67 maut manakala 500,000 orang terjejas teruk

JAKARTA, 7 Jan. 2020 – Enam puluh tujuh orang terkorban sementara lebih 500,000 lagi dilaporkan terjejas teruk dalam insiden tanah runtuh serta banjir kilat di daerah Bogor dan Lebak.

Ribuan rumah ditenggelami air manakala ratusan lagi hanyut dibawa arus deras.

Selain dua kawasan itu, Depok, Bekasi, Tangerang, Tangerang Selatan dan Bandung Barat di wilayah Jawa Barat turut mengalami nasib yang sama.

Dua belas daerah di luar Jakarta telah diisytiharkan darurat sehingga 16 Januari.

Bagi kawasan banjir yang sudah mulai surut, jumlah penduduk dipindahkan kini kurang daripada 15,000 orang.

Islamic Relief kini sedang merangka pelan bantuan bersama rakan kemanusiaan lain untuk proses pembersihan dan baik pulih kediaman yang musnah.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan untuk membantu penduduk terjejas dengan menghubungi 03-89263434 atau layari www.islamic-relief.org.my.

24 orang terkorban manakala hampir 500 juta haiwan mati

AUSTRALIA, 6 Jan. 2020 – Dua puluh empat orang dan hampir 500 juta haiwan telah terkorban, tujuh orang masih hilang, manakala 2,000 rumah telah musnah dalam kebakaran hutan yang melanda Australia sejak beberapa bulan lalu.

 

Menurut Reuters, kira-kira 67,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat di Victoria.

 

Lebih 6 juta hektar kawasan di Victoria dan New South Wales musnah ekoran krisis kebakaran yang dikatakan berpunca dari cuaca panas melampau diikuti angin kencang.

 

Kini, petugas Islamic Relief Australia sedang berada di lapangan bersama rakan kemanusiaan lain untuk sama-sama menyalurkan bantuan kritikal dengan kadar segera.

 

Orang ramai boleh melakukan sumbangan untuk membantu penduduk terjejas dengan menghubungi 03-89263434 atau layari www.islamic-relief.org.my.

Idlib Perlu Bantuan Kemanusiaan Segera

IDLIB, 31 Dis. 2019 – Sekurang-kurangnya 284,000 orang telah melarikan diri dari wilayah selatan Idlib ke bahagian utara untuk berlindung dari serangan yang melanda sejak 1 Disember lalu.

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), lebih 1000 orang terbunuh manakala 76 peratus daripada 3 juta penduduk yang terkesan terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, 400,000 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka di utara Hama, Selatan Idlib dan Barat Aleppo sejak Mei hingga Ogos 2019.

Mereka yang melarikan diri amat memerlukan bantuan kemanusiaan khususnya perlindungan, makanan, ubat-ubatan, kelengkapan musim sejuk dan kemudahan air, sanitasi juga kebersihan.

Setakat ini, Islamic Relief Syria telah berjaya mengedarkan 115 buah khemah, 2,800 selimut, 1,400 plastik penebat haba, 2,800 tilam dan 100 pek bekalan makanan kepada 8,500 penerima manfaat.

Orang ramai boleh melakukan sumbangan untuk membantu rakyat Syria dengan menghubungi 03-89263434 atau layari www.islamic-relief.org.my.

Keluarga Syria di Idleb Melarikan Diri Berhampiran Sempadan Turki

IDLEB, 24 Dis. 2019 – Dianggarkan 132,723 orang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka di antara 11 dan 22 Disember dan puluhan ribu telah melarikan diri sejak 16 Disember 2019.

Peningkatan terakhir adalah akibat serangan udara intensif terhadap infrastruktur awam yang menyebabkan sekurang-kurangnya 84 orang terbunuh dan 173 cedera.

Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) memberi amaran bahawa setengah juta orang lagi akan berpindah dalam beberapa minggu yang akan datang.

Islamic Relief Syria telah mengenal pasti keperluan keutamaan IDP yang terjejas seperti: barangan perlindungan, makanan, perkhidmatan kesihatan, pemakanan dan perlindungan.

Peningkatan Pelarian Semakin Membimbangkan di Selatan Idlib

IDLIB, 24 Dis. 2019 – Sejak 16 Disember, puluhan ribu orang awam telah melarikan diri dari daerah Ma’arrat An-Nu’man di wilayah selatan Idlib, ke utara akibat serangan bom udara yang berterusan.

Ribuan penduduk yang lain, dilaporkan menunggu pengeboman reda dan mencari pengangkutan untuk melarikan diri dari kawasan itu.

Rantau Greater Idlib (termasuk barat Aleppo) menempatkan kira-kira 3.2 juta orang di mana lebih separuh daripadanya terlantar dan tinggal di kem pelarian di sempadan Turki.

Tahap keselamatan yang tidak menentu di sepanjang laluan akses utara dan kekurangan bahan api di kawasan Idlib membataskan pergerakan orang awam untuk melarikan diri. Sejumlah kecil orang awam dilaporkan menuju ke kawasan di wilayah utara Aleppo.

Kebanyakan mereka yang melarikan diri amat memerlukan bantuan kemanusiaan, terutamanya perlindungan, makanan, ubat-ubatan, barangan bukan makanan dan bantuan musim sejuk.

Gempa Bumi berukuran 6.8 magnitud landa selatan Filipina

MANILA, 16 Dis. 2019 – Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud telah melanda Pulau Mindanao di selatan Filipina.

Lima orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak manakala puluhan penduduk tercedera dan kerosakkan bangunan semakin bertambah di kawasan yang sedang pulih daripada gempa yang berlaku pada Oktober-November 2019.

Tim Islamic Relief di lapangan kini dalam keadaan selamat dan sedang menyelaraskan kerjasama dengan kerajaan dan rakan kemanusiaan yang lain untuk melakukan penilaian atas bencana yang berlaku.