Lawatan IRM ke Pelosok Sabah

Sebut sahaja Sabah, pasti yang terlintas dalam fikiran kita adalah kepelbagaian etnik di negeri itu seperti suku kaum bajau, brunei, dusun dan sebagainya. Sungguhpun keunikan etnik ini dilihat sebagai satu simbolik kebanggaan bagi Malaysia, negeri di bawah bayu ini sebenarnya mempunyai satu kisah yang tersembunyi jauh di pelosok negeri itu.

 

Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) diiringi oleh Tuan Kapten Effendi berkesempatan untuk menelusuri serta menjiwai beberapa buah kawasan pedalaman di Sabah iaitu Kampung Simunul, Kampung Selamat, Kampung Bangau-Bangau, dan Kampung Halo yang terletak berdekatan dengan pekan Semporna. Objektif utama IRM ke kawasan perkampungan air ini adalah untuk membuat penilaian dan tinjauan terperinci bagi mengatasi permasalahan dan isu yang timbul di kawasan berkenaan.

 

Lokasi pertama yang dituju IRM ialah Kampung Simunul yang terletak berhampiran pelabuhan jeti Semporna. Kampung Simunul merupakan sebuah kampung atas air yang mempunyai kepadatan penduduk sekitar tiga hingga empat ribu dan majoriti penduduk di kampung itu bekerja sebagai nelayan, peniaga, tukang kayu, serta pekerja buruh. Selain itu, Kampung Simunul telah wujud sejak lebih 100 tahun yang lalu dan penduduk asal di situ sebenarnya merupakan pelarian yang terdiri daripada suku kaum Bajau dan Suluk sebelum diiktiraf kerakyatan Malaysia.

 

Kira-kira lima tahun lalu, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan peristiwa berdarah yang berlaku di Kampung Simunul sehingga mengorbankan seramai 10 orang anggota keselamatan telah terkorban. Atas insiden itu, Jabatan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESCOM) ditubuhkan. IRM turut berkesempatan untuk menjalankan aktiviti Bersama penduduk di sebuah balai raya yang dibina dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

 

IRM melihat aspek kebersihan dan kesihatan sebagai satu aset yang penting dalam meneruskan rutin harian kehidupan. Atas sebab itu, IRM mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak di kampung berkenaan dan aktiviti yang dijalankan adalah teknik memberus gigi dengan betul kerana mereka kurang pendedahan terhadap kesihatan dan kebersihan tubuh badan. Dalam pada itu, IRM turut menekankan aspek pendidikan seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan ilmu agama bagi menerapkan nilai-nilai Islam sepanjang program berlangsung.

 

Seterusnya, IRM membuat lawatan ke Kampung Selamat yang juga berdekatan dengan Kampung Simunul. Sama seperti Kampung Simunul, penduduk di kawasan berkenaan mempunyai kapasiti penduduk hampir tiga ribu orang. Namun, kebanyakan penduduk di kampung itu merupakan pelarian dan tidak mendapat kerakyatan Malaysia.

 

IRM berpeluang untuk berkunjung ke Pusat Pembelajaran Alternatif (PPA) Kampung Selamat yang dibina atas inisiatif MKN. Di Sabah, terdapat 12 buah PPA dan walaupun tiada dana khas yang diperuntukkan oleh mana-mana organisasi kemanusiaan, ia dilihat sebagai batu loncatan oleh pihak MKN untuk memberi pendidikan agama kepada golongan muda di kampung itu. Rata-rata penduduk di Kampung Selamat sudah biasa dengan kehidupan atas air dan oleh sebab itu, majoriti penduduk kampung berkenaan bergantung sepenuhnya kepada ekonomi perikanan.

 

Destinasi seterusnya selepas dua kampung tadi ialah Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Halo. Kedua-dua kampung ini mempunyai kaitan yang rapat dan sebelum menuju ke Kampung Halo, pelawat dikehendaki untuk melintasi Kampung Bangau-Bangau terlebih dahulu. Berbeza dengan Kampung Halo, Kampung Bangau-Bangau merupakan petempatan dan komuniti yang mendapat pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia.

 

Penduduk di Kampung Bangau-Bangau dibekalkan dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan elektrik yang sempurna, laluan jalan yang baik serta sekolah kebangsaan yang turut dibangunkan dalam kawasan berkenaan. Hal ini berbeza dengan komuniti di Kampung Halo kerana mereka tidak mempunyai sistem pendawaian elektrik yang sempurna, tiada kerakyatan, dan terdedah kepada bahaya seperti jambatan goyang dan tiada akses yang selamat untuk memasuki kediaman masing-masing.

 

Melalui tinjauan ini, pihak IRM mendapati penduduk di setiap kampung mempunyai masalah yang sama seperti ketiadaan bekalan elektrik dan pendawaian yang sempurna. Sumber bekalan elektrik pula disambungkan melalui kayu-kayu namun ia terdedah kepada litar pintas yang akan menyebabkan kebakaran. Selain itu, komuniti-komuniti ini juga mengalami masalah kebersihan kerana rata-rata penduduk di kampung berkenaan tidak didedahkan kepada kepentingan menjaga kebersihan. Lebih malang, majoriti penduduk ini tinggal di atas air namun kekurangan bekalan air bersih untuk menjalankan rutin harian seperti mencuci, masak dan mandi.