Ancaman Covid-19 di Afrika Timur Semakin Meruncing

AFRIKA TIMUR, 2 Oktober 2020 – Wabak pandemik Covid-19 di Kenya, Ethiopia dan Somalia semakin membimbangkan ekoran kadar jangkitan positif dan angka kematian kian tinggi.

Di Kenya, hampir 40,000 orang disahkan positif manakala jumlah kematian pula sudah mencecah 700 orang.

Di Ethiopia pula, 74,584 kes positif dilaporkan setakat 29 September dengan angka kematian sebanyak 1,191.

Meskipun laporan harian kes menunjukkan penurunan, namun penularan wabak masih meningkat dan dalam keadaaan membimbangkan kerana negara itu berdepan masalah kekurangan alat pemeriksaan untuk mengesan individu yang dijangkiti.

Antara lokasi yang mencatatkan kes positif tertinggi ialah Harari, Oromia dan Dire Dawa.

Selain isu Covid-19, Ethiopia juga berdepan masalah banjir di enam wilayah ekoran hujan lebat yang turun di musim panas bermula Jun hingga September lalu.

Lebih 1 juta penduduk terjejas manakala 315,000 lagi menjadi pelarian dalam negara.

Di Somalia, seramai 3,588 orang disahkan positif setakat 28 September manakala jumlah kematian seramai 99 orang.

Jumlah individu positif jangkitan dilaporkan semakin meningkat dengan catatan kebanyakan individu yang dijangkiti adalah lelaki berumur 33 tahun.

Antara lokasi penularan wabak paling tinggi di Somalia ialah Madina, Garowe, Wardegle dan Waberi.

Kempen kesedaran semakin giat dijalankan di kawasan kem pelarian di Baidoa yang mempunyai risiko tinggi penularan wabak.

Islamic Relief telah menjalankan beberapa inisiatif untuk mengekang penularan wabak daripada terus berleluasa antaranya penganjuran kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan, sanitasi dan kebersihan kepada penduduk Ethiopia dan Somalia, pembinaan 10 kemudahan mencuci tangan di Afgooye, Somalia, edaran alat rawatan air, penghantaran air bersih menggunakan trak, dan kursus latihan kepada petugas kesihatan tentang Covid-19 serta tatacara penjagaan kebersihan.