Sesi Soal Jawab Ringkas dengan Naser Haghamed, CEO Islamic Relief Worldwide

Pemimpin baru IRW ini berbincang perihal pengalamannya sebagai pelarian kanak-kanak, cabaran Islamofobia dan wawasan masa hadapannya.

 

Naser Haghamed telah menyertai Islamic Relief sebagai seorang Pengurus IT pada tahun 1993 dan beliau telah membantu dalam menyediakan IRUSA, untuk memacu pembangunan TIC dan telah mengetuai Bahagian Program Antarabangsa.

Beliau telah menetap di enam buah negara, dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Arab dan Tigrinya.

Kini, beliau menetap bersama isterinya, Samia dan lima orang cahaya matanya di Yardley, Birmingham.

Dalam temu bual ringkas ini, beliau menceritakan pengalamannya sebagai seorang pelarian kanak-kanak, cabaran Islamofobia dan wawasan masa hadapannya untuk Islamic Relief Worldwide.

 

Siapakah yang merupakan inspirasi terbesar untuk anda?

“Inspirasi saya adalah Dr Hany El-Banna [pengasas Islamic Relief] yang telah mengutamakan organisasi ini berbanding perkara-perkara lain dalam kehidupannya. Islamic Relief adalah prioritinya. Beliau amat berdedikasi dan memberikan komitmen penuh, dan sentiasa memberikan tumpuan kepada penerima manfaat, dan keinginannya untuk membantu seramai mana yang beliau mampu.”

RS7595_Naser Haghamed having medical examination in ingushetia 2000

 

Tugas apakah dalam pekerjaan ini  yang paling mengesankan anda?

“Pada tahun 2000, saya telah melawat kawasan Ingushetia [berhampiran sempadan Chechnya] untuk melihat kem pelarian tempat kami telah mengagihkan makanan dan mendirikan klinik serta perkhidmatan ambulans kami sendiri. Saya terkenang kesejukan yang menggigit tulang saya pada waktu itu. Reka bentuk kem dan tandas yang ada…ia adalah pemandangan kehidupan pelarian sebenar, dan saya melihat betapa gembiranya penduduk tempatan di situ apabila kami datang memberikan bantuan.

 

Anda sendiri pernah merasai pengalaman menjadi seorang pelarian, bukan?

“Ya, sewaktu saya berusia 13 tahun. Peperangan di Eritrea mula mengganas dan gerakan pembebasan sudah mula mengawal bandar-bandar besar. Bapa saya, pada waktu itu yang telah bekerjasama dengan puak pemberontak, mengambil keputusan untuk meninggalkan negara. Beliau terpaksa melarikan diri ke Ethiopia menggunakan dokumen yang diberikan seorang sahabatnya. Dari sana, beliau berpura-pura ingin menunaikan haji, dan telah melarikan diri ke Arab Saudi. Setelah itu, ibu saya telah diganggu oleh tentera dan polis tempatan yang ingin mengetahui keberadaan bapa saya, jadi kami sedar yang kami tidak lagi boleh tinggal di situ. Saya ingat lagi yang kami telah berjalan kaki ke sempadan Asmara dan menaiki kenderaan yang ditawarkan puak pemberontak untuk tiba di Sudan. Apabila kami dihentikan di sempadan, kami katakan yang kami ingin pergi ke majlis perkahwinan saudara. Ia amat menakutkan dan sudah tentu mengesankan saya. Saya ingat lagi yang saya pernah menjadi kapten pasukan bola dan saya terpaksa memulangkan kesemua peralatan sukan kembali tetapi saya tidak boleh memberitahu mereka yang saya akan melarikan diri. Waktu itu amat sukar, meninggalkan kawan-kawan saya dan tidak mampu berterus terang akan keadaan saya sendiri. Saya tidak tahu ke mana arah yang bakal kami tuju atau bagaimana kami akan melarikan diri. Sangat emosional dan ia sesuatu yang tak akan saya lupakan sama sekali.

 

“Cabaran terbesar yang kini dihadapi oleh Islamic Relief adalah Islamophobia dan peningkatan radikalisme”

Naser

 

Apakah perkara yang membezakan Islamic Relief dengan NGO Islam yang lain?

“Kami adalah organisasi Muslim terbesar sejenis ini, yang menggabungkan pemikiran barat dan kontemporari dalam mendekati dan menyalurkan bantuan dalam kerangka Islam itu sendiri. Apabila kita menyebut tentang pertubuhan kebajikan Islam, Islamic Relief mengambil pendekatan inventif dan menerajui bidang penyaluran kebajikan ini. Projek pengetinan daging Qurbani adalah contoh yang baik. Secara tradisionalnya, Qurban adalah penyembelihan haiwan bagi golongan Muslim, yang diagihkan kepada golongan fakir miskin di dalam negara yang sama. Islamic Relief telah muncul dengan idea di mana sumbangan dikumpulkan supaya korban ini boleh dilaksanakan di sebuah negara lain, dan kemudiannya daging ini ditinkan di mana produk segar sukar didapati. Pertubuhan lain kini meniru kami dengan melakukan perkara yang sama.”

 

Apakah cabaran terbesar yang dihadapi Islamic Relief?

“Cabaran terbesar yang kini dihadapi oleh Islamic Relief sudah tentunya, Islamofobia. Konflik, undang-undang yang ketat dan ketakutan, semuanya membuatkan organisasi seperti kamu semakin sukar dalam mencapai misi kami. Sebagai kesannya, kami kini mengalami isu perbankan kerana bank bersikap lebih berhati-hati dalam urusan menyalurkan dana ke tempat-tempat berisiko tinggi dan zon peperangan. Jadi semakin sukar bagi kami menyalurkan bantuan. Perkara ini turut terjadi kepada pertubuhan kebajikan lain sepeti kami. Satu lagi isu adalah kesukaran kami untuk menyampaikan bantuan di kawasan-kawasan yang telah terkepung dan orang awam yang tidak dilindungi. Ia benar-benar menduga keupayaan kami dan situasi semakin teruk dari hari ke hari.

 

“Lapan puluh peratus golongan yang mnederita ini adalah disebabkan konflik dan dunia sekadar memerhati dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya.”

 

Islamic Relief telah dilancarkan pada tahun 1984 lanjutan kejadian kebuluran di Sudan. Sudah tiga dekad berlalu, dan kita baru sahaja melancarkan rayuan derma untuk tujuan yang sama. Adakah ini bermaksud sistem yang kita ada sekarang tidak berkesan?

“Ya, saya fikir itu ada benarnya. Saya fikir terlalu banyak pertubuhan kebajikan yang sekadar meniru perbuatan pertubuhan lain dan kita tidak begitu inovatif dalam usaha membasmi kemiskinan. Tetapi, kita juga tidak dapat menolak faktor-faktor luaran seperti perubahan iklimle, korupsi dan peperangan yang berada di luar kawalan kita. Contohnya, peristiwa di Syria, Iraq dan Yaman, di mana orang ramai tidaklah begitu memerlukan bantuan 10 tahun yang lalu, tetapi mungkin kini mereka agak 3–40 tahun terkebelakang dan kami sedang berusaha untuk tiga dekad seterusnya untuk membina semula negara-negara ini. Lapan puluh peratus golongan yang mnederita ini adalah disebabkan konflik dan dunia sekadar memerhati dan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya. Kuasa-kuasa besar di dunia seharusnya menggembleng tenaga bersama PBB dengan komitmen yang lebih hebat dalam mendesar rejim-rejim, kuasa dan kumpulan pemimpin dunia untuk lebih berakauntabiliti dan mematuhi undang-undang antarabangsa.”