79 Maut di Filipina

Filipina, 8 Okt 2018 – 79 dilaporkan maut di Itogon, Benguet berpunca daripada tanah runtuh dan sekurang-kurangnya dua masih lagi tidak ditemui akibat Taufan Mangkhut yang melanda kawasan itu 12 September lalu.

 

Menurut Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Nasional, hampir 3 juta penduduk bersamaan dengan 719,565 keluarga turut terjejas dengan taufan tersebut yang dianggap terkuat pada tahun ini.

 

Dalam pada itu, lebih 200,000 buah rumah musnah dan 14,611 daripadanya mengalami kemusnahan secara total di kawasan Luzon Utara termasuklah Cagayan dan Daerah Pentadbiran Cordilerra.

 

Sekurang-kurangnya RM2 billion hasil tanaman turut musnah yang menjejaskan seramai 172,000 petani di Daerah Pentadbiran Cordilerra. Situasi tersebut sekaligus merekodkan tahap kemusnahan paling teruk selepas Taufan Super Yolanda.

 

Kini, Islamic Relief (IR) Filipina telah selesai mengagihkan bantuan kemanusiaan fasa pertama.

 

405 keluarga disantuni oleh IR Filipina menerusi bantuan kewangan oleh IR Canada; 155 keluarga menerima bantuan tempat perlindungan dan 250 keluarga menerima bantuan pertanian di Baggao, Lembah Cagayan.

Tingkat Taraf Sosial Orang Asli

Dengkil, 3 Okt 2018 – 23 peserta daripada Kelas Dewasa Asli Peribumi (KEDAP) mendapat bimbingan proses penanaman cendawan dan penyediaan cendawan tiram kelambu di bawah kelolaan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program yang mendapat kerjasama pihak Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bertujuan untuk meningkatkan pendapatan komuniti Orang Asli.

 

Ia sekaligus memberi pendedahan intensif kepada tatacara dalam menyediakan media cendawan secara teori dan praktikal.

 

Secara amnya, penanaman cendawan tersebut membawa kepada satu kaedah penanaman secara agrotek iaitu agro-tanaman dan teknologi sekaligus menghasilkan pertumbuhan cendawan.

 

Menurut Pegawai Pertanian UPM, Maininah Tahir, proses pengeluaran tanaman cendawan melibatkan beberapa aspek termasuklah penyediaan media iaitu bongkah cendawan, pengkusan, inokulasi, pemeraman, dan penghasilan.

 

Untuk maklumat, program ini adalah tajaan daripada MRA International.

IRM Bakal Lahirkan Pelatih Unggul

Bangi, 1 Okt 2018 – Enam orang kakitangan Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama dua orang kakitangan Islamic Relief (IR) Mauritius bakal dinobatkan sebagai pelatih menerusi program ASEAN Region, Train the Trainer.

 

Program yang disediakan oleh Institut of Leadership and Management (ILM) bertujuan untuk melahirkan individu dari sesebuah organisasi untuk menjadi pelatih yang sah untuk menyampaikan sesi latihan tertentu di nusantara Asia Tenggara.

 

Menurut Ketua Pembelajaran dan Pembangunan, Stephen Terry dari Akademi Pembangunan Kemanusiaan (HAD), objektif program ini juga adalah untuk menaiktaraf peningkatan latihan dalam usaha membangunkan kebolehan dan keupayaan individu.

 

“Selepas tamat program ini, pelatih yang baharu akan mempunyai kepakaran dalam mengatasi sesuatu isu dan mampu berkomunikasi dan membantu orang lain untuk belajar, selain membantu akademi dalam menggerakkan program kemanusiaan ini,” katanya ketika ditemui.

 

Untuk maklumat, program ini akan berjalan selama dua minggu di Hotel Bangi Putrajaya dan pejabat rasmi IRM.

Bantuan Kebakaran Sarawak Kurangkan Beban

Kapit, 3 Okt 2018 – Sekurang-kurangnya 48 buah keluarga menerima bantuan kecemasan daripada Islamic Relief Malaysia (IRM) selepas kebakaran berlaku di Rumah Panjang Dagum dan Rumah Panjang Bada, Kapit, Sarawak.

 

Kebakaran tersebut dipercayai berlaku akibat rebakan api ketika memasak di kedua-dua Rumah Panjang.

Selepas penilaian dilakukan, antara barangan yang diagihkan termasuklah makanan, selimut, kanvas, air minuman, dan peralatan memasak.

 

IRM turut bekerjasama dengan beberapa agensi bagi melaksanakan bantuan kecemasan iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) Kebajikan Kampung Gelam, Song, HIKMAH Song, dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bahagian Kapit.

 

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Tsunami Landa Sulawesi

Sulawesi, 1 Oktober 2018 – Lebih 1200 nyawa terkorban akibat bencana tsunami ekoran daripada gempa bumi berukuran 7.5 magnitud di Daerah Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia, pada 28 September lalu.

 

Jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan maklumat terkini daripada kawasan yang paling terjejas masih belum diterima.

 

Laporan tempatan menjelaskan bahawa sekitar 750,000 penduduk terdedah kepada kesan pasca gempa bumi.

 

Jalan utama ke Palu disekat ekoran tanah runtuh dan jambatan turut mengalami kerosakan. Dalam pada itu, jalan ke Donggala juga tidak dapat diakses memandangkan tahap kemusnahan masih belum diketahui.

 

Ribuan rumah runtuh termasuklah hospital, hotel, dan pusat beli-belah.

 

Islamic Relief (IR) Indonesia kini bekerjasama dengan Rumah Zakat (RZ) dan Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) bagi menghulurkan bantuan kemanusian. Sebanyak 20 Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan terpilih bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Benacana bagi misi menyelamat itu.

 

Gambar Ihsan: Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU)

Program Rakyat Perkasa Komuniti Setempat

Kuala Lumpur, 22 Sep 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Maybank Islamic Berhad (MIB) berganding bahu memperkasakan kesejahteraan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda menerusi Hari Tanggungjawab Korporat Maybank Islamic 2018.

 

Program yang melibatkan aktiviti gotong-royong, mengecat, penanaman pokok, kuliah kewangan dan masa depan anak muda sekaligus merapatkan ukhuwah antara Komuniti PPR Batu Muda, IRM, dan MIB ke arah kehidupan yang lebih kondusif.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, badan bukan kerajaan (NGO) adalah masa hadapan yang akan menjadi faktor kritikal dalam pembangunan sebuah komuniti dan negara termasuklah komuniti PPR.

 

“Antara kerajaan dan badan korporat yang wujud di Malaysia, NGO menjadi pengikat kepada penerima manfaat dan saling melengkapi dalam melaksanakan sesebuah projek,” jelasnya ketika berucap.

 

Zairulshahfuddin juga positif dengan kehadiran penerima manfaat yang menjadi asbab kepada IRM dan MIB untuk bersama-sama menggembleng tenaga untuk membangunkan komuniti.

 

Beliau juga merafakkan rasa syukur dengan kerjasama daripada MIB sejak tahun 2015 yang tidak pernah lelah untuk terus berbakti kepada masyarakat menerusi pelbagai projek bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di dalam dan juga luar negara.