Selebriti Tempatan Sokong Misi Kemanusiaan IRM

Damansara, 4 APR 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Ukhuwah 4 Ummah (U4U) bersama-sama selebriti tempatan bakal menggembleng tenaga dalam misi kemanusiaan iaitu Projek Squad Celebrity Global Volunteers.

 

Misi yang bakal bermula pada 18 April itu juga menyasarkan kutipan dana sebanyak RM2.4 juta bagi menjayakan projek-projek pembangunan di empat buah negara iaitu Malawi, Bosnia & Herzegovina, India, dan Filipina.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin menjelaskan bahawa IRM mengatur pelbagai pendekatan berbeza setiap tahun bagi mendekati masyarakat dan menyampaikan kempen kesedaran mengenai isu-isu kemanusiaan yang berlaku di peringkat global.

 

“Sejajar dengan visi IRM yang mahu mewujudkan dunia prihatin, kami akan bekerjasama dengan pihak U4U serta 12 barisan selebriti bagi menyelami kehidupan dan penderitaan yang ditempuhi oleh penerima manfaat di empat buah negara sekaligus dapat menyebarkan mesej kemanusiaan kepada masyarakat,” tambahnya ketika ditemui media.

 

Empat projek yang bakal disertai oleh IRM, U4U, dan selebriti adalah ‘School 4 Godda’ di India, ‘Tabang 4 Marawi’ di Filipina, ‘Water 4 Malawi’ di Malawi, dan ‘Misija 4 Bosnia’ di Bosnia & Herzegovina.

 

Antara selebriti yang terlibat dalam projek ini ialah Irma Hasmie, Redza Shah, Lufya Omar, Diana Amir, Farah Lee, Ashraf Muslim, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman, Lah Ahmad, Nadia Sabrina, dan Dhirar Zainal.

Salah seorang ikon projek berkenaan, Diana Amir berkata, “saya harap masyarakat di luar akan memberi sokongan menyeluruh terhadap projek ini dalam menarik lebih ramai orang untuk membantu.”

 

Dalam pada itu, Ashraf Muslim yang juga merupakan selebriti dalam projek ini juga percaya bahawa melalui bantuan kemanusiaan ini, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan taraf pembangunan di negara yang terpilih.

 

Projek Squad Celebrity Global Volunteers ini bakal memberi impak kepada 9,880 penerima manfaat di keempat-empat buah negara.