Islamic Relief Giat Salur Bantuan Kepada Pelarian Ethiopia di Sudan

SUDAN, 18 Januari 2020 – Angka pelarian Ethiopia yang berjaya melepasi sempadan Sudan dan mendaftar di bawah Suruhanjaya Pelarian Sudan (COR) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat 6 Januari meningkat seramai 56,548 orang.

Kakitangan Islamic Relief di lapangan kini giat menyalurkan bantuan untuk para pelarian Ethiopia.
Sebanyak 1,280 kit kebersihan telah diedarkan di Kem Um Raquba menerusi projek Rapid Response Mechanism (RRM) dan 240 bantuan barangan bukan makanan (NFI) dihantar ke wilayah Gadaref, Sudan.

Pengurus projek dan koordinator bagi sektor bantuan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) juga sudah mengadakan perbincangan bersama UNHCR dan COR bagi memutuskan tapak yang bersesuaian untuk menjadi lokasi pembinaan tandas dan tangki air di kem Um Raquba dan Tunaydbah.

Kerja-kerja pembinaan projek telah bermula sejak minggu lalu.

Sebanyak 4,050 tablet penyulingan air turut diedarkan oleh ahli jawatankuasa kempen pembersihan selepas menjalankan sesi taklimat mengenai fungsi dan kaedah penggunaan bahan tersebut.