Angka Pelarian Ethiopia di Sudan Semakin Meningkat

SUDAN, 6 Januari 2021 – Menurut Suruhanjaya Pelarian Sudan (COR) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), setakat 30 Disember seramai 55,128 orang pelarian Ethiopia telah melepasi kawasan Sudan dan mendaftar di bawah agensi tersebut.

Islamic Relief sudah mengedarkan 1,350 kit kebersihan kepada para pelarian di kem Um Raquba, Sudan selain mengenalpasti beberapa lokasi lain di kawasan ini untuk perlaksanaan bantuan seterusnya.

Sementara di kawasan kem Tunaydbhah, koordinator bagi sektor bantuan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) bersama tenaga penggerak projek pembinaan tandas pula sedang meninjau kawasan itu sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan.

Setakat ini, terdapat 200 pelarian daripada pelbagai kawasan telah dipindahkan ke kem Tunaydbhah.

Selain projek WASH, Islamic Relief turut mengemukakan perancangan projek pendidikan kepada UNHCR dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi menyantuni pelarian kanak-kanak Ethiopia yang menjadi golongan kedua paling ramai berdasarkan pecahan demografi kumpulan pelarian itu.