Taufan Dorian Landa Bahamas

PULAU ABACO, 10 Sep. 2019– Taufan Dorian telah melanda Bahamas yang dikenali sebagai badai Kategori 5 dengan kelajuan angin ribut 300km / j dan ribut besar antara 1 dan 2 September 2019.

70,000 orang memerlukan tempat perlindungan, makanan dan air manakala beberapa buah keluarga kehilangan rumah. Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dan angka ini dijangka akan meningkat kepada ratusan dan ribuan orang berkemungkinan hilang.

Sekitar 3500 orang telah dipindahkan dan kini berlindung di khemah dan tempat yang disediakan. Terdapat kebimbangan jika penyakit cirit-birit dan penyakit bawaan air lain boleh tersebar.

Sebahagian daripada kawasan yang paling terjejas adalah bandar-bandar yang sibuk, diduduki oleh pekerja-pekerja Haiti. 90% daripada infrastruktur di Kepulauan Abaco telah musnah.

Satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Pulau Grand Bahama juga hancur. Akibatnya, ia tidak boleh digunakan untuk pemindahan atau penghantaran bantuan.

Islamic Relief Worldwide (IRW) akan terus mengawasi keadaan dan mengumpulkan maklumat daripada rakan Islamic Relief yang terdekat.

Banjir Di Mali, 14,000 Terkesan

MALI, 5 September 2019– Hujan lebat sejak 24hb Ogos telah mengakibatkan banjir besar di Mali, terutama di Circle of Nara di rantau Koulikoro di mana ia antara kawasan yang paling terjejas.

Penduduk di bandar dan kampung Nara, serta masyarakat Guire, Fallou, Ougadou dan Dilly memerlukan bantuan dengan kadar segera.

Di Nara, 73 buah rumah telah runtuh manakala di Guire 240 isi rumah mengalami kerosakan teruk.

Di Dilly dan Ougadou, 14 buah rumah telah musnah sepenuhnya dan manakala di Fallou 12 buah kampung telah terjejas dan telah menenggelamkan lebih daripada 400 hektar kawasan sawah serta menyebabkan 81 buah rumah terbiar disebabkan oleh risiko ditenggelami air.

Di seluruh lima kawasan ini, hampir 14,000 orang telah terjejas secara langsung oleh keadaan banjir.

Keperluan utama telah dikenal pasti sebagai: Makanan, bantuan bukan makanan (NFI), produk penyahjangkit air, tempat perlindungan sementara, barangan sekolah dan pakaian untuk kanak-kanak.

Islamic Relief (IR) Mali kini memantau situasi semasa dan merangka pelan untuk membantu 3,840 penduduk (640 isi rumah).

600,000 Pelarian Banjiri Barat Laut Syria

IDLIB, 4 September 2019– Sejak kejatuhan gencatan senjata pada 5 Ogos, beribu-ribu orang awam telah melarikan diri ke Utara Idlib. Lebih 600,000 pelarian telah direkodkan di barat laut Syria sejak awal bulan Mei.

Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan yang berlaku pada 28 dan 30 Ogos menyebabkan empat fasiliti rosak dan tiga lagi dijangka turut rosak.

PBB telah merekodkan lebih daripada 550 kematian orang awam sejak serangan bermula, termasuk 450 wanita dan kanak-kanak yang disahkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Kebanyakan orang yang melarikan diri telah berpindah ke dalam Daerah Pentadbiran Idleb, dengan jumlah yang lebih kecil bergerak ke utara wilayah Aleppo.

Sekurang-kurangnya 58 sekolah mengalami kerosakan atau terjejas akibat serangan udara sejak akhir April di kawasan itu, sementara kira-kira 100 sekolah telah digunakan sebagai tempat perlindungan pelarian.

Bantuan kemanusiaan amat diperlukan termasuk perlindungan, barang-barang kebersihan di dalam dan di luar kem, tepung gandum untuk menghasilkan roti, pek makanan, perkhidmatan penjagaan kesihatan trauma, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta pendidikan kecemasan.

Serangan Baru Tingkatkan Jumlah Pelarian Di Syria

IDLIB, 23 Ogos 2019 – Serangan baru sekali lagi mengancam kehidupan berjuta-juta orang awam yang tinggal di wilayah Idlib dan keadaan semakin huru-hara memandangkan penduduk tiada lagi tempat untuk berlindung.

Hospital Maaret al Numan telah merawat lebih daripada sejuta orang yang telah diserang dalam serangan udara baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya 18 orang awam termasuk enam orang kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di kem pelarian di bandar Hass, wilayah Idlib.

Situasi menyebabkan 500,000 orang menjadi pelarian. Dalam jumlah ini, beberapa orang daripadanya telah berpindah beberapa kali. 25,000 anjakan direkodkan dalam tempoh tiga hari lepas. Lebih 500 orang awam meninggal dunia dan mengalami kecederaan sejak April.

Bantuan segera yang diperlukan termasuk makanan, barangan musim sejuk, tempat tinggal, kesihatan, air, kebersihan & sanitasi (WASH) dan pendidikan.

Sehingga kini, IR Syria dengan kerjasama rakan IR lain telah membantu Idlib melalui bantuan khemah, plastik, makanan, roti, tepung gandum dan kesihatan.

25,000 Rakyat Sudan Perlukan Bantuan Kecemasan

KHARTOUM, 21 Ogos 2019 -Hujan lebat dan banjir kilat telah menyebabkan kemusnahan di seluruh Sudan yang melibatkan 16 daripada 18 negeri, dan White Nile adalah kawasan paling teruk terjejas dengan 25,000 penduduk memerlukan bantuan segera.

Lebih 100,000 rakyat Sudan terjejas oleh banjir, dan lebih daripada 1000 rumah telah mengalami kerosakan.

Islamic Relief (IR) Sudan kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau situasi tersebut.

Setakat ini, IR Sudan merancang untuk mengagihkan barangan bukan makanan (NFIs) di White Nile.

Kem Bestari YPM-IRM Tingkat Kefahaman Pelajar

Hulu Langat, 17 Ogos 2019 – 60 pelajar dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat daripada program Kem Motivasi Bestari yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program selama tiga hari itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan pengetahuan pelajar berkaitan teknik-teknik menjawab soalan, perkongsian maklumat dan pengalaman pembelajaran dengan menggunakan kemahiran yang diberi, memberi pendedahan berkaitan cara-cara membuat pembahagian masa dalam menjawab soalan serta pendedahan skema menjawab soalan.

Pengurus Bahagian Program Domestik IRM, Noor Halimahton Sa’adiah Talib dalam ucapannya berkata, “Islamic Relief Malaysia berterima kasih kepada Yayasan Pelajaran MARA atas kerjasama dalam menjayakan kem ini. Ini bukan kali pertama IRM bekerjasama dengan YPM dalam sektor Pendidikan. Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk masa akan datang. Untuk pelajar-pelajar, saya doakan kejayaan anda.”

Sementara itu, Mohamad Isa Chik, Pengurus Seksyen Kesukarelawan dan Kepimpinan YPM berkata, “Terima kasih kepada Islamic Relief Malaysia yang berusaha membawa adik-adik pelajar ke kem ini sehingga kita dapat bertemu. Bila Allah letak kita dalam sesuatu jalan yang baik, bermakna kita dipilih oleh Allah untuk menjadi orang terbaik. Bila Allah dah pilih kita, jadilah kita orang yang terbaik, bukan orang yang gagal.”

Para peserta kem tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar UPSR, PT3 dan SPM 2019 dari SK Jalan 4, SK Kajang Utama, SK Seksyen 7, SMK Kajang Utama dan SMK Jalan 3 manakala tenaga pengajar terdiri daripada guru-guru pakar Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Saya dan rakan-rakan rasa gembira kerana terpilih menyertai program ini. Banyak perkara yang kami dapat melalui aktiviti yang dijalankan. Selain dapat menambah ilmu, kami dapat bekerja berkumpulan, toleransi dan saling menyayangi antara satu sama lain. Kami lebih bersemangat nak belajar!” Kongsi Amy Adib Mahsuri, salah seorang peserta Kem Bestari.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem adalah bengkel teknik menjawab, taklimat kerjaya dan pengurusan diri serta taklimat persediaan diri dalam menghadapi peperiksaan.