Makanan menjadi keperluan utama di Beirut

LUBNAN, 6 Oktober 2020 – Analisis daripada Penilaian Keperluan Pelbagai Sektor menunjukkan bahawa makanan merupakan keperluan kedua utama selain daripada wang tunai dan kerja pembaikan kediaman.

Kejadian letupan di pelabuhan Beirut pada bulan Ogos yang lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 180 orang terkorban manakala 6,500 lagi tercedera, dan menyebabkan tekanan yang berlarutan ekoran krisis ekonomi yang kian meruncing.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 43,480 kes positif Covid-19 telah direkodkan sehingga 3 Oktober yang mencatatkan lebih daripada 389 kematian dan sekurang-kurangnya 1,102 staf kesihatan diuji positif setakat ini.

Pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di 111 bandar dan kampung seluruh Lebanon berikutan lonjakan kes baharu Covid-19.

Sebanyak 1,495 bangunan memerlukan bantuan air, sanitasi, dan kebersihan (WASH) manakala 533 lagi mempunyai masalah gangguan air di jaringan bandar utama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,500 bangunan yang telah dinilai sejak awal tindak balas.

Kerosakan teruk akibat letupan di Pelabuhan Beirut dan penurunan nilai matawang telah menyebabkan kenaikan harga makanan secara mendadak yang membebankan mereka yang terjejas memandangkan hampir 85 peratus makanan di Lebanon diperolehi daripada kegiatan import.

Sehingga kini, seramai 23,380 penerima manfaat telah menerima sumbangan pek makanan manakala 2,748 keluarga menerima sumbangan kit kebersihan termasuk pakaian pelindung diri (PPE) dan 10,300 orang mendapat manfaat daripada kerja-kerja pembersihan dan agihan makanan ringan di hospital.

Islamic Relief kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja serta bekerjasama rapat dengan organisasi lain disamping meneruskan agihan bungkusan makanan dan kit kebersihan termasuk PPE kepada keluarga yang terjejas sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.