Program Jalinan Kasih Mesra Kanak-kanak

Tg Malim, 14 Ogos 2018 – Islamic Relief Malaysia (IRM) berpeluang untuk berkongsi ilmu bersama kanak-kanak kecil kecil berumur sekitar enam tahun berkenaan isu kemanusiaan yang berlaku di serata dunia.

 

Program Jalinan Kasih yang bermula dengan sesi tayangan video tentang konflik di Gaza itu sekaligus menarik minat setiap kanak-kanak untuk mengetahui keadaan sebenar dunia luar.

 

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Sopia Md Yasin, sesi perkongsian bersama kanak-kanak ini turut menerapkan nilai-nilai murni seperti memberi bantuan agar mereka lebih bersifat terbuka dan cakna apabila berlakunya bencana alam atau krisis di sesebuah lokasi.

 

“Walaupun kanak-kanak ini berumur sekitar enam tahun, program seperti ini dapat membuka mata mereka kerana IRM telah membawa konteks yang meluas iaitu dari aspek antarabangsa seperti keadaan di Bangladesh, Somalia, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media.

 

Prof. Sopia turut berpendapat bahawa pelibatan kanak-kanak dalam dunia kemanusiaan pada masa akan datang juga perlu dipertingkatkan agar mesej yang ingin disampaikan itu mampu memberi impak kepada mereka.

 

“Mungkin dalam penghasilan modul-modul yang akan datang, lebih elok jika kita ada aktiviti secara ‘hands-on’ yang boleh melibatkan kanak-kanak ini memainkan peranan dalam kumpulan kecil dan secara tidak langsung IRM dengan cikgu-cikgu boleh bekerjasama untuk menyelia aktiviti secara berkumpulan ini.”

 

Dalam pada itu, IRM juga berpeluang untuk menyampaikan mesej-mesej kemanusiaan kepada para ibu bapa yang turut terlibat sama dalam program itu seterusnya meningkatkan tahap kesedaran mereka terhadap isu-isu kemanusiaan di negara bergolak.

 

Mengulas mengenai pelibatan ibu bapa dalam program itu, Prof. Sopia juga percaya bahawa melalui perkongsian yang dilakukan oleh pihak IRM, ibu bapa akan dapat meneruskan ilmu pengetahuan yang diterima itu bersama anak-anak mereka.

 

“Saya lihat pelibatan ibu bapa memang sangat perlu kerana jarang sekali kita ada peluang iaitu ibu bapa dan anak-anak ini dapat mengupas isu-isu kemanusiaan walaupun kupasan itu pada tahap kanak-kanak. Namun ia harus ditanamkan mulai sekarang seperti sifat suka menderma dan membantu.”

 

Beliau berharap aktiviti seperti ini akan meningkatkan penghayatan kanak-kanak terhadap isu kemanusiaan.

Istiqomah Beri Bantuan

Kampar, 7 Ogos 2018 – Bank MBSB dengan usahasama Islamic Relief Malaysia (IRM) menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Sejahtera MBSB kepada penerima manfaat di bawah projek Pembangunan Komuniti.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, “
IRM ini wujud seperti jambatan untuk menghubungkan kami dengan mereka yang memerlukan. Program pada hari ini menyaksikan bahawa IRM tidak lupa dengan masyarakat setempat.”

 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan IRM merupakan pemudah cara kepada setiap penerima manfaat melalui bantuan-bantuan serta projek-projek yang dijalankan.

 

Ketua Jabatan Komunikasi Strategik Bank MBSB, Zuhaznim Izzuddin turut berasa positif atas usahasama pihak MBSB dan IRM kerana program ini dilihat dapat memberi impak yang besar kepada penerima manfaat.

 

“Kita telah bekerjasama dengan IRM sejak 2016 dalam mencari penerima manfaat untuk Program Sejahtera MBSB dan tahun lalu kami telah berjaya memberi sumbangan kepada lebih 30 penerima dengan kerjasama IRM,” jelas Zuhaznim ketika ditemui.

 

IRM berharap agar kerja-kerja kemanusiaan dan bantuan akan terus diperjuangkan demi kebaikan penerima manfaat pada masa akan datang.

Lebih 500,000 Terjejas Di Lombok

Lombok 6 Aug 2018 – Lebih 500,000 orang di Lombok, Indonesia terjejas dalam gempa bumi berukuran 7.0 skala Ritcher semalam pada 6.46 PM waktu tempatan.

 

Menurut jurucakap Agensi Nasional Pengurusan Bencana, Dr. Sutopo Purwo Nugroho, Bandar Mataram yang menempatkan sekitar 400,000 penduduk akan mengalami gempa yang kuat mengikut skala Modified-Mercalli Intensity (MMI) VIII.

 

Namun, sehingga kini, pemerintah Indonesia masih belum mengeluarkan laporan jumlah mangsa.

 

Pengarah KOSLATA, Sulistiyono menjelaskan, “Gempa bumi kali ini lebih dahsyat. Ia melibatkan lebih daripada tiga daerah jika dibandingkan dengan insiden sebelum ini yang menjejaskan hanya satu daerah. Di Hospital Tanjung, Lombok Utara, angka kematian telah meningkat sebanyak 15 orang.

 

“Angka ini dijangka meningkat esok dalam usaha mencari ahli keluarga yang terlibat dalam insiden berkenaan. Menurut sumber, populasi di Lombok Utara adalah sekitar 221,000 orang.”

 

Islamic Relief (IR) dan KONSEPSI, badan bukan kerajaan di Indonesia kini berada di lapangan Lombok Timur untuk melakukan misi menyelamat dan akan meningkatkan kerja-kerja kemanusiaan yang berlaku akibat gempa bumi.

 

Dua kakitangan IR kini berada di Lombok Timur, manakala 6 lagi berada di Mataram dan bersedia untuk memberi bantuan. Sementara itu, barangan menyelamatkan nyawa akan diperoleh secepat mungkin.

10 Maut Dalam Banjir

Myanmar, 1 Ogos 2018 – Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan lebih 100,000 terpaksa keluar dari kediaman mereka berikutan banjir yang berpunca daripada hujan lebat di daerah Mon, Kayin Stat dan Bago.

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan telah mengarahkan penduduk yang berdekatan dengan kawasan sungai dan kawasan tanah rendah untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat memandang banjir itu telah menutup laluan jalan dan kawasan kampung.

 

Menurut laporan media, agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kini bergerak aktif untuk membantu mangsa yang terlibat dalam bencana itu dan kerja-kerja menyelamat turut dilakukan bagi memindahkan mereka yang terperangkap.

 

Islamic Relief (IR) Myanmar kini sedang bekerjasama dengan rakan kemanusiaan tempatan, Phyu Sin Saydanar Action Group (PSSAG) untuk mengagihkan bantuan makanan dan barangan bukan makanan secepat mungkin.

Celik Qurbani

Sudah menjadi lumrah manusia untuk berasa gembira dengan kehadiran hari raya sebagai satu sambutan yang amat dinanti. Selepas kemenangan berpuasa selama sebulan, umat Islam khususnya akan meraikan kehadiran Aidilfitri pada 1 Syawal dengan penuh makna sebagai tanda kemenangan mengejar ibadah Ramadan.

 

Kira-kira dua bulan selepas itu, umat Islam akan meraikan satu perayaan besar yang dikenali sebagai Aidiladha pada bulan Zulhijjah. Hari raya ini disambut setelah sempurnanya ibadah haji yang juga merupakan rukun Islam kelima.

 

Dalam pada itu, Aidiladha juga disambut bagi memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS dalam menjalankan perintah Allah SWT dan juga kesabaran anaknya, Nabi Ismail AS demi memenuhi perintahNya seperti yang diceritakan dalam surah As-Saffat ayat 102:

 

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

 

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.

 

Islamic Relief Malaysia (IRM) selaku organisasi kemanusiaan antarabangsa juga tidak lekang untuk menyambut Aidiladha melalui projek Qurbani merentasi sempadan yang diadakan setiap tahun. Tahun ini, IRM memperkenalkan kempen #SalamQurbani sebagai langkah untuk mempromosikan projek korban yang dilaksanakan. Secara amnya, #SalamQurbani adalah sebuah projek yang dianjurkan bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyumbang kepada golongan yang kurang berkemampuan.

 

Untuk memahami perkara ini lebih mendalam, #SalamQurbani sebenarnya mempunyai beberapa teras utama iaitu:

– Berkongsi keceriaan dalam menyambut perayaan ini bersama penerima manfaat

– Menggalakkan hubungan yang lebih akrab antara IRM dan penerima manfaat

– Menyatukan kepelbagaian etnik dalam memupuk nilai persefahaman

– Meningkatkan nilai Ihsan dan Rahmat yang dipraktikkan oleh Islamic Relief

 

Kepentingan menyambut #SalamQurbani bukanlah semata-mata untuk menyantuni para penerima manfaat. Ia sebenarnya meliputi keperluan untuk memenuhi tanggungjawab bersama dalam misi kemanusiaan dari sudut ketakwaan seseorang Muslim.

 

Selain memenuhi keperluan tersebut, jika dikaji secara teliti, masih ramai lagi yang tidak berkemampuan atau begitu jarang untuk menikmati keenakan daging haiwan sebagai santapan mereka. Tahap kemiskinan seperti inilah yang menimbulkan rasa tanggungjawab sosial dalam membantu mengurangkan beban mereka.

 

Melalui #SalamQurbani, ia sedikit sebanyak dapat membantu penyumbang untuk menyucikan jiwa mereka dengan mengorbankan haiwan yang disedekahkan sekaligus memupuk sifat rendah diri dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Ia secara tidak langsung menghubungkan titik perantaraan golongan kaya dan kurang berkemampuan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha.

 

Selaras dengan halatuju organisasi, IRM mahu kekal berdiri teguh menuju ke arah dunia prihatin di mana setiap komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan, dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

Terap Nilai Kemanusiaan Anak Muda

Klang, 25 Jul – Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil inisiatif baharu untuk menerapkan nilai kemanusiaan dalam diri anak muda bagi membentuk generasi yang positif pada masa hadapan.

 

Program ‘We Are Awesome Heroes’ yang melibatkan seramai 62 pelajar dari Sekolah Antabarangsa Idrissi itu dilihat sebagai batu loncatan untuk menerapkan ilmu-ilmu berkaitan kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia.

 

Selain mendedahkan isu-isu kemanusiaan di seluruh negara, para pelajar juga diberi peluang untuk berkongsi buah fikiran tentang negara bergolak hasil daripada aktiviti berkumpulan yang dijalankan.

 

Keterlibatan pelajar dalam program tersebut juga melatih mereka bersedia dan lebih bersemangat untuk terlibat sama dalam usaha menyebarkan kesedaran tentang isu-isu kemanusiaan yang berkaitan.

 

Menerusi inisiatif ini, IRM juga bercadang untuk memperkasakan minat para pelajar untuk mencebur diri dalam program kesukarelawanan yang dianjurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan agar mereka lebih aktif.