuluh peratus daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Islamic Relief Malaysia bagi membantu projek air, sanitasi dan kebersihan (WASH) yang akan membantu tiga negara iaitu Somalia, Bangladesh dan Malawi.

“Harapan saya buat semua mahasiswa dan peserta yan bertanding, semoga anda semua berjaya menjadi penyanyi yang hebat malah turut menjadi negarawan dan sukarelawan hebat yang sentiasa peka dan prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia dalam ucapan program.

Tambahnya, dunia kini sudah ketandusan kasih sayang. Justeru, peranan anak muda sangat penting dalam menggerakkan penyebaran kasih sayang termasuk menerusi medium dakwah dalam nyanyian.

Festival nasyid yang berlangsung telah menjadi medan pertembungan tujuh kumpulan nasyid daripada lima universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malalaysia Pahang (UMP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Gelaran juara berjaya dirangkul oleh kumpulan In Voices daripada UPNM.

Selain persembahan para peserta nasyid, program ini turut menampilkan persembahan nyanyian daripada kumpulan Devotees dan Haqiem Rusli manakala Ashraf Muslim, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia dijemput menjadi salah seorang wakil juri jemputan.