“Saya Rasa Gegaran Masa Tidur..”

GEMPA. Satu fenomena alam yang meragut sebanyak 437 nyawa setakat Ogos lalu di kawasan tumpuan pelancongan yang masyhur di Lombok, Indonesia. Menurut laporan akhbar tempatan, lebih 50,000 buah rumah turut musnah dalam kejadian yang tidak disangka kehadirannya sekaligus mencemaskan situasi kemanusiaan sehingga menarik tumpuan organisasi kemanusiaan sedunia.

 

Susulan fenomena itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) setanding dengan gelarannya sebagai organisasi kemanusiaan antarabangsa yang terkemuka di persada dunia melihat keadaan semasa di Lombok umpama batu loncatan dalam menyantuni insan-insan yang terlibat dalam kejadian itu. Kali ini, IRM membawa sedikit kelainan dalam usaha meminimakan kesan pasca bencana alam.

 

Selain daripada inisiatif seperti kempen kecemasan yang menjadi platform utama, IRM turut menghantar dua kakitangan IRM untuk berada di lapangan secara langsung bagi mengikuti Ob-Job-Training Lombok Earthquake Emergency & Disaster Response sebagai latihan intensif bagi merasai situasi sebenar dan keadaan kritikal di Lombok, Indonesia.

 

Izzat Ruslan, salah seorang kakitangan bertugas yang dihantar ke Lombok selama sebulan beranggapan bahawa keberadaannya di sana bukanlah semata-mata untuk menjalani latihan kecemasan, namun ia lebih menitikberatkan pengalaman bekerja dalam situasi kecemasan.  

 

“Tujuan On-job Training ini sebenarnya untuk menjalani latihan intensif apabila bencana alam berlaku. Kita mahu lihat dari segi tugas-tugas utama yang dipraktikkan oleh Islamic Relief Indonesia kerana ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan Islamic Relief Malaysia.

 

“Dalam situasi gusar, kita perlu bekerja dengan lebih pantas dari segi menganalisis dan penilaian. Saya kagum dengan penggunaan aplikasi dalam telefon kerana ia memudahkan kerja kami,” katanya ketika ditemui.

 

Sungguhpun demikian, dalam kesenangan pasti ada cabaran. Pada kebiasaannya, suasana kerja di Malaysia lebih kepada ‘work smart’ dan penyesuaian ini seiring dengan cara kerja yang dilakukan. Namun situasi di Lombok memerlukan tenaga dan keringat bagi melaksanakan sesuatu perkara.

 

“Kalau di Malaysia, cara kerja saya lebih kepada ‘work smart’ dalam apa jua situasi supaya kerja lebih teratur. Tetapi di Indonesia, kita lebih kepada ‘work hard’ untuk memastikan kelancaran kerja itu dilaksanakan dengan sempurna. Contohnya seperti proses agihan pek makanan, kerana ia boleh mengambil masa selama sehari suntuk dan saya perlu mengendalikan sebanyak 200 buah keluarga.”

 

Disoal mengenai gambaran suasana di Lombok, Izzat menjelaskan Lombok Utara adalah antara kawasan yang paling terjejas dengan kemusnahan infrastruktur di setiap penjuru. Selain itu, jalan ke arah Lombok Utara juga sesak dengan kenderaan yang ingin memasuki lokasi itu untuk menghantar bantuan makanan dan lain-lain.

 

“Saya boleh katakan kemusnahan bangunan di sana memang runtuh secara ‘total’. Bangunan roboh sehingga menghempap semua kenderaan yang ada di sekitarnya. Rumah yang elok hanya lebih kurang lima dan uniknya, rumah yang dibina daripada buluh masih kukuh tidak seperti rumah yang dibina daripada batu-bata.”

 

“Selepas gegaran ketiga berlaku, iaitu sekitar 7.1 skala Ritcher di Sembalun, Lombok Timur, keadaan di sana bertambah parah dengan suasananya yang begitu sejuk. Dan apa yang berlaku, saya lihat penduduk di sana agak trauma dan hanya mampu tidur di dalam khemah.”

 

Dalam keadaan getir, Izzat juga merasai situasi kecemasan tersebut semasa tidur setelah seharian bekerja.   

 

“Sekitar jam 12.30 pagi, saya terasa gegaran kuat ketika tidur. Saya sebenarnya terkejut dan agak risau kerana itu adalah kali pertama saya rasa gempa bumi dengan fizikal saya sendiri sehinggalah saya dan rakan sekerja terpaksa keluar dari rumah kerana risau sekiranya gegaran akan meruntuhkan tempat kami berehat.”

 

“Namun dalam keadaan cemas seperti itu, apa yang saya pelajari adalah keselamatan diri perlu diutamakan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.”

 

Di Lombok, anak-anak kecil didedahkan dengan ajaran Islam yang mendalam. Menurut Izzat, biarpun situasi kecemasan itu meributkan keadaan penduduk di kawasan Lombok, ada seorang kanak-kanak kecil masih lagi ingin ke masjid dan menunaikan solat tanpa menghiraukan gegaran yang berlaku. Menariknya, kanak-kanak di Lombok turut diajar untuk berbakti kepada ibu bapa dan agama.

 

“Apa yang saya kagumkan di sana, ketika gegaran berlaku, orang ramai berpusu-pusu keluar dari kediaman mereka untuk menyelamatkan diri masing-masing. Bagaimanapun ada seorang budak kecil masih lagi tenang dan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Isyak.”

 

Menerusi latihan kecemasan di Lombok, ia banyak memberi impak kepada Izzat sebagai pekerja kemanusiaan memandangkan ia amat berkait rapat dengan kepantasan dan keselamatan diri. Katanya, dalam apa jua situasi, janganlah kita merasakan diri ini terlalu hebat sehingga tidak memerlukan bantuan orang ramai dan sentiasa belajar dari penduduk tempatan kerana mereka lebih mengetahui keadaan sebenar.

 

Selain mendapatkan pengalaman secara langsung, persiapan rapi dalam situasi kecemasan juga perlu diutamakan kerana malang tidak berbau. Keselamatan dilihat sebagai aset paling berharga semasa menjalankan misi kemanusiaan tidak kira di mana kita berada. Jika diberi peluang, Izzat yakin bahawa ia tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

Kemarau Jejaskan 2 Juta Penduduk

Afghanistan, 9 Okt 2018 – Sekurang-kurangnya 2 juta penduduk terkesan akibat kemarau sekaligus menyebabkan 1.4 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan.

 

Kira-kira 253,600 penduduk dipindahkan berikutan kemarau tersebut di Wilayah Barat Afghanistan di mana 75,000 berada di Herat.

 

Kerajaan mengisytiharkan 20 daripada 34 wilayah di Afghanistan kini mengalami kemarau melampau dan merayu bantuan daripada komuniti antarabangsa.

 

Kemarau tersebut turut memburukkan situasi kemanusiaan semasa yang menjejaskan Pelarian Dalam Negara (IDPs), pelarian dari Pakistan dan Iran termasuklah konflik berterusan di wilayah utama Afghanistan.

 

Islamic Relief (IR) Afghanistan menerima permohonan daripada agensi Emergency Shelter & Non-Food Items (ESNFI) untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada IDP yang terdesak memerlukan bantuan perlindungan di wilayah Herat.

Tenaga Anak Muda dalam Aktiviti Kemanusiaan

Peredaran zaman membawa kepada perubahan seiring dengan kemajuan teknologi dan kepesatan sesebuah negara. Ia secara tidak langsung melahirkan golongan anak muda yang mampu berfikiran secara kritis dan kreatif dalam memacu dunia ke arah pembangunan modal insan selaras dengan misi negara dalam membentuk golongan belia yang berkebolehan.

 

Tidak dinafikan, insititusi pendidikan kini berjaya melahirkan golongan profesional dan pakar dalam pelbagai bidang demi pembangunan negara. Namun dalam keghairahan kita mempromosikan bidang-bidang yang menjadi ukuran kepada kebolehpasaran seseorang untuk mencipta kerjaya, acapkali kita terlupa bahawa lepasan universiti hari ini kekurangan nilai estetika yang membentuk jati diri mereka, iaitu nilai kemanusiaan.

 

Dr. Aizan Sofia Amin, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), sempat berkongsi pengalamannya dalam aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi seawal usia 20-an. Bersuarakan bagi pihak golongan muda, Dr. Aizan, seorang bekas dan pejuang kanser juga merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kanser tulang yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong.

 

Biarpun keadaan fizikalnya adalah cabaran besar, keazamannya tidak pernah goyah untuk terus menceburi aktiviti-aktiviti kemanusiaan kerana beliau mempunyai kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat. Dalam erti kata lain, beliau mahu orang awam melihat golongan OKU juga mampu untuk menyumbang kepada negara.

 

Menurut Dr. Aizan, kerja-kerja kemanusiaan adalah sesuatu yang kita lakukan demi kebaikan manusia lain tanpa mengharapkan apa jua balasan. Dalam konsep psikologi, ia dipanggil altruisme, yang menekankan kebajikan yang dilakukan dengan ikhlas terhadap kebahagiaan manusia lain. Ia sekaligus memberi ketenangan kepada jiwa si pelaku.

 

“Pada saya, kerja kemanusiaan ini sebenarnya adalah kebaikan yang kita lakukan kepada masyarakat sekeliling demi kebahagiaan mereka tanpa mengharapkan sesuatu daripada mereka. Ia dikenali sebagai altruisme jika dikorelasikan dalam konteks psikologi. Konsep itu tidak hanya terbatas kepada manusia, malah melibatkan segala kehidupan yang ada di muka bumi seperti haiwan,” katanya ketika ditemubual.

 

Disoal mengenai aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi, Dr. Aizan menjelaskan bahawa beliau sudahpun terlibat sebagai sukarelawan sejak zaman universiti dalam sebuah persatuan kecil. Namun merasakan pengalaman itu tidak cukup, beliau cuba mencari inisiatif lain untuk memenuhi masanya dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

 

“Saya terlibat dalam aktiviti kemanusiaan sejak universiti. Namun ia sangat terhad. Kemudian apabila saya tamat pengajian dan dalam proses untuk menyambung Ijazah Sarjana, saya mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan di Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bersama ibu saya kerana kami mempunyai niat yang sama.”

 

Di MAKNA, pengalaman Dr Aizan bukanlah semata-mata sebagai sukarelawan, malah beliau diberi peluang untuk mengasah bakatnya dalam menjadi seorang penceramah.

 

“Keberadaan saya di MAKNA sebenarnya amat bermakna kerana saya tidak hanya terlibat dalam aktiviti sukarelawan, malah saya dilatih untuk menjadi ‘speaker’ kepada mereka memandangkan saya merupakan bekas pesakit kanser.

 

“Dengan kerja-kerja kemanusiaan seperti itu, saya rasa amat gembira kerana dapat menyumbang kepada masyarakat. Walaupun saya ada kekurangan, saya tetap ingin menyumbang kepada orang lain. Jadi dengan melakukan kerja-kerja ini saya percaya sebenarnya saya berupaya untuk berbakti dengan tenaga dan masa yang saya korbankan,” tegasnya biarpun mempunyai kekurangan fizikal.

 

Jiwa kemanusiaan sudah sebati dalam diri Dr. Aizan. Ketika beliau melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Glasgow, Scotland, peluang itu tidak disia-siakan malah dikembangkan kerana niat murni yang sentiasa utuh dalam diri demi membantu manusia lain.

 

“Di sana saya pernah mencabar diri sendiri dengan mengambil langkah drastik bersama sekumpulan pelajar Malaysia lain, iaitu menyahut cabaran untuk mengumpul dana sebanyak 2,000 Pound Sterling untuk program kemanusiaan.”

 

Sekembalinya beliau ke tanah air, Dr. Aizan meluaskan empayarnya bersama IRM dengan menghubungkan pelajar-pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalani latihan industri. Selain itu, beliau turut menawarkan diri untuk membuka slot kursus dan tatacara bersama penerima manfaat untuk kakitangan di IRM sehinggalah beliau dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan IRM tahun ini. Tugas dan pengalaman sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM digunakan sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada masyarakat.

 

Disoal mengenai pelibatan golongan muda atau mahasiswa dalam aktiviti kemanusiaan, Dr. Aizan menegaskan bahawa setiap pelajar wajar menceburkan diri dalam aktiviti kemanusiaan kerana ia membentuk jati diri seseorang di samping menggilap kemahiran berkomunikasi dan keyakinan untuk berhadapan di khalayak ramai.

 

“Saya juga percaya bahawa mahasiswa kita berkemampuan dan mempunyai potensi yang tinggi. Namun apa yang kita dapati sekarang, mereka tidak diberi peluang atau kepercayaan untuk melakukan aktiviti kemanusiaan. Mahasiswa juga tidak dilatih untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang. Jadi apa yang diperlukan, kita perlu perkasakan kepimpinan dalam kalangan belia supaya pada masa akan datang mahasiswa akan menjadi pelapis kepada pemimpin hari ini.”

 

“Dari sudut akademik, mahasiswa turut didedahkan subjek atau kursus-kursus tertentu yang melibatkan aktiviti kesukarelawanan dengan harapan mereka akan terus berbakti dan mempunyai nilai tanggungjawab dalam diri.”

 

Tambahan pula, selain daripada membentuk jati diri dan menggilap keyakinan diri, mahasiswa yang sering terlibat dalam aktiviti kemanusiaan dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka sebelum memasuki alam pekerjaan kerana ia dilihat sebagai satu nilai tambah selain pencapaian akademik yang diperoleh ketika pengajian.

 

“Salah satu sebab mengapa aktiviti kemanusiaan ini dilihat begitu relevan dan bernilai adalah ia boleh dijadikan sebagai nilai tambahan kepada graduan yang bakal memulakan hidup baru di alam pekerjaan selain mendapatkan rujukan daripada pensyarah sendiri.”

 

Menasihati bakal graduan yang bakal meninggalkan zaman pengajian, Dr. Aizan berpendapat bahawa mereka perlu diasah dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan sebanyak yang mungkin dan usaha itu perlu dilakukan dari bawah kerana tiada jalan mudah untuk berjaya. Seperti kehidupan, manusia perlu berusaha untuk meraih sesuatu yang mereka impikan.

Badan Bukan Kerajaan Hadiri Sesi ‘Bite Size’

Kuala Lumpur, 8 Okt 2018 – Beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Islamic Relief Malaysia (IRM) diberi peluang untuk menghadiri Kursus ‘Bite Size Taster’ menerusi kerjasama dengan Humanitarian Academy for Development (HAD).

 

Program yang melibatkan NGO lain seperti Yayasan Salam, SOLS 24/7, Pertubuhan Al-Firdausi, dan The 3rd Force sekaligus membuka ruang kepada peserta mempelajari kursus khas untuk melengkapi keperluan NGO dalam bidang kemanusiaan.

 

Kursus itu juga mendapat sambutan baik daripada para peserta. Alia Shahida Alias dari SOLS/24 berpendapat bahawa dia mempelajari sesuatu yang baharu di samping meningkatkan tahap pengetahuannya menerusi program yang dijalankan.

 

“Sebenarnya saya tak sangka banyak yang dapat saya pelajari hari ini. Fasilitator juga ada menyentuh berkenaan EQ kerana di Malaysia, EQ jarang di war-warkan,” katanya ketika ditemui.

 

Selain memberi pendedahan secara langsung, para peserta turut dilatih untuk meningkatkan tahap motivasi mereka ketika bekerja.

 

Untuk maklumat, HAD ditubuhkan oleh Islamic Relief Worldwide pada tahun 2013 dan merupakan antara akademi latihan pembelajaran dan penyelidikan terbaik dalam sektor kemanusiaan antarabangsa.

IRM ke Arah Mesra OKU

Bangi, 5 Okt 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) komited mengupayakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penyerahan kerusi roda kepada Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

 

Pegawai Khas Hal Ehwal Pembangunan Mahasiswa dan Alumni, Dr. Syarbaini Ahmad menyatakan langkah tersebut merupakan inisiatif awal dalam usaha membangunkan suasana mesra OKU.

 

“Sebenarnya kaedah ini merupakan inisiatif yang baik daripada IRM sebab kita mahu menuju ke arah kampus yang mesra OKU.

 

“Konsepnya, kita juga mahukan pihak luar seperti IRM dalam bekerjasama untuk melaksanakan usaha mengupayakan komuniti OKU,” katanya ketika berucap.

 

Beliau juga berasa positif dengan penyerahan kerusi roda dan yakin ia akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak KUIS dan IRM.

 

Dalam majlis itu, dua unit kerusi roda diserahkan oleh Pengarah Bahagian Program Domestik IRM, Sharlina Adnan bagi kegunaan jemaah OKU di Masjid Al-Azhar KUIS.

Sulawesi Perlukan Perhatian Dunia

Sulawesi, 5 Okt 2018 – Angka kematian di Sulawesi kini meningkat kepada 1763 berikutan gempa bumi berskala Richter 7.4 yang melanda di daerah Palu dan Donggala pada 28 September lalu.

 

Ia sekaligus mengakibatkan kecederaan seramai 2,600 orang manakala 113 lagi masih belum ditemui. 152 orang tertimbus dalam timbunan sampah sarap.

 

Pengarah Negara, Islamic Relief Indonesia, Nanang Dirja menyifatkan keadaan di tempat kejadian begitu getir memandangkan mayat bertaburan dengan infrastruktur yang musnah akibat gempa bumi berkenaan.

 

“Keadaan di sini begitu dahsyat. Mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja termasuklah kawasan pantai dan air. Kerja-kerja menyelamat mengambil masa dan menjadi sukar memandangkan masih ramai yang tersekat di dalam timbunan.

 

“Tanah lumpur juga merosakkan jalan utama sekaligus menyekat akses untuk memberi bantuan kepada mereka. Kami menerima laporan terdapat kes-kes rawatan kecemasan seperti kecederaan kritikal di kepala dan tulang patah namun mereka sukar dilawati,” katanya ketika ditemui media.

 

Beliau turut menambah ribuan penduduk terpaksa mencari tempat perlindungan dan bekalan makanan serta ubat-ubatan amat terjejas.

 

Selain itu, bekalan elektrik dilaporkan terputus selama tiga hari berturut-turut.

 

Terkini, Islamic Relief Malaysia (IRM) melancarkan kempen Rayuan Kecemasan Indonesia yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM500,000 bagi membantu rakyat Indonesia yang terjejas di Sulawesi.