Gunung berapi taal di selatan Manila meletus

MANILA, 13 Jan. 2020 – Salah satu gunung berapi paling aktif yang terletak di kepulauan Luzon, kira-kira 60 kilometer di selatan Manila telah mengeluarkan debu setinggi 14 kilometer ke udara Ahad lalu.

Gunung berapi Taal dianggap sebagai gunung berapi paling merbahaya di dunia berikutan jumlah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu sangat ramai selain ia turut menjadi pusat tumpuan popular orang awam juga pelancong.

Pihak berkuasa Filipina menggesa hampir setengah juta penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran untuk berpindah kerana dibimbangi letusan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Setakat hari ini, lebih 16,400 penduduk telah dibawa ke pusat pemindahan sementara dan dijangkakan angka ini akan terus meningkat.

Ketua Institusi Kajian Gunung Berapi, telah menaikkan tahap amaran ke peringkat empat yang memberi petunjuk bahawa letusan merbahaya boleh berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Bagi tahap amaran paling tinggi iaitu peringkat ke lima, ia membawa maksud letusan sedang berlaku.

Islamic Relief kini masih lagi memantau keadaan semasa di lapangan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.