Taufan Mangkhut Badai Filipina

Filipina, 18 Sept 2018 81 dilaporkan maut di Filipina berikutan Taufan Mangkhut yang melanda negara itu sejak beberapa hari lalu.

 

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) melaporkan bahawa lebih 1 juta keluarga terkesan akibat taufan berkenaan.

 

Taufan yang mempunyai kelajuan angin sekitar 205 kilometer sejam dengan angin kencang sekuat 255 kilometer sejam telah melanda kawasan tumpuan taufan Filipina pada 12 September, tengah hari.

 

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sebanyak 1.9 juta penduduk berada di kawasan jangkaan sekitar radius 200 kilometer daripada taufan berkenaan.

 

Jabatan Pertanian tempatan juga menyatakan kemusnahan terhadap tanaman padi sejumlah RM 535 juta dan RM 480 juta di kawasan Utara Luzon.

 

Terkini, Islamic Relief (IR) telah mengenalpasti kawasan-kawasan sasaran yang terpencil di mana Badan Bukan Kerajaan Antarabangsa (INGOs) tidak mempunyai akses untuk bertindak memberi bantuan.

 

Sumber: Islamic Relief Worldwide (IRW)

IRM Menangi Hati Orang Awam

BAYAN LEPAS, 16 Sep 2018 – Hari Malaysia 2018 disambut dengan Tazkirah berserta ‘busking’ (Tazking) oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Afad Raihan & Friends dalam usaha mengajak orang ramai untuk terus berbakti kepada mereka yang memerlukan.

 

Busking yang dimulakan dengan alunan lagu-lagu memperingati keperihan manusia sama ada di dalam atau luar negara sekaligus menarik minat orang awam untuk terus menyumbang ke arah kebaikan.

 

Selain menghiburkan orang awam yang memberi sokongan terhadap acara itu, IRM turut berkesempatan untuk berkongsi pengalaman dengan mesej-mesej kemanusiaan yang menyedarkan masyarakat bahawa situasi kecemasan berlaku di mana sahaja dan memerlukan belas ihsan serta bantuan orang ramai.

 

Nurdahlia Omar, antara penonton yang turut berada dalam acara busking berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh pihak IRM merupakan satu inisiatif baharu dan memberi kelainan kepada dunia kemanusiaan memandangkan ia sekaligus meningkatkan tahap kesedaran berkenaan isu kemanusiaan di serata dunia.

 

“Saya rasa ini adalah satu inisiatif yang baik dan perlu diteruskan kerana secara tidak langsung pelancong sama ada dalam atau luar negara boleh tahu isu kemanusiaan yang berlaku di dunia,” katanya ketika ditemui.

 

Pada masa yang sama, program bersempena dengan Hari Malaysia 2018 ini bukan sahaja mendapat sokongan rakyat Malaysia malah pelancong asing yang turut memberi sumbangan demi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka yang memerlukan.

IRM Diberi Mandat Bantu Rakyat Palestin

Putrajaya, 8 Sep 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa dilantik sebagai salah satu rakan pelaksana menerusi pelancaran Tabung Rakyat Palestin bersama organisasi bukan kerajaan tempatan, MyCARE.

 

Pelancaran Tabung Rakyat Palestin itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang dilaksanakan di bawah Yayasan Kebajikan Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

“Sukacita saya merasmikan Tabung Rakyat Palestin dan berharap agar ia memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

 

“Usaha-usaha pengumpulan dana kepada rakyat Palestin akan dibantu oleh rakan strategik kami iaitu Islamic Relief Malaysia dan MyCARE,” katanya ketika memberi ucapan.

 

Beliau juga merafakkan rasa syukur kepada setiap penyumbang dan yakin bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum mampu mengubah nasib penduduk di Palestin.

 

“Saya percaya rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang mahupun bangsa dan agama mampu bergerak seiring dalam menyokong kempen ini. Kebaikan adalah sesuatu yang mampu menghubungkan seterusnya menyatupadukan kita semua.”

 

Menyentuh berkenaan isu kemanusiaan di Palestin, beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukanlah permasalahan Kerajaan Arab dan Orang Islam sahaja malah memerlukan kekuatan orang ramai untuk mambantu memulihkan keadaan di negara itu.

 

Dr. Wan Azizah berharap agar sokongan dari pihak luar mahupun organisasi media mampu meneruskan kempen berkenaan.

Jualan Barangan Eksklusif Tingkat Dana Projek Pembangunan

KUALA LUMPUR, 1 SEP 2018 – Squad Celebrity Global Volunteers menganjurkan Pre Loved4U Charity Sales dalam usaha mengumpul dana projek kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama Ukhuwah 4 Ummah (U4U) sebanyak RM2.4 juta.

 

Hasil jualan eksklusif barangan terpakai selebriti Malaysia pada hari berkenaan akan disalurkan kepada empat projek pembangunan di Malawi, Bosnia dan Herzegovina, India, dan Filipina.

 

Squad Celebrity Global Volunteers yang diwujudkan April lalu memberi peluang kepada 12 barisan artis untuk menyelami kepedihan dan penderitaan yang dirasai oleh penduduk-penduduk di empat negara berkenaan sekaligus dapat menyampaikan mesej kemanusiaan kepada orang ramai.

 

Antara artis yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut ialah Irma Hasmie, Redza Syah Azmeer, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Ashraf Muslim, Fara Lee, Lufya Omar, Diana Amir, Zoey Rahman, Lah Ahmad, Nadia Sabrina, dan Dhirar Zainal.

 

Mohamad Sharudin Dawam, Presiden U4U berkata “Ia juga satu peluang kepada selebriti Malaysia yang berlainan bidang seperti penyanyi, pelakon, blogger, dan social media influencer bekerjasama sebagai satu pasukan bagi melaksanakan projek kemanusiaan di peringkat global.

 

“Situasi seperti ini masyarakat perlu tahu dan artis tempatan adalah penyampai terbaik kerana mereka bukan sahaja penghibur malah mampu untuk menyampaikan mesej kemanusiaan kepada orang lain dan mereka juga dapat berkongsi apa yg sedang berlaku di luar sana.”

 

Ikon Kemanusiaan IRM, Ashraf Muslim yang turut terlibat dalam misi-misi kemanusiaan bagi Squad Celebrity Global Volunteers di Bosnia dan Herzegovina juga menegaskan setiap manusia telah diberi sumber kekuatan untuk melakukan dakwah dan menyampaikan pesanan kepada orang ramai.

 

“Saya yakin semua orang ada kelebihan masing masing seperti mana golongan profesional juga ada cara tersendiri untuk berdakwah. Saya percaya Allah dah bagi kelebihan kepada orang lain untuk berdakwah.”

 

Selain daripada barisan 12 selebriti yang terlibat dalam Squad Celebrity Global Volunteers, seramai 20 artis tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira, dan Yatt Hamzah turut terlibatsama untuk menyumbang barangan peribadi mereka untuk dilelong dan didermakan kepada tabung Squad Celebrity.

Ikon Kemanusiaan IRM Turun Padang

Petaling Jaya, 19 Ogos 2018 – Tiga ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) berganding bahu meraikan Hari Kemanusiaan Sedunia 2018 bersama-sama keluarga IRM dalam menyantuni warga istimewa.

 

Memperingati sejarah Hari Kemanusiaan Sedunia, Kumpulan Saujana berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh IRM sendiri merupakan sebuah inisiatif yang baik dalam merapatkan hubungan antara golongan muda dan berumur.

 

“Saya merasakan bahawa langkah ini adalah amat baik untuk setiap sukarelawan untuk menyantuni mereka yang sudah berumur. Mereka seakan-akan ibu bapa kita biarpun berbeza bangsa dan agama,” kata Suffian Amrin, ketua kumpulan kumpulan Saujana merangkap Ikon Kemanusiaan IRM.

 

Dalam memperjuangkan kehebatan para sukarelawan, IRM juga menggunakan pendekatan menyantuni golongan anak-anak muda agak mereka tidak terpinggir dan rasa disayangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

Mengulas mengenai Hari Sukan di Rumah Home for Abused and Neglected Children (HOPE), Irma Hasmie percaya ia bukan sahaja memberi impak kepada kanak-kanak itu sendiri malah ia turut melibatkan penerapan nilai-nilai murni kepada anaknya juga.

 

“Program hari ini saya percaya sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada anak saya memandangkan ia memberi pendedahan kepadanya melalui pemerhatian yang dilakukan.

 

Selain berpendapat sedemikian, Irma turut menegaskan nilai-nilai kemanusiaan itu seharusnya melangkaui sifat memilih dalam menyantuni masyarakat yang kurang bernasib baik.

 

“Atas dasar kemanusiaan, tak perlulah kita persoalkan siapa yang kita tolong dan siapa mereka dari segi bangsa atau agama. Jadi sempena dengan Hari Kemanusiaan Sedunia ini, kita tak boleh membeza-bezakan taraf manusia itu sendiri,” tambahnya ketika ditemui media.

 

Selain kumpulan Saujana, Irma Hasmie dan pasangannya Redza Syah, ikon lain yang terlibat sama ialah Elfaeza Ul Haq. Kesemua mereka diangkat menjadi barisan Ikon Kemanusiaan IRM 30 Jun lalu.

Qurban Perdana 2018 Santuni Orang Asli

Dengkil, 25 Ogos 2018 – Seramai 290 keluarga Kampung Orang Asli Kampung Air Bangkong dan Bukit Tampoi, Dengkil menerima daging korban sempena sambutan Hari Raya Korban.

 

Program Qurban Perdana 2018 anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) ini bertujuan untuk menyantuni golongan orang asli yang juga merupakan penduduk minoriti di Malaysia selaras dengan fokus IRM untuk mengupayakan komuniti orang asli kepada tahap yang lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, “Kami anggap perkara seperti ni sebagai saham akhirat. Ia bukanlah untuk kepentingan peribadi namun merupakan satu aras bantuan daripada pelbagai institusi yang menyumbang.”

 

Zairulshahfuddin juga menegaskan program kemanusiaan ini juga menjadi asbab kepada perhubungan antara masyarakat luar untuk mengenali orang asli dengan lebih dekat.

 

Dalam pada itu, IRM turut berpegang pada konsep ‘touch and stay’ kerana apa yang diharapkan adalah keterlibatan sukarelawan dan projek kemanusiaan ini akan berterusan.

 

Mengulas lanjut, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group & International Shariah Scholar selaku tetamu khas berpendapat bahawa mesej korban yang dilakukan pada hari ini bukan sekdar menyembelih atau melapah, namun ia adalah mesej kemanusiaan dan perlu diusahakan secara beramai-ramai selaras dengan tuntutan agama berlandaskan Al-Quran.

 

“Bidang kemansiaan sebenarnya tidak ada batasan masa dan waktu, tidak mengenal tempat juga alamat, tiada beza bangsa dan agama. Semua berhak merasa rahmat dari Allah SWT.”

 

Tegasnya, dalam konteks korban, ada makna kemanusiaan iaitu konsep ihsan memandangkang keadilan dan kebenaran sahaja tidak cukup. Sifat itu perlukan disertakan dengan nilai ihsan dan timbang rasa yang tidak mempunyai sebarang batasan.

 

Untuk makluman, IRM menyasarkan lebih banyak bantuan akan diberikan kepada orang asli seperti yang tersedia dalam misi lima tahunnya iaitu 2017 hingga 2021.