Yayasan Kebajikan Negara dan Islamic Relief Malaysia Terus Prihatin Bantu Anak Asnaf

BANGI, 3 Oktober – Seramai lapan orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti menerima sebuah komputer riba setiap seorang manakala tujuh lagi pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM menerima hamper dan alat tulis tajaan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerusi projek bantuan Holistic Education Youth (HEY) kelolaan Islamic Relief Malaysia.

Selain itu, sebanyak 40 pek makanan bersama kit kebersihan turut diagihkan kepada para pelajar yang terlibat dalam projek ini sebagai tanda penghargaan atas kesungguhan serta usaha mereka selain bertujuan meringankan beban keluarga yang terkesan wabak pandemik Covid-19.

Semua penerima manfaat merupakan anak-anak asnaf dan fakir miskin yang telah mengikuti program HEY sejak April 2019.

“Program HEY yang kami jalankan ini telah menawarkan kelas tambahan percuma kepada anak-anak asnaf dan fakir miskin di Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi. Ia bertujuan untuk membantu mereka meningkatkan tahap penguasaan ilmu pembelajaran selain memberi galakan untuk mereka mengejar kejayaan dan mengubah nasib keluarga.

“Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima daripada para pelajar, ibu bapa juga guru-guru yang terlibat mengajar anak-anak ini semuanya memberi respon positif. Kebanyakan ibu bapa mengakui program ini berjaya memberi impak baik kepada perkembangan pembelajaran juga jati diri anak-anak mereka kerana selain program kelas tambahan, para pelajar juga diberi peluang mengikuti kem motivasi, eksplorasi sains dan kem ibadah,” kata Noor Halimahton Sa’adiah Talib, Programme Specialist, Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Dengan berakhirnya majlis penyerahan hadiah dan sumbangan yang diberikan, maka berakhirlah secara rasminya projek HEY Islamic Relief Malaysia ini yang telah berlangsung selama hampir 10 bulan.

Islamic Relief Malaysia sentiasa berharap agar lebih banyak lagi pihak tampil prihatin untuk sama-sama membantu dalam menjalinkan kolaborasi bagi mengupayakan komuniti setempat di masa akan datang.