64 Maut Hujan Monsun di Nepal

Kathamandu, 16 Julai 2019– Bencana banjir yang melanda Nepal akibat hujan monsun meragut sekurang-kurangnya 64 nyawa, manakala 32 orang mengalami kecederaan dan sekurang-kurangnya 31 orang hilang setakat 15 Julai 2019.

 Dilaporkan 33,113 penduduk terkesan dan 3,186 buah keluarga telah dipindahkan.

Amaran peringkat kuning telah dikeluarkan untuk limpahan sungai di Sungai Kamala di penempatan Titriya dan sebagai langkah awal, takungan air Kulekhani telah dibuka.

75 tanah runtuh dan 54 banjir telah berlaku di seluruh negara dalam tempoh tujuh hari yang lalu.

Islamic Relief (IR) Nepal kini sedang mengawasi keadaan di empat kawasan terjejas dengan bencana tersebut iaitu di Rasuwa, Nuwakot, Ramechapp dan Rautahat.

Ramadan Relief Bantu 15,700 Penerima Manfaat

Bangi, 24 Mei 2019 – Konflik empat tahun Yaman mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk di dunia apabila diancam kebuluran dan wabak penyakit membabitkan 24 juta orang iaitu dua pertiga daripada penduduk negara itu.

Ketika negara-negara maju didedahkan dengan pembaziran makanan yang melampau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan seramai 821 juta orang di seluruh dunia mempunyai kekurangan makanan.

Tidak dinafikan wujud organisasi-organisasi kemanusiaan yang prihatin terhadap isu ini dan turut membantu mengatasi masalah ini. Namun begitu, isu ini memerlukan penglibatan dari semua bukan sahaja untuk memberikan bantuan tetapi untuk memberi kesedaran dan mewujudkan dunia yang prihatin.

Islamic Relief Malaysia (IRM) juga turut tidak ketinggalan membantu mengatasi masalah ini menerusi projek Ramadan Care4Hunger pada Ramdan lalu yang menyasarkan agihan lebih daripada 3,000 pek makanan kepada 15,700 penerima manfaat di 33 buah negara.

Berjaya dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu, program agihan pek makanan Ramadan 2019 telah membantu mereka yang kesusahan antaranya di Syria, Palestin, Somalia, Indonesia dan banyak lagi.

Bagi anda yang berminat untuk menghulurkan sumbangan, anda boleh layari laman web IRM: https://islamic-relief.org.my/ms/ atau di laman sosial IRM untuk menderma.

Syria, Hadapi Kemelut Berpanjangan

Syria, 30 MEI 2019 – Krisis yang tidak berkesudahan di barat laut Syria terus memberi kesan kepada penduduk awam, infrastruktur dan bantuan kemanusiaan di Selatan Hama dan Utara Idlib sehingga menyebabkan jumlah pelarian meningkat kepada 307,434.

Setakat 29 Mei, kemelut ini menjejaskan lebih 200 orang awam, melibatkan sekurang-kurangnya 20 wanita dan 20 kanak-kanak terbunuh, manakala yang lain mengalami kecederaan.

Serangan udara dan tembakan telah memusnahkan 20 kemudahan kesihatan, 25 sekolah, tiga penempatan pelarian dalam negara (IDP), kem pelarian dan tanaman utama seperti gandum dan barli.

Sehingga kini, 49 kemudahan kesihatan dilaporkan telah menggantungkan perkhidmatan mereka secara total atau sebahagian. Malah, Pusat Program Imunisasi (EPI) juga telah menghentikan imunisasi rutin.

IR Syria mempunyai akses di barat utara Syria dan sudah berkhidmat kepada penduduk yang terjejas menerusi program yang sedang berjalan termasuk dari segi kesihatan dan makanan.

Bantuan kemanusiaan amat diperlukan termasuk perlindungan, barang-barang kebersihan di dalam dan di luar kem, tepung gandum untuk menghasilkan roti, pek makanan, perkhidmatan penjagaan kesihatan trauma, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta pendidikan kecemasan.

 

Korban Jiwa dan Raga Demi Sahsiah Anak Rohingya

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain ibu bapa, pendidik menggenggam amanah dan tanggungjawab yang besar dalam membentuk peribadi kanak-kanak sejak awal persekolahan. Secara dasarnya, umum tahu bahawa seorang guru berperanan untuk mencurahkan ilmu pengetahuan dalam mendidik keupayaan seseorang pelajar demi mengejar cita-cita mereka.

Sungguhpun demikian, konsep ‘mendidik’ itu sangat luas. Tugas seorang guru bukanlah sekadar berdiri di hadapan sambil menyampaikan ilmu, namun memerlukan keupayaan untuk membentuk jati diri kanak-kanak agar mereka terlatih sebagai insan yang berguna kepada masyarakat. Wan Mohd Amirol Ashraf Wan Mohd Badruddin, seorang guru di Refugee Intellectual Skill and Excellence (RISE) yang mempunyai pengalaman dalam mendidik anak-anak Rohingya.

RISE merupakan projek yang dibangunkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi memberi peluang kepada anak-anak pelarian di Malaysia untuk memperoleh ilmu pengetahuan secara formal. Selesa dengan gelaran Ustaz Wan, beliau menyatakan bahawa ia adalah pusat bimbingan alternatif yang sangat meluas dan tidak memberi fokus kepada pendidikan formal semata-mata.

Mendidik minda

“Pada awal kemasukan saya dalam pusat bimbingan ini, saya tidak menyangka sebenarnya pusat bimbingan ini mempunyai cita-cita yang besar untuk melahirkan kanak-kanak yang berkebolehan di samping membentuk jati diri mereka. Contohnya, kemahiran pembuatan kek dan pastri bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan,” kata Ustaz Wan mengenai sangkaan awalnya terhadap RISE.

Tambahnya, selepas beberapa bulan di pusat bimbingan tersebut, pemikiran Ustaz Wan lebih bercambah dan cakna akan isu kemanusiaan yang berlaku terhadap komuniti pelarian khususnya Rohingya. “Saya tidak meletakkan pemikiran untuk memilih kerja kerana percaya ia adalah rezeki. Namun setelah beberapa lama di RISE, saya mula belajar dan mengambil berat berkenaan isu kemanusiaan yang berlaku di negara asal mereka.

“Dari situ saya boleh simpulkan bahawa minda saya bercambah kerana selain mencari nafkah sendiri, pekerjaan yang saya lakukan sebenarnya adalah khidmat bakti dan tanggungjawab sosial yang diberikan kepada golongan khas berkeperluan yakni anak-anak pelarian Rohingya. Saya juga boleh kata pada awal saya berada di sini, apa yang saya mahukan adalah pekerjaan, namun ia berubah setelah saya berkhidmat di sini sebagai pendidik,” jelas Ustaz Wan tentang pengalaman awalnya di RISE.

Selain itu, Ustaz Wan turut berhadapan dengan beberapa situasi yang agak kekok apabila berinteraksi dengan pelajar-pelajarnya yang majoriti Rohingya semasa awal kerjayanya di RISE. “Awalnya, saya agak terkejut dengan mereka kerana loghat yang dibawa begitu berbeza dengan Bahasa Melayu yang digunapakai setiap hari. Ada antara mereka berbahasa mengikut telor bangsa Cina di negara kita dan bila saya cuba menyelami kehidupan, barulah saya tahu sebelum ini mereka pernah bekerja dengan majikan berbangsa Cina.” Jelas Ustaz Wan.

Tanggungjawab mendidik akhlak

Sebagai pendidik yang bertanggungjawab untuk membentuk peribadi mereka, Ustaz Wan bersama barisan guru yang lain berpendapat bahawa pelajar-pelajar ini memerlukan pembelajaran Bahasa Melayu yang mendalam agar mereka tahu sebutan yang sebenar ketika bertutur dengan orang awam. Bahkan, anak-anak ini merupakan generasi ketiga yang mendapat pendidikan formal di RISE.

“Mereka sebenarnya merupakan generasi ketiga. Maksudnya, ibu bapa dan datuk nenek mereka sudah mendahului kehidupan yang lama tanpa mendapat pendidikan formal. Masyarakat juga perlu faham latar belakang keluarga mereka tidak pernah mendapat pendidikan sejak awal kehidupan. Jadi pelajar-pelajar ini sebenarnya adalah generasi yang terawal memperoleh kemudahan ini. Apa yang saya boleh simpulkan, komuniti mereka kurang terdidik dan kami sebagai guru meletakkan minda bahawa mereka perlu dibentuk dengan sebaik mungkin,” kata Ustaz Wan apabila berbicara mengenai salasilah komuniti Rohingya.

Disoal mengenai kenangan manis yang pernah dilalui bersama pelajar-pelajar RISE, Ustaz Wan mengimbas kembali lawatan yang pernah dilakukan di Pusat Sains Negara bersama sukarelawan Islamic Relief (IR) Canada menerusi program Inspire tahun lalu.

“Masih segar dalam ingatan saya semasa lawatan ke Pusat Sains Negara bersama pelajar-pelajar ini. Ketika itu salah seorang daripada sukarelawan IR Canada menyampaikan kepada kami bahawa ada warganegara Malaysia memuji tingkah laku anak-anak Rohingya yang begitu berdisiplin dan patuh dengan arahan.

“Sebagai seorang guru, situasi seperti itu merupakan salah satu kejayaan yang tercipta setelah berhempas pulas mendidik dan membentuk peribadi mereka sehingga hari ini. Ia menjadi pegangan kami sebagai pendidik bahawa keberjayaan anak-anak ini diukur melalui etika, tingkah laku, dan akhlak seandainya mereka tidak mampu membawa dari sudut ilmu pengetahuan dan sebagai pendidik, saya amat terharu dengan perubahan mereka.” Kata Ustaz Wan terharu seraya mengingat kembali peristiwa yang menggembirakan hatinya.

Kuasai kemahiran bahasa asing

Dalam pada itu, matlamat seseorang pendidik tidak pernah lari jauh dari landasan iaitu melahirkan pelajar yang mampu menguasai kesemua subjek yang diajar di dalam kelas. Namun bagi golongan khas ini, apa yang diimpikan adalah kemahiran dan pemantapan berbahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

“Kami menekankan Bahasa Inggeris dan paling tidak mereka sedikit sebanyak memahami bahasa itu sendiri dari sudut pembacaan, pendengaran, penulisan, dan akhirnya mereka mampu bertutur dalam bahasa global tersebut.

“Menerusi penguasaan Bahasa Inggeris jugalah akan membuka peluang mereka untuk mendapat pekerjaan di negara ketiga yang menerima golongan pelarian. Saya juga yakin jika mereka mempunyai sijil pembelajaran asas, ia akan menjadi pemudah cara untuk mereka memohon pekerjaan dengan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Inggeris,” jelas Ustaz Wan berkenaan dengan kemahiran yang perlu diterapkan kepada anak-anak Rohingya.

Berbicara mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang perkhidmatannya di RISE, Ustaz Wan berpendapat bahawa cabaran komunikasi menjadi faktor kesukarannya untuk mengajar, namun ia bukanlah penghalang. “Saya boleh anggarkan cabaran terbesar adalah komunikasi kerana pada awal saya berkhidmat, majoriti pelajar tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, dan tidak memahami Bahasa Melayu dengan tepat. Dari situ wujudnya masalah berkomunikasi.

“Dari sudut pemahaman pula, setiap subjek mempunyai terminologi atau perkataan khas yang sukar untuk difahami jika tidak diberi penjelasan. Contohnya perkataan saintifik seperti oksigen atau karbon dioksida. Penerangan perlu diulang berkali-kali agar mereka akan sentiasa ingat makna yang dipelajari. Mereka mungkin faham dalam bahasa sendiri, namun tunjuk ajar juga perlu ditekankan dalam pembelajaran Bahasa Melayu atau Inggeris. Konsepnya berangkai iaitu penerangan, hafalan, ingat sehingga wujudnya kefahaman,” jelasnya mengenai cabaran yang dilalui.

Tambahan pula, masa depan anak-anak Rohingya ini sebenarnya lebih cerah jika mereka berhijrah ke negara ketiga demi meneruskan kelangsungan hidup. “Pada saya, peluang akan lebih baik seandainya mereka berpindah ke negara ketiga yang mesra Muslim dan lebih baik jika mereka tinggal bersama komuniti mereka sendiri. Di sini, mereka akan menjalani pelbagai kemahiran sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah.”

Ustaz Wan berharap agar anak-anak ini akan menjadi insan yang berguna kepada Masyarakat di samping berbakti semula kepada komuniti. “Kami di sini akan sentiasa berusaha dengan sebaik mungkin dan besar harapan saya agar mereka menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat dan komuniti sendiri pada masa akan datang.”

Syria Hadapi Saat Getir

Syria, 14 May 2019 – Konflik kemanusiaan kian meningkat di Barat Laut Syria sehingga menjejaskan penduduk tempatan, infrastruktur, and perkhidmatan awam di Wilayah Selatan Hama dan Selatan Idlib.

Antara 30 April dan 9 Mei 2019, serangan udara dan pengeboman mengakibatkan sekurang-kurangnya 133 kematian dan ratusan lagi tercedera. Tiga petugas kesihatan merupakan antara yang terkorban dalam serangan tersebut.

Lebih 220 serangan udara dan ratusan pelancaran roket dilepaskan di kedua-dua Utara Hama dan Selatan Idlib.

Susulan kejadian itu, 15 kemudahan kesihatan, 16 sekolah, dan tiga penempatan pelarian dalam negara (IDP) dilaporkan musnah akibat serangan itu.

Kluster Koordinasi Kem dan Pengurusan Kem (CCCM) mengenalpasti sebanyak 179,648 individu berhijrah ke komuniti lain di Wilayah Aleppo dan Idlib, meningkatkan jumlah IDP dari Utara Hama and Selatan Idlib kepada 318,222 individu setakat 9 Mei 2019.

Islamic Relief (IR) Syria kini bertindak untuk membantu 3,000 isi buah rumah dalam tempoh enam bulan.

Bantuan kemanusiaan yang diperlukan termasuklah bantuan perlindungan di dalam dan luar kem, tepung gandung bagi pembuatan roti, perkhidmatan kesihatan bagi trauma, barangan WASH seperti kit kebersihan, tong kecil, bantuan pembersihan air.

Mali Utara Hadapi Kes Pelarian Dalam Negara

Mali, 1 Apr 2019 – Sekurang-kurangnya 24,414 pelarian dalam negara (IDP) kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera. Antara golongan paling terkesan adalah kanak-kanak berumur sekitar enam hingga 59 bulan dan 450 kanak-kanak kini kekurangan gizi secara sederhana atau teruk.

Islamic Relief (IR) merupakan antara agensi yang berada di kawasan Bambara-Maoude dan Haribomo di mana lokasi IDP yang melarikan diri di wilayah Mopti bertungkus-lumus untuk meneruskan kehidupan.

Dua kawasan ini terus menerus menerima IDP dari wilayah Mopti yang cuba meloloskan diri daripada kesan negatif susulan konflik yang berlaku di petempatan mereka.

Ia juga dipercayai berlaku akibat aktiviti ketenteraan di sepanjang sempadan Burkina Faso, ditambah pula dengan serangan udara di kawasan itu sehingga menyebabkan penduduk terpaksa keluar mencari tempat yang lebih selamat.

Keperluan utama kini adalah makanan, kesihatan & nutrisi, pendidikan, perlindungan, dan barangan bukan makanan (NFI) serta bantuan air dan sanitasi.

Melihat situasi itu, IR Mali bakal mengemukakan respon kilat yang merangkumi bantuan kecemasan dalam bentuk makanan, air dan sanitasi, dan bantuan kehidupan mampan.

Tumpuan segera kini menekankan perolehan dana kecemasan untuk memulakan kerja-kerja kemanusiaan secepat mungkin.