Banjir di Pakistan, 90 Nyawa Terkorban

PAKISTAN, 27 Ogos 2020 – Banjir di Pakistan susulan hujan lebat berterusan sejak Julai lalu telah meragut 90 nyawa dan memusnahkan lebih 1,080 buah rumah.

Selain itu, lima jambatan dan 10 jalan raya di seluruh negara juga mengalami kerosakan.

Banjir yang melanda turut mengakibatkan tanah runtuh di kebanyakan kawasan termasuk di Javed Hillview, Sindh yang merosakkan 72 pangsapuri dan 120 buah kedai serta meragut tiga nyawa di kawasan arang batu di daerah Chakwai, Punjab.

Memandangkan Sindh dan Karachi adalah kawasan yang paling teruk terjejas dalam insiden ini, seramai 1,545 penduduknya telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Usaha memindahkan penduduk di Karachi lebih banyak dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan kerana jalan dan kediaman di kawasan itu telah dibanjiri air hujan dan kumbahan.

Bekalan elektrik di beberapa kawasan di Karachi juga turut dihentikan sementara atas faktor keselamatan.

Islamic Relief Pakistan kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi merangka pelan bantuan kecemasan untuk penduduk terjejas.

Sebahagian kakitangan Islamic Relief juga akan menjalankan penilaian keperluan semasa di Sindh untuk mengenalpasti keperluan mendesak penduduk di kawasan itu.