Tenaga Anak Muda dalam Aktiviti Kemanusiaan

Peredaran zaman membawa kepada perubahan seiring dengan kemajuan teknologi dan kepesatan sesebuah negara. Ia secara tidak langsung melahirkan golongan anak muda yang mampu berfikiran secara kritis dan kreatif dalam memacu dunia ke arah pembangunan modal insan selaras dengan misi negara dalam membentuk golongan belia yang berkebolehan.

 

Tidak dinafikan, insititusi pendidikan kini berjaya melahirkan golongan profesional dan pakar dalam pelbagai bidang demi pembangunan negara. Namun dalam keghairahan kita mempromosikan bidang-bidang yang menjadi ukuran kepada kebolehpasaran seseorang untuk mencipta kerjaya, acapkali kita terlupa bahawa lepasan universiti hari ini kekurangan nilai estetika yang membentuk jati diri mereka, iaitu nilai kemanusiaan.

 

Dr. Aizan Sofia Amin, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), sempat berkongsi pengalamannya dalam aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi seawal usia 20-an. Bersuarakan bagi pihak golongan muda, Dr. Aizan, seorang bekas dan pejuang kanser juga merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kanser tulang yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.

 

Biarpun keadaan fizikalnya adalah cabaran besar, keazamannya tidak pernah goyah untuk terus menceburi aktiviti-aktiviti kemanusiaan kerana beliau mempunyai kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat. Dalam erti kata lain, beliau mahu orang awam melihat golongan OKU juga mampu untuk menyumbang kepada negara.

 

Menurut Dr. Aizan, kerja-kerja kemanusiaan adalah sesuatu yang kita lakukan demi kebaikan manusia lain tanpa mengharapkan apa jua balasan. Dalam konsep psikologi, ia dipanggil altruisme, yang menekankan kebajikan yang dilakukan dengan ikhlas terhadap kebahagiaan manusia lain. Ia sekaligus memberi ketenangan kepada jiwa si pelaku.

 

“Pada saya, kerja kemanusiaan ini sebenarnya adalah kebaikan yang kita lakukan kepada masyarakat sekeliling demi kebahagiaan mereka tanpa mengharapkan sesuatu daripada mereka. Ia dikenali sebagai altruisme jika dikorelasikan dalam konteks psikologi. Konsep itu tidak hanya terbatas kepada manusia, malah melibatkan segala kehidupan yang ada di muka bumi seperti haiwan,” katanya ketika ditemubual.

 

Disoal mengenai aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi, Dr. Aizan menjelaskan bahawa beliau sudahpun terlibat sebagai sukarelawan sejak zaman universiti dalam sebuah persatuan kecil. Namun merasakan pengalaman itu tidak cukup, beliau cuba mencari inisiatif lain untuk memenuhi masanya dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

 

“Saya terlibat dalam aktiviti kemanusiaan sejak universiti. Namun ia sangat terhad. Kemudian apabila saya tamat pengajian dan dalam proses untuk menyambung Ijazah Sarjana, saya mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan di Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bersama ibu saya kerana kami mempunyai niat yang sama.”

 

Di MAKNA, pengalaman Dr Aizan bukanlah semata-mata sebagai sukarelawan, malah beliau diberi peluang untuk mengasah bakatnya dalam menjadi seorang penceramah.

 

“Keberadaan saya di MAKNA sebenarnya amat bermakna kerana saya tidak hanya terlibat dalam aktiviti sukarelawan, malah saya dilatih untuk menjadi ‘speaker’ kepada mereka memandangkan saya merupakan bekas pesakit kanser.

 

“Dengan kerja-kerja kemanusiaan seperti itu, saya rasa amat gembira kerana dapat menyumbang kepada masyarakat. Walaupun saya ada kekurangan, saya tetap ingin menyumbang kepada orang lain. Jadi dengan melakukan kerja-kerja ini saya percaya sebenarnya saya berupaya untuk berbakti dengan tenaga dan masa yang saya korbankan,” tegasnya biarpun mempunyai kekurangan fizikal.

 

Jiwa kemanusiaan sudah sebati dalam diri Dr. Aizan. Ketika beliau melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Glasgow, Scotland, peluang itu tidak disia-siakan malah dikembangkan kerana niat murni yang sentiasa utuh dalam diri demi membantu manusia lain.

 

“Di sana saya pernah mencabar diri sendiri dengan mengambil langkah drastik bersama sekumpulan pelajar Malaysia lain, iaitu menyahut cabaran untuk mengumpul dana sebanyak 2,000 Pound Sterling untuk program kemanusiaan.”

 

Sekembalinya beliau ke tanah air, Dr. Aizan meluaskan empayarnya bersama IRM dengan menghubungkan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalani latihan industri. Selain itu, beliau turut menawarkan diri untuk membuka slot kursus dan tatacara bersama penerima manfaat untuk kakitangan di IRM sehinggalah beliau dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan IRM tahun ini. Tugas dan pengalaman sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM digunakan sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada masyarakat.

 

Disoal mengenai pelibatan golongan muda atau mahasiswa dalam aktiviti kemanusiaan, Dr. Aizan menegaskan bahawa setiap pelajar wajar menceburkan diri dalam aktiviti kemanusiaan kerana ia membentuk jati diri seseorang di samping menggilap kemahiran berkomunikasi dan keyakinan untuk berhadapan di khalayak ramai.

 

“Saya juga percaya bahawa mahasiswa kita berkemampuan dan mempunyai potensi yang tinggi. Namun apa yang kita dapati sekarang, mereka tidak diberi peluang atau kepercayaan untuk melakukan aktiviti kemanusiaan. Mahasiswa juga tidak dilatih untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang. Jadi apa yang diperlukan, kita perlu perkasakan kepimpinan dalam kalangan belia supaya pada masa akan datang mahasiswa akan menjadi pelapis kepada pemimpin hari ini.”

 

“Dari sudut akademik, mahasiswa turut didedahkan subjek atau kursus-kursus tertentu yang melibatkan aktiviti kesukarelawanan dengan harapan mereka akan terus berbakti dan mempunyai nilai tanggungjawab dalam diri.”

 

Tambahan pula, selain daripada membentuk jati diri dan menggilap keyakinan diri, mahasiswa yang sering terlibat dalam aktiviti kemanusiaan dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka sebelum memasuki alam pekerjaan kerana ia dilihat sebagai satu nilai tambah selain pencapaian akademik yang diperoleh ketika pengajian.

 

“Salah satu sebab mengapa aktiviti kemanusiaan ini dilihat begitu relevan dan bernilai adalah ia boleh dijadikan sebagai nilai tambahan kepada graduan yang bakal memulakan hidup baru di alam pekerjaan selain mendapatkan rujukan daripada pensyarah sendiri.”

 

Menasihati bakal graduan yang bakal meninggalkan zaman pengajian, Dr. Aizan berpendapat bahawa mereka perlu diasah dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan sebanyak yang mungkin dan usaha itu perlu dilakukan dari bawah kerana tiada jalan mudah untuk berjaya. Seperti kehidupan, manusia perlu berusaha untuk meraih sesuatu yang mereka impikan.

Badan Bukan Kerajaan Hadiri Sesi ‘Bite Size’

Kuala Lumpur, 8 Okt 2018 – Beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Islamic Relief Malaysia (IRM) diberi peluang untuk menghadiri Kursus ‘Bite Size Taster’ menerusi kerjasama dengan Humanitarian Academy for Development (HAD).

 

Program yang melibatkan NGO lain seperti Yayasan Salam, SOLS 24/7, Pertubuhan Al-Firdausi, dan The 3rd Force sekaligus membuka ruang kepada peserta mempelajari kursus khas untuk melengkapi keperluan NGO dalam bidang kemanusiaan.

 

Kursus itu juga mendapat sambutan baik daripada para peserta. Alia Shahida Alias dari SOLS/24 berpendapat bahawa dia mempelajari sesuatu yang baharu di samping meningkatkan tahap pengetahuannya menerusi program yang dijalankan.

 

“Sebenarnya saya tak sangka banyak yang dapat saya pelajari hari ini. Fasilitator juga ada menyentuh berkenaan EQ kerana di Malaysia, EQ jarang di war-warkan,” katanya ketika ditemui.

 

Selain memberi pendedahan secara langsung, para peserta turut dilatih untuk meningkatkan tahap motivasi mereka ketika bekerja.

 

Untuk maklumat, HAD ditubuhkan oleh Islamic Relief Worldwide pada tahun 2013 dan merupakan antara akademi latihan pembelajaran dan penyelidikan terbaik dalam sektor kemanusiaan antarabangsa.

IRM ke Arah Mesra OKU

Bangi, 5 Okt 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) komited mengupayakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penyerahan kerusi roda kepada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

 

Pegawai Khas Hal Ehwal Pembangunan Mahasiswa dan Alumni, Dr. Syarbaini Ahmad menyatakan langkah tersebut merupakan inisiatif awal dalam usaha membangunkan suasana mesra OKU.

 

“Sebenarnya kaedah ini merupakan inisiatif yang baik daripada IRM sebab kita mahu menuju ke arah kampus yang mesra OKU.

 

“Konsepnya, kita juga mahukan pihak luar seperti IRM dalam bekerjasama untuk melaksanakan usaha mengupayakan komuniti OKU,” katanya ketika berucap.

 

Beliau juga berasa positif dengan penyerahan kerusi roda dan yakin ia akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak KUIS dan IRM.

 

Dalam majlis itu, dua unit kerusi roda diserahkan oleh Pengarah Bahagian Program Domestik IRM, Sharlina Adnan bagi kegunaan jemaah OKU di Masjid Al-Azhar KUIS.

Sulawesi Perlukan Perhatian Dunia

Sulawesi, 5 Okt 2018 – Angka kematian di Sulawesi kini meningkat kepada 1763 berikutan gempa bumi berskala Richter 7.4 yang melanda di daerah Palu dan Donggala pada 28 September lalu.

 

Ia sekaligus mengakibatkan kecederaan seramai 2,600 orang manakala 113 lagi masih belum ditemui. 152 orang tertimbus dalam timbunan sampah sarap.

 

Pengarah Negara, Islamic Relief Indonesia, Nanang Dirja menyifatkan keadaan di tempat kejadian begitu getir memandangkan mayat bertaburan dengan infrastruktur yang musnah akibat gempa bumi berkenaan.

 

“Keadaan di sini begitu dahsyat. Mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja termasuklah kawasan pantai dan air. Kerja-kerja menyelamat mengambil masa dan menjadi sukar memandangkan masih ramai yang tersekat di dalam timbunan.

 

“Tanah lumpur juga merosakkan jalan utama sekaligus menyekat akses untuk memberi bantuan kepada mereka. Kami menerima laporan terdapat kes-kes rawatan kecemasan seperti kecederaan kritikal di kepala dan tulang patah namun mereka sukar dilawati,” katanya ketika ditemui media.

 

Beliau turut menambah ribuan penduduk terpaksa mencari tempat perlindungan dan bekalan makanan serta ubat-ubatan amat terjejas.

 

Selain itu, bekalan elektrik dilaporkan terputus selama tiga hari berturut-turut.

 

Terkini, Islamic Relief Malaysia (IRM) melancarkan kempen Rayuan Kecemasan Indonesia yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM500,000 bagi membantu rakyat Indonesia yang terjejas di Sulawesi.

79 Maut di Filipina

Filipina, 8 Okt 2018 – 79 dilaporkan maut di Itogon, Benguet berpunca daripada tanah runtuh dan sekurang-kurangnya dua masih lagi tidak ditemui akibat Taufan Mangkhut yang melanda kawasan itu 12 September lalu.

 

Menurut Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Nasional, hampir 3 juta penduduk bersamaan dengan 719,565 keluarga turut terjejas dengan taufan tersebut yang dianggap terkuat pada tahun ini.

 

Dalam pada itu, lebih 200,000 buah rumah musnah dan 14,611 daripadanya mengalami kemusnahan secara total di kawasan Luzon Utara termasuklah Cagayan dan Daerah Pentadbiran Cordilerra.

 

Sekurang-kurangnya RM2 billion hasil tanaman turut musnah yang menjejaskan seramai 172,000 petani di Daerah Pentadbiran Cordilerra. Situasi tersebut sekaligus merekodkan tahap kemusnahan paling teruk selepas Taufan Super Yolanda.

 

Kini, Islamic Relief (IR) Filipina telah selesai mengagihkan bantuan kemanusiaan fasa pertama.

 

405 keluarga disantuni oleh IR Filipina menerusi bantuan kewangan oleh IR Canada; 155 keluarga menerima bantuan tempat perlindungan dan 250 keluarga menerima bantuan pertanian di Baggao, Lembah Cagayan.

Tingkat Taraf Sosial Orang Asli

Dengkil, 3 Okt 2018 – 23 peserta daripada Kelas Dewasa Asli Peribumi (KEDAP) mendapat bimbingan proses penanaman cendawan dan penyediaan cendawan tiram kelambu di bawah kelolaan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program yang mendapat kerjasama pihak Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bertujuan untuk meningkatkan pendapatan komuniti Orang Asli.

 

Ia sekaligus memberi pendedahan intensif kepada tatacara dalam menyediakan media cendawan secara teori dan praktikal.

 

Secara amnya, penanaman cendawan tersebut membawa kepada satu kaedah penanaman secara agrotek iaitu agro-tanaman dan teknologi sekaligus menghasilkan pertumbuhan cendawan.

 

Menurut Pegawai Pertanian UPM, Maininah Tahir, proses pengeluaran tanaman cendawan melibatkan beberapa aspek termasuklah penyediaan media iaitu bongkah cendawan, pengkusan, inokulasi, pemeraman, dan penghasilan.

 

Untuk maklumat, program ini adalah tajaan daripada MRA International.