Berhibur Sambil Beramal

BANGI, 24 Feb 2018 – Kolej Pendeta Za’ba Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Rabbani Productions dan Islamic Relief Malaysia (IRM) menganjurkan Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) dan Konsert Amal 1440H di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM.

 

Program ini merupakan acara tahunan yang dijalankan di peringkat IPTA/IPTS bagi mencungkil bakat nyanyian serta idea kreatif mahasiswa dalam menghasilkan lagu-lagu berbentuk Ketuhanan.

 

“Kelainan festival kali ini ialah 10 peratus daripada hasil jualan tiket konsert akan disumbangkan kepada IRM bagi membantu projek bantuan kempen Care4Hunger Malawi,” kata Qussiynur Yakin Ainal Yakin, Ketua Pengarah Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) dan Konsert Amal 1440H.

 

Antara objektif lain penganjuran program dua dalam satu yang bertemakan “Kesenian itu Dakwah Bil Hikmah” ialah bagi menerapkan semangat kepimpinan serta menjadi platform untuk mahasiswa dan mahasiswi berbakti kepada masyarakat menerusi program amal yang dijalankan.

 

“Usaha murni dan inisiatif dalam menganjurkan program amal sebegini sebenarnya mampu menjadi nilai tambah kepada para pelajar ketika mencari pekerjaan kelak kerana organisasi memerlukan lebih ramai pelajar yang berketrampilan serta cakna tentang isu semasa bukan hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan yang cemerlang semata-mata,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif IRM dalam ucapan program.

 

Tambahnya, sifat kesukarelawanan perlu ada dalam setiap diri dan hati generasi muda agar matlamat untuk mewujudkan dunia prihatin menjadi tanggungjawab semua pihak tanpa mengira lapisan umur.

 

Festival nasyid yang diadakan telah menjadi medan pertembungan 4 buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM). Gelaran juara berjaya dirangkul oleh kumpulan Zafreen dari UMP.

 

Selain persembahan para peserta nasyid, program ini turut menampilkan persembahan nyanyian daripada Kumpulan Rabbani, Hafiz Hamidun dan Devotees manakala Irma Hasmie, Ikon Kemanusiaan IRM dijemput menjadi salah seorang wakil juri jemputan.